Monday, July 15, 2013

'Mana ada hutan lagi di sini'

NAMA Mukim Hutan Kampung adalah tidak asing bagi penduduk di Alor Setar tetapi ia jarang dikenali bagi orang luar apatah lagi namanya sudah cukup membayangkan kedudukannya seperti berada di kawasan pedalaman.
'Mana ada hutan lagi di sini'
Perumahan di sekitar Mukim Hutan Kampung kini rancak membangun

Oleh itu tidak hairanlah ramai penjawat awam yang dikehendaki bertukar di situ akan terkejut jika mereka dipilih ke mukim itu kerana bimbang senario nama mukim itu menyebabkan mereka akan berhadapan dengan masalah kemudahan asas serta namanya juga sudah cukup menakutkan.

Bagaimanapun, itu hanyalah nama sahaja. Sebenarnya Mukim Hutan Kampung adalah antara daerah yang terletak di tengah Bandaraya Alor Setar.
'Mana ada hutan lagi di sini'
Jalan Hutan Kampung menjadi nadi perhubungan penduduk daerah luar ke Alor Setar.

Bagi orang luar nama itu cukup menakutkan malah, ada dalam kalangan mereka sanggup ditukarkan ke daerah luar bandar lain kerana tidak tahu suasana Mukim Hutan Kampung yang sebenarnya selepas diarahkan berkhidmat di kawasan itu.

Mereka beranggapan Mukim Hutan Kampung itu dikelilingi dengan hutan rimba, binatang buas serta terperangkap dengan masalah kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik. Di sebaliknya, sekarang Mukim Hutan Kampung dikelilingi dengan hutan batu yang pesat membangun seperti juga di mukim lain di Bandaraya Alor Setar.
Kubu
Kubu dalam tanah tinggalan Tentera British masih lagi didapati di Jalan Hutan Kampung

Nadi perhubungan
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Hutan Kampung, Muhammad Ismail, 62, nama mukim ini sudah wujud sebelum Perang Dunia kedua lagi.

Memang pada masa itu kawasan Mukim Hutan Kampung ini adalah hutan yang dipenuhi pelbagai jenis pokok serta terdapat juga binatang buas.

Oleh kerana berlakunya penghijrahan, hutan-hutan yang ada di situ mula diteroka lalu dibuka menjadi kampung dan sebab itulah mukim ini dikenali dengan nama Mukim Hutan Kampung.

Terdapat kira-kira 12 kampung di Mukim Hutan Kampung, manakala jalan utama di sini merupakan nadi perhubungan ke Alor Setar. Oleh kerana ia berhampiran dengan lapangan terbang, Tentera British membina tiga kubu dalam tanah untuk menyimpan makanan ketika Perang Dunia kedua yang lalu.

Kubu-kubu itu masih lagi terdapat di sekitar Jalan Hutan Kampung dan kini ia menjadi bahan sejarah di situ. Kubu itu juga dikatakan turut menjadi kubu simpanan makanan Tentera Jepun dan ia dikatakan dibina sedalam 15 meter ke bawah tanah.

“Bagaimanapun pada 1960-an jalan di kawasan ini diturap menyebabkan semakin banyak kawasan itu mula didiami serta banyak kampung baru dibuka. Di antara pekerjaan utama penduduk di sini ialah menoreh getah dan bersawah,” katanya.

Kekalkan nama mukim
Rakannya, Ismail Shafie, 61, berkata, pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 1996 dikatakan melonjakkan lagi pembangunan sekitar mukim itu.

Sejak itu, harga tanah di kawasan Mukim Hutan Kampung naik mendadak kerana banyak kediaman baru dibuka oleh pemaju perumahan. Oleh kerana terdapat kemudahan asas yang lengkap mukim itu kini mula didatangi penduduk dari luar.

Berikutan banyak kawasan perumahan dibuka, harga tanah yang dahulunya sawah turut meningkat dan secara tidak langsung turut melahirkan beberapa petani bergelar jutawan tanah di mukim tersebut.

Sekarang kebanyakan harga rumah di sekitar mukim itu turut meningkat sekitar RM200,000 hingga RM600,000 seunit.

Ditanya adakah nama Hutan Kampung akan ditukar selepas mengalami perubahan pembangunan,dia tidak bersetuju dengan pertukaran nama itu kerana ia sudah sinonim sejak dulu.

“Memang generasi hari ini ada yang mendesak supaya nama ini ditukar kepada nama yang lebih sesuai dengan semasa tetapi ramai dalam kalangan veteran di sini mahu nama ini dikekalkan kerana ia seolah-olah menjadi warisan dari generasi awal lagi.

“Mungkin generasi hari ini malu dengan nama Hutan Kampung tetapi di England juga terdapat daerah bernama Notingham Forest dan penduduknya sangat bangga dengan nama itu hinggalah digunakan sehingga hari ini,” katanya. SH

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment