Wednesday, June 12, 2013

Kes Mati Dalam Lokap : Mana Inspektor Ni? Mana Gambar Beliau?

MP Segambut buat laporan polis desak identiti suspek keempat kes Dhamendran didedah
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Satu laporan polis hari ini dibuat oleh Ahli Parlimen (MP) DAP Lim Lip Eng bagi menggesa pihak polis mendedahkan identiti suspek anggota polis yang terlibat dalam kes pembunuhan N. Dhamendran.

Lim mendesak pihak polis supaya memaparkan wajah dan nama suspek tersebut yang disyaki berpangkat inspektor di dalam semua akhbar dan media massa lain, selain meletak gambar suspek di semua balai polis seluruh negara.

“Seorang lagi suspek dalam kes Dharmendran masih bebas dan tidak dapat dicari,” kata Lim dalam satu sidang media selepas membuat laporan polis di balai polis Jinjang Utara di sini.

“Saya buat laporan polis hari ini supaya menggesa pihak berkuasa memaparkan gambar dan nama suspek dalam semua akhbar, selain mempamerkannya di semua balai polis seluruh negara.”

Menurut Lim lagi, gesaan tersebut bukan sesuatu perkara yang sukar untuk dilakukan memandangkan pihak polis sentiasa melakukannya dalam memburu penjenayah lain, serta menyifatkan kegagalan bertindak sedemikian bukti pihak polis tidak telus dan adil dalam menjalankan tugas.

“Kalau gagal berbuat demikian, bermakna polis tidak telus dan adil dalam penyiasatan,” tambahnya lagi.

Dhamendran, 32, mati pada 21 Mei disebabkan dipukul berkali-kali semasa berada dalam tahanan reman di ibu pejabat polis kontigen di Kuala Lumpur.

Tiga anggota polis masing-masing seorang berpangkat sarjan dan dua koperal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Dhamenderan, 32, di lokap tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 7 Jun lalu berkata usaha mengesan seorang lagi suspek yang bebas sedang dipergiatkan selepas tiga anggota polis yang terlibat dalam kes tersebut didakwa di Mahkamah Majistret.

Isu kematian dalam tahanan Kematian telah mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak, malahan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terlibat dengan menangkap mereka, dan bukannya hanya menukar kepada tugasan pejabat.

Menurut kumpulan hak asasi SUARAM, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan kes kematian setakat ini dilaporkan berlaku dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memberitahu Parlimen Oktober lalu 298 orang ditembak mati oleh polis diantara 2007 dan Ogos 2012, termasuk 151 rakyat Indonesia dan 134 rakyat Malaysia di mana secara puratanya seorang mati ditembak dalam setiap minggu.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006. MI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment