Wednesday, July 31, 2013

Hartanah motif pengasas Arab Malaysian Bank ditembak

Polis Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan urusan jual beli hartanah adalah motif di sebalik kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi mati ditembak di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata ia masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat latar belakang kejadian itu.

"Kita percaya perkara ini dilakukan oleh pembunuh upahan. Polis akan memanggil tujuh saksi untuk merakam keterangan," katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Hussain, 75, ditembak mati manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, parah selepas ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon.

Mangsa terkena dua das tembakan di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.

Kata Mohmad, pihaknya akan memanggil saksi termasuk isteri dan rakan mangsa, yang berjumpa dengan mangsa sebelum pembunuhan itu.

"Isteri mangsa, Chong dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangan secepat mungkin.

"Suspek mungkin warga tempatan berusia bawah 50 tahun," katanya sambil menambah pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak berhampiran tokong Cina Kuan Yin Temple.

Beliau berkata, teksi yang digunakan suspek untuk meloloskan diri dipercayai teksi sewa. - Bernama, 30 Julai, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment