Monday, July 29, 2013

Dilema Cina, dilema Melayu dan dilema rakyat serta negara

Dr Mahathir berkata sekarang negara menghadapi ‘dilema Cina' dalam mana bangsa Cina sedang berada didalam satu dilema samada untuk merebut kuasa politik dan ekonomi negara sendirian dan mengenepikan bangsa Melayu dan sebagainya. Bangsa melayu sedang diusahakan oleh bangsa Cina untuk diketepikan dalam semua bidang. Begitulah bunyinya lebih kurang dalam apa yang beliau tulis dalam blog beliau dua tiga hari yang lepas.

Pengarang buku ‘Malay Dilemma’ ini kini mengarang satu lagi ‘dilema’, kali ini ‘Chinese dilemma’ dan saya tidak berminat untuk menerima pandangan yang tidak diperlukan itu. Sesungguhnya ia bukannya ‘Chinese dilemma’ dan bukannya dilema sesiapa. Yang dalam dilema sekarang ialah rakyat Malaysia sendiri khususnya orang Melayu dan sedikit dari bangsa-bangsa lain di negara ini.

Ia adalah dilema yang tidak dapat di selesaikan kerana budaya pemikiran dan politik orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya yang buruk yang terbentuk oleh kuasa BN itu sendiri. Dilema ini ditambah oleh sikap dan nilai perjuangan yang dpaparkan sebagai alternatif oleh pihak pembangkang yang juga tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap dilema yang di hadapi oleh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Bumiputra termasuk di Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang (LKS) memberikan reaksi dengan mengatakan Mahathir sebagai rasis kerana mencipta ciptaan barunya iaiatu ‘Chinese dilemma’. Apa yang dikatakan oleh LKS itu tidak salah dan ia adalah benar. Tetapi apa yang tidak terfikir oleh LKS, beliau juga memimpin parti yang terbentuk persepsi yang ia adalah parti yang tertumpu kepada imej parti Cina dan itu jelas dilihat dan kita tengok secara terang-terangan. Itulah sebabnya saya katakan dilema ini bukan sahaja dilema Cina seperti yang diperkatakan oleh Mahathir, ia adalah dilema semua bangsa dalam negara ini.

Rakyat sebenarnya dalam dilema, bukannya Mahathir dan bukan juga LKS. Di satu pihak rakyat khususnya orang melayu dalam dilema yang teramat sangat. Mereka tersepit diantara menerima kerajaan yang korup dan tercemar dalam segala-galanya dengan memilih pihak yang hanya mementingkan bangsanya sendiri dalam perjuangan politik mereka.

DAP telah berjaya menundukkan orang Melayu dan sudah pun ramai yang tampil memberikan sokongan kepada parti yang di dominasi oleh kaum Cina itu. Ini adalah satu trend yang sihat kalau dipandang dari sudut rakyat yang 'ordinary' ini. Fenomena ini tercetus kerana orang Melayu dalam dilema hasil dari ketidak jujuran pimpinan BN khususnya UMNO itu. Tetapi orang melayu telah dipermainkan juga oleh pihak yang memberikan laungan kuat tentang ‘multiracialism’ ini dengan hanya mahukan sokongan dan undi orang melayu sahaja sedangkan ia tetap kekal memaparkan sebagai sebuah parti kaum Cina.

Mungkin di sini betulnya Mahathir kerana tidak adil disangkal yang kita lihat di Pulau Pinang kuasa politik dikuasai oleh DAP yang di dominasi oleh bangsa Cina sedangkan parti DAP itu mencanangkan partinya sebagai parti berbilang kaum. Tidak seorang pun dari Ahli-Ahli Legislatif dari DUN Pulau Pinang di wakili oleh orang Melayu kalau kita lihat wajah mereka satu persatu.

Di Pulau Pinang misalnya orang melayu layaknya hanyalah untuk mengandar dan menampal poster di dinding-dinding bangunan dan tiang telefon semasa pilihanraya umum yang lalu. Mungkin itulah yang dianggap sebagai politik berbilang kaum itu. Kaum Cina menguasai kerajaan dan orang melayu menjadi penampal poster dan menjadi penceramah-penceramah sahaja.

Orang Melayu hanya dijadikan ‘kuda pelejang’ untuk menyerang pimpinan dan orang Melayu yang lain. Orang melayu Islam diberi upah dengan memberikan peruntukkan yang tinggi kepada Majlis Agama Islam dan jumlah peruntukkan untuk kegiatan Islam yang sebanyak itu sememangnya tidak menjadi hal kepada kerajaan P Pinang, negeri yang kaya raya itu.

Tetapi siapa yang bersalah disini, sehinggakan orang Melayu dengan mudah sahaja di jadikan sebagai ‘kuda pelejang’ tadi? Ia mesti bersebab dan penyebabnya ialah kerana kepimpinan Melayu yang sudah menghadapi kekurangan keyakinan dari orang Melayu sendiri? Sebusuk-busuk orang Melayu mereka tidak mahu melihat pemimpin mereka yang rasuah dan tidak bermoral itu? Maka orang Melayu terus dalam dilema dan itulah yang sepatutnya difahami oleh Dr Mahathir.

LKS tidak ada masalah memahami keadaan ini. Kalau tidak masakan beliau dengan mudah menggunakan Melayu yang dalam dilema ini untuk memberikan sokongan kepada DAP dan parti-parti lain dalam PR itu? Sekarang ada pihak yang merasakan sudah menjadi satu dosa jika orang Melayu tidak menyokong DAP itu.

Semuanya ini terjadi kerana dilema rakyat yang sedang tersepit diantara pihak yang rasuah yang mereka benci dan pihak yang menggunakan kelemahan ini untuk memberikan tumpuan kepada kelompok mereka sendiri.

Rasis tetap wujud dikedua-dua belah pihak. Satu pihak bercakap isu rasis, satu pihak lain tidak bercakap tentang isu ini tetapi tindakan serta hasil politik mereka tidak lain dan tidak bukan adalah rasis yang menebal.

Kedua-duanya sama sahaja. Itulah menjadikan rakyat dalam dilema untuk memilih. Apabila mereka (rakyat) berada dalam dilema seperti ini maka akhirnya mereka terpaksa memilih pimpinan dari bangsanya sendiri. Orang Melayu berfikir sebusuk-busuk melayu ada bau Melayunya dan pihak lain pula akan berfikir sebusuk-busuk bangsanya masih ada terhidu bau bangsanya.

Orang Melayu selalunya akan mencium bau baju atau pakaian ibunya untuk menghilangkan kerinduan terhadap ibunya yang baru meninggal. Itulah kaedah dan maksud kata-kata saya tadi. Aspan Alias

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment