Thursday, July 11, 2013

Akibat Kesilapan Pihak Berkuasa Wang Rakyat Melayang

5 peguam, aktivis menang saman terhadap kerajaan
KUALA LUMPUR - Lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis hari ini menang saman mereka terhadap polis dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan dengan niat jahat ke atas mereka semasa perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia pada 9 Dis, 2007.

Mahkamah memberikan ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada R. Sivarasa, N. Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan dan memerintahkan para defendan membayar sejumlah RM60,000 sebagai kos kepada plaintif.

Pada 8 Dis, 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, Ketua POlis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan ke atas mereka.

Semasa membenarkan tuntutan mereka, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara memutuskan penangkapan dan penahanan oleh pihak defendan adalah salah di sisi undang-undang.

O'hara berkata beliau telah berpeluang menonton video dan melihat gambar-gambar yang dirakamkan mengenai apa yang berlaku semasa insiden itu.

"Daripada video, saya dapati defendan pertama Superintenden Che Hamzah telah memberikan arahan yang bercelaru, mengelirukan dan bercanggah menerusi pembesar suara untuk plaintif-plaintif bersurai," katanya.

Lagi pun, katanya Che Hamzah tidak tegas semasa mengeluarkan arahan supaya mereka bersurai.

Dalam keputusannya, Hakim juga mendapati defendan telah menafikan hak plaintif untuk akses kepada peguam bela selepas mereka ditahan.

Bagaimanapun, beliau mendapati pendakwaan terhadap plaintif di Mahkamah Sesyen Jenayah bukan dibuat dengan niat jahat dan ia merupakan kuasa mutlak Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka.

"Peguam Negara hanya menjalankan kerjanya dan melaksanakan tugasnya untuk mendakwa mereka...ini bukan pendakwaan dengan niat jahat" katanya dan menurutnya plaintif telah menamakan dengan betul semua pihak dalam saman itu.

Pada 10 Dis, 2007, keenam-enam mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan haram dan gagal mematuhi perintah polis untuk bersurai, didakwa dilakukan sehari sebelum (9 Dis, 2007) di depan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Pada 16 April, 2009, mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Rentetan itu, mereka memfailkan saman memohon perisytiharan bahawa hak asasi mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli dan juga mendakwa penangkapan dan penahanan mereka adalah salah di sisi undang-undang.

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, faedah dan kos.

Dalam saman itu, mereka mendakwa mereka mengambil bahagian dalam dan/atau menganjurkan perhimpunan dan perarakan secara aman, sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Dis setiap tahun.

Mereka berhujah mereka kemudiannya dibenar meneruskan mengambil bahagian dalam perarakan itu selama 10 minit tetapi sebelum tempoh 10 minit itu tamat, mereka mendapati diri mereka dikelilingi sekumpulan besar anggota polis.

Mereka mendakwa polis kemudian memberi arahan supaya bersurai tetapi semasa mereka cuba berbuat demikian (untuk bersurai), mereka telah ditahan.

Selepas prosiding itu, peguam Edmund Bon yang mewakili keenam-enam mereka memberitahu pemberita bahawa keputusan hari ini merupakan kemenangan besar bagi demokrasi dan hak asasi manusia. - Bernama

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment