Saturday, July 27, 2013

Isu Seri Pristana menguji Mirac

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam), U Thamotharan menegaskan beliau sehaluan dengan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, namun terdapat sesetengah pihak dalam badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang cuba memainkan api perkauman dan hal itu harus segera dileraikan.

Thamotharan ketika dihubungi The Malaysian Insider tidak menamakan pihak berkenaan serta tidak mahu mengulas lanjut insiden semalam apabila wakil Perinbam tidak selesa dengan Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin yang membela guru besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor yang mengarahkan pelajar bukan Islam makan pada waktu rehat di bilik persalinan.

Semalam adalah hari pelancaran Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) yang melihat Perkasa bersatu dengan Persatuan Cina Era Baru Malaysia (Percisma) dan Perinbam.

Bagaimanapun, Zulkifli ketika acara semalam berkata Perkasa mempertahankan guru besar terbabit kerana menerima kritikan dan fitnah dari segenap pihak yang mempolitikkan isu itu.

Beliau menjelaskan Mohamad Nasir wajar dihargai dan bukannya dikritik.

Ini menyebabkan rasa tidak puas hati kepada ahli Perinbam yang meninggalkan acara berkenaan namun Ibrahim segera menenangkan Thamotharan untuk bersama menghadiri majlis berbuka puasa.

Thamotharan semasa dihubungi hari ini menegaskan apa yang dikatakan Zulkifli tidak betul yang kemudiannya komen berkenaan akan disiarkan oleh media.

“Beliau tidak ke sekolah itu dan beliau belum menemui guru besar itu. Bagaimana boleh menyatakan sokongan kepadanya? Saya rasa beliau ingin mendapatkan publisiti,” katanya.

“Kami gembira bekerjasama bersama Ibrahim Ali. Ramai menuduh beliau rasis namun tidak pada kaca mata kami. Ada pihak dalam pertubuhan itu yang melihatkan Perkasa rasis dengan komennya,” katanya.

Berhubung insiden SK Seri Pristana, Perinbam mahu tindakan diambil atas guru besar.

“Kami menggesa kerajaan tidak lepas tangan untuk mengenakan tindakan kepada guru besar. Beliau mesti dihukum. Tiada sebab membiarkan murid makan di bilik persalinan.

“Kami faham sensitiviti bulan Ramadhan namun pihak sekolah bolah memasang tabir di kantin sebagai alternatif.

“Kami telah pergi ke sekolah tersebut dan tiada pengubahsuaian dilakukan di sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Perkasa keitka dihubungi The Malaysian Insider, berkata pertubuhan itu masih belum mengadakan perbincangan bagi menentukan pendirian sama ada untuk membela tindakan guru besar SK Seri Pristana yang mempertahankan hujahnya membiarkan pelajar makan di bilik persalinan atau sebaliknya.

Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata pihaknya akan memberi maklumbalas berhubung pendirian pertubuhan tersebut sebaik perbincangan yang dijangka berlangsung hari ini selesai.

Beliau berkata, hubungan Perkasa juga tidak terjejas akibat insiden yang berlaku petang semalam setelah naib pengerusinya, Datuk Zulkifli Noordin mahu mempertahankan guru besar sekolah itu.

“Hubungan kami sememangnya tiada masalah. Cuma ada sedikit salah faham. Biasalah dalam sesuatu pertubuhan pastinya ada pergeseran. Lambat-laun akan berbaik juga,” katanya.

Sementara itu, Percisma menjelaskan mereka masih berpegang teguh kepada pendirian bagi melihat masa depan yang lebih cerah dan mempromosikan semangat saling hormat-mengormati antara rakyat Malaysia.

Presidennya, Andy Choy Chee Wai berkata berhubung insiden SK Seri Pristana, pihaknya mahu melihat keputusan siasatan yang dijalankan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.

“Kita hanya mendapat maklumat daripada media dan pendapat awam, maka adalah penting memahami situasi sebenar sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Perinbam berang dengan kenyataan Zulkifli Noordin melibatkan isu makan di bilik persalinan, hingga menyebabkan berlaku salah faham kecil selepas sidang media MIRAC.

Zulkifli dalam sidang media itu menyatakan secara terbuka menyokong guru besar SK Seri Pristana.

Kenyataan itu menyebabkan pengikut Perinbam dan presidennya tidak berpuas hati dan enggan menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Perkasa sempena pengumuman penubuhan Mirac semalam. – 27 Julai, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment