Thursday, June 27, 2013

Tiada lagi pemimpin yang bercakap dan bertindak dengan keluhuran hati

Tidak ada siapa yang mempunyai pemikiran yang realistik akan berupaya mengakui yang dinegara ini sudah ada politik berbilang kaum dalam sesuatu parti. Begitu hebat sekali isu ini menjadi bahan atau barang jualan politik sekarang ini khususnya sebelum pilihanraya ke 13 yang lalu. Tiada pihak dapat melakukan apa yang mereka jaja dan laungkan dimana-mana.

Masing-masing dengan ‘intrigue’ politik masing-masing dan tidak ada pihak yang serius untuk membina politik berbilang kaum ini. Masih ada lagi unsur satu pihak cuba untuk menguasai satu kaum yang lain dengan melakukan helah yang berbagai semasa pilihanraya yang lalu. Tidak ada satu pihak yang mahu mengakui yang keadaan ini tidak akan berubah sampai bila-bila selagi pimpinan parti yang berteraskan kepada perkauman ini payah untuk menerima hakikat ini.

Apa yang dilaungkan tidak selari dengan apa yang dilakukan. Tentulah keadaan ini berlaku kerana tidak ada kejujuran untuk melakukannya dan ini hanya melambangkan masih wujud dalam jiwa masing-masing sifat tidak mempercayai diantara satu dengan lain. Perhubungan baik yang dipaparkan hanyalah untuk tempelan sahaja bagi mengaut sokongan ramai dalam pilihanraya itu.

Lakunan-lakunan ini akhirnya akan diketahui umum juga dan rakyat yang memahami akan akhirnya dipersalahkan kerana tidak mahu menerima apa-apa pandangan rakyat yang ramai ini. Lakunan-lakunan ini lah yang membuatkan rakyat naik mual dan jemu mendengarnya dan kita mengharapkan tidak ada pihak yang akan menyanyikan irama ‘multiracialism’ lagi bermula dari sekarang.

Jangan lagi ada pihak yang mengkritik pihak lain yang musuh dan seteru politik itu memainkan isu rasis menebal sedangkan pihak yang melaungkan itu sendiri adalah rasis. Tidak ada siapa lagi akan mempercayai yang sekarang sudah ada pihak yang memperjuangkan keperbilangan kaum dalam pertubuhan politik masing-masing. Laungan itu adalah ‘fallacy’ politik semata-mata yang tidak pernah dilakukan dan diusahakan oleh mana-mana pihak pun.

Tetapi kita bukan tidak pernah mengalami penyatuan kaum itu dahulu. Hanya apabila BN menjadi lemah dan keadaan yang telah lama kita alami dengan baik itu terganggu dan menjadikan isu perkauman sebagai isu besar yang menjadi isu mainan pihak yang berseteru dengan BN itu. Sebagaimana yang saya sebut selalu, BN telah wujud lama dahulu apabila setiap kaum bekerjasama dengan baik.

MCA dengan penyatuan kaum Cina yang kuat, MIC pula dengan penyatuan kaum India dan tentulah UMNO itu menjadi parti yang telah menyatukan kaum Melayu selama kita mencapai kemerdekaan negara. Tetapi penyatuan ini telah mula terombak oleh kerana permainan politik yang tidak telus dalam BN sehinggakan parti-parti dalam BN itu mula menjadi persoalan dari rakyat. Salah satu akibatnya ialah pihak yang berseteru dengan BN ini telah berjaya memecahkan kesatuan dikalangan pimpinan dan ahli-ahli dalam BN itu.

Oleh kerana pandangan dan persepsi rakyat terhadap pimpinan UMNO dan BN itu semakin buruk, maka apa-apa sahaja isu yang dilemparkan terhadap BN itu mudah diyakini oleh rakyat jelata. Diantara isunya yang sangat besar ialah isu perkauman yang BN dikatakan telah gagal untuk melunaskan tanggungjawab berterusan untuk penyatuan itu.

Apa sahaja yang dikatakan pembangkang itu betul semuanya dan apa sahaja yang dikatakan oleh BN itu semuanya salah dan tidak berwibawa untuk diyakini oleh rakyat yang ramai. BN telah mengabaikan partinya kerana pimpinan BN sudah tidak tahu lagi apa yang baik dan apa yang buruk yang perlu dilakukan. Semua orang tahu BN itu mahu melakukan apa yang baik, tetapi seperti yang dikatakan tadi mereka tidak tahu apa yang baik yang hendak mereka lakukan.

BN juga tidak mahu melakukan apa yang tidak baik, tetapi mereka tidak tahu apa yang tidak baik yang mereka harus mengelak dari melakukannya. Mereka kehilangan terus segala hidayah untuk mentadbir negara seperti yang diamanahkan oleh rakyat selama ini. UMNO sudah kematian rohnya samasekali dan tidak lagi boleh mara dan berundur. Semuanya serba tidak kena.

Kelemahan inilah yang membuatkan ramai rakyat sudah hilang keyakinan terus terhadap UMNO terutamanya dari kaum bukan Melayu dan sedikit peratusan kaum Melayu. Hasilnya keadaan ini telah diambil kesempatan oleh pembangkang dan mengembalikan isu perkauman terhadap UMNO dan BN. Pembangkang terutamanya DAP telah dengan mudah membalas isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO itu. UMNO dalam keadaan terdesak telah memainkan isu perkauman bagi mengekalkan kaum Melayu dibelakangnya.

Hasil dari keadaan ini maka kesempatan itu diambil oleh pihak lain untuk membina kekuatan bangsanya juga dengan memainkan isu perkauman yang dilaungkan oleh BN itu. Keputusan akhirnya isu perkauman itu tetap wujud malah lebih jelas lagi kerana pengundian kali ini menunjukkan ia dilakukan mengikut salur-galur perkauman yang menebal.

Sekarang ini seolah-olah isu perkauman ini tidak dapat diatasi walaupun oleh mereka yang melaungkan ‘multiracialism’ itu. Kalau begitu keadaan keengganan banyak pihak untuk menyerapkan sikap 1Malaysia atau Malaysian Malaysia itu hanyalah setakat dibibir sahaja.

Tidak salah lagi jika masing-masing memikirkan hanya untuk kaumnya sahaja kerana tidak ada yang mahu menghilangkan perasaan dan tindakan perkauman itu setakat ini. Kita wajar menolak mana-mana pihak yang mengaku kononnya sebagai pejuang kepelbagaian dalam parti mereka atau pertubuhan mereka kerana kita sudah mengetahui hasilnya kerana ia terlalu ‘predictable’.

Mana-mana pihak yang melaungkan perpaduan kaum itu, sesungguhnya itulah kumpulan yang paling ‘chauvinist’, tidak kira samada pertubuhan itu pertubuhan bangsa Melayu atau yang bukan Melayu, serta pertubuhan yang mengakui untuk semua bangsa tetapi yang didominasi oleh satu-satu kaum itu sahaja. Elok dihentikan sahaja sesiapa melaungkan slogan-slogan perpaduan untuk semua kaum itu, kerana kita tidak nampak perjuangan itu akan sampai kemana-mana.

Kalau hendak sangat berjuang berdasarkan untuk memperjuangkan kaum sendiri sahaja, ayuh kita teruskan perjuangan untuk bangsa masing-masing sahaja. Itu pun yang masing-masing mahukan nampaknya.

Hentikan retorik yang memperjuangkan untuk semua bangsa itu dari mana-mana pihak. Itu hanya permainan lidah yang tidak bertulang sahaja.

It’s not REAL. Bukan mudah hendak mencari pemimpin yang bercakap, bertindak dan menulis dengan hati. - Aspan Alias

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment