Wednesday, June 19, 2013

Mengapa Terengganu tiada exco agama?


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mempersoal Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak mewujudkan exco yang khusus menjaga portfolio agama.

Ustaz Abdul Hadi berkata, tidak sewajarnya hal ehwal agama diletakkan di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas kerana skop agama Islam itu luas dan perlu kepada portfolio khusus.

"Di (kerajaan) pusat ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama dan keseluruhan kerajaan negeri juga ada yang jaga hal ehwal agama.

"Definisi agama Islam itu lebih luas daripada pelajaran. Aspek-aspek lain duduk dalam agama jadi bagaimana agama diletak dalam satu exco yang hanya dalam aspek yang kecil. Perkara ini sudah lari dari asasnya," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini.

Beliau yang juga Presiden PAS dalam soalan asal ingin tahu siapakah di kalangan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib memberitahu beliau diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal agama.

"Hal ehwal agama Islam diletakkan bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diketuai Ketua Agama negeri, Sultan Terengganu.

"Saya membantu dari segi kerjasama dengan Maidam untuk melancarkan pentadbiran," katanya.

Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) ketika bangun mencelah berkata, belum pernah berlaku kerajaan negeri tidak mewujudkan portfolio agama yang disifatkan sebagai sangat penting.

"Portfolio agama ini penting dan dalam ingatan saya belum pernah berlaku tak ada exco khusus yang menjaga portfolio ini dan biasanya diberi kepada orang berlatar belakang agama dan berkemampuan," katanya yang juga Ketua Pembangkang. - Harakah

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment