Monday, June 24, 2013

Tok Guru Nik Aziz Tolak Perejuangan Berlandaskan Kebangsaan

SUDAH MENJAJDI pengetahuan umum Tok Guru Nik Aziz telah melepaskan jawatannya sedikit masa yang lalu sebagai Menteri Besar yang telah dipegangnya selama 23 tahun. Namun begitu beliau masih memgang jawatan Marsyidul Am PAS.

Dalam masa beliau memegang jawatan Menteri Besar, beliau telah memperkenalkan dasar pemerintahan negeri yang popular MEMBANGUN BERSAMA ISLAM. Dasar yang mengenepikan perjuangan yang berlandaskan bangsa atau kepentingan kebangsaan, tapi mengutamakan perjuangan berlandaskan Islam.

Ramai rakyat Kelantan yang bersedih hati beliau mengetahui beliau telah mengundurkan diri dari jawatan Menteri Besar walaupun rela dengan keputusan yang diambil oleh beliau dan menyerahkan tanggungjawab pemerintahan negeri kepada penggantinya yang diharap dapat meneruskan perjuagnan Islam dengan lebih baik lagi.

Oleh sebab tidak dapat menerima perjuangan yang berasaskan bangsa atau kebangsaan itulah, menjadi salah satu sebab kenapa beliau tidak rela PAS bergabung dengan UMNO sehingga ke hari ini, walaupun keduanya pernah bergabung satu ketika dulu dalam era pemerintahan Dato’ Hj. Mohd Asri sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sedutan pendapat beliau di bawah menunjukkan bagaimana komitednya beliau terhdap perjuangan untuk menegakan syiar Islam dan menolak perjuangan berdasarkan kebangsaan sebagaimana sering diluahkan oleh beliau dari masa ke masa.

Kenyataan Pertama:
Membangun Bersama Islam
“Hakikatnya, Islam yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah membenarkan sebarang penindasan di atas nama kaum. Jika ditinjau di dalam sejarah, Islam adalah agama dari Allah SWT datang ke bumi melalui Nabi Muhammad saw yang berbangsa Arab. Sekalipun berbangsa Arab, namun di tengah-tengah sikap orang-orang Arab yang berbangga dengan darah keturunan, Islam tetap diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa selain Arab., Sejarah membuktikan munculnya sahabat-sahabat Nabi seperti Salman yang berbangsa Parsi, Bilal yang berbangsa Habsy dan Syuaib yang berbangsa Rom. Demikialah Islam tidak pernah memandang perbezaan darah dan warna kulit sebagai satu isu yang penting”.

“Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik. Oleh itu, tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan kaum. Manusia secara fitrah, dijadikan Allah dalam bentuk, kelompok dan budaya yang berbeza dan semua mesti menerima dan menghormati kepelbagian dan perbezaan itu sebagai satu lumrah dan hukum alam yang akan terus berlaku. Kepelbagian dan perbezaan itu bukanlah untuk berpecah belah dan bermusuhan.

“Seharusnya amalan hidup yang kenal mengenal dan membantu antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai. Dalam hal ini, pendirian saya bahawa kita semua adalah berasal dari satu bapa namanya Adam dan satu ibu yang namanya Hawa, Justeru kita semua bersaudra dan mana mungkin sesame saudara boleh meninedas antara satu sama lain.

“Justeru, apabila saya diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, saya perkenalkan dasar MEMBANGUN BERSAMA ISLAM agar dilihat bahwa Islam itu bukanlah hanya sekadar agama yang berada di dalam masjid dan madarasah tapi juga ditampuk pemerintahan. Dalam masa yang sama, hak-hak rakyat yang tidak beragama Islam tetap kita pelihara dan jaga”.

“Hakikatnya, telah terpelihara keharmonan kaum dan kebajikan non-Muslim di bumi Kelantan. Sewaktu rusuhan kaum 1969, Allahyarham Dato’ Asri Muda pada masa itu sebagai Menteri Besar Kelantan telah memanggil semua penghulu untuk diberikan arahan khas bagi memastian orang-orang Cina yang sedang menjadi mangsa rusuhan di Pantai Barat terjamin keselamamtannya di bumi Kelantan. Alhamdulillah, tidak ada sedikitpun pertumpahan darah berlaku di Kelantan sekalipun di Kuala Lumpur banyak nyawa melayang”.

“Alhamdulillah, pada saat pihak lain mengangkat keris dan melaungkan hidup bangsa dengan merendah-rendahkan mertabat kaum lain, kami di Kelantan menangagkat persamaan darah dan keturunan di tempat yang sepatutnya dan menafikan sebarang bentuk penindasan, ketidakadilan dan diskriminasi kaum”.

[Ucapan Menteri Besar Kelantan
di Majlis Makan Malam Mesra Kaum
pada 16 November 2011]

Kenyataan Kedua:
Tok Guru Tolak Kebangsaan
“Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya, padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air. Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan Islam.

Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.

“Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kacamata 'orang cerdik pandai' ini?

“Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.

Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam?

“Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang akal', di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!

“Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?

“Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.

“Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising!”.

[Kenyataan Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
sebagai Al-Mursyidul Am PAS
pada Harakahdaily 11 Syaaban 1434 [20 Jun 2013]

Catatan Oleh Pondok Rahmat

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment