Wednesday, June 26, 2013

Jerebu: Kejadian berulang, keputusan berulang?

ULASAN Sejak lebih seminggu lalu, antara yang menjadi perbualan hangat masyarakat ialah isu jerebu. Jarang isu alam sekitar diberi perhatian besar oleh orang ramai.

NONEMeskipun orang ramai mudah menyokong usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, itu tidak bermaksud ia sentiasa diberi keutamaan dalam kehidupan peribadi atau keputusan penting yang bersangkutan dengannya. 

Setakat yang diketahui, berlaku pembakaran hutan di Indonesia - cara pembasmian hutan yang 'paling murah' - dan beberapa syarikat terlibat, termasuk milikan Malaysia dan Singapura. 

Dikatakan sekitar 3,000 hektar atau 7,400 ekar hutan dan ladang terbakar, di mana usaha memadamkannya akan mengambil masa beberapa waktu mencecah berminggu-minggu.

Merentas sempadan

Akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu, asap yang cukup banyak telah menyebabkan jerebu di negara Singapura dan Malaysia. 

NONEIa mencecah paras tidak sihat malah bahaya, sehingga darurat diisytiharkan di beberapa tempat di Malaysia. 

Namun, fenomena jerebu ini tidak eka-dimensi. Ia tidak terhad kepada soal alam sekitar atau kesihatan sahaja. Ia turut mencakupi persoalan politik - hubungan luar dan dasar negara - serta ekonomi. 

Sejak isu ini mula diperkatakan, seperti ada ketegangan apabila Agung Laksono, Menteri Koordinator Bidang Kesejahteraan Rakyat Indonesia mengeluarkan 'kata dua' kepada Singapura agar 'tidak membuat bising' dan 'bertindak seperti kanak-kanak'. 

Ini dilanjutkan lagi dengan kenyataan Jero Wacik, Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia yang mendakwa Singapura dan Malaysia cuba 'mencemarkan nama baik Indonesia' di peringkat antarabangsa.

NONESemalam Susilo Bambang Yudhoyono (kiri), Presiden Republik Indonesia tampil memohon maaf atas kejadian ini.

Mujur tidak ada reaksi balas yang boleh memanjangkan 'ketegangan yang tidak perlu' ini. Fokus semasa wajar diberi kepada usaha menangani kebakaran dan meminimumkan kesan jerebu. 

Saya fikir tawaran bantuan oleh Malaysia dan Singapura (selaku negara mangsa) adalah positif dalam konteks diplomasi antara negara. 

Retrospektif

Isu jerebu akibat kebakaran hutan ini bukanlah baru. Ia telah berlaku lebih sepuluh kali sejak 30 tahun lalu. 

Daripada Global Fire Emission Database, dua kebakaran besar di rantau ini dicatatkan pada tahun 1997 dan tahun 2006. Dua lagi kebakaran kecil berlaku pada tahun 2002 dan 2004, sementara yang lain dianggap 'tidak berkualiti tinggi' atau tidak menunjukkan rekod kebakaran berterusan. 

NONEDua kawasan utama kebakaran yang dinyatakan ialah Sumatera dan Kalimantan, berpunca kerana perubahan guna tanah (kepada pertanian komersil) dan juga peningkatan populasi (yang mendorong kepada pembasmian hutan)

Ini terkait rapat dengan dasar transmigrasi penduduk di Indonesia ke dua daerah tersebut sejak dekad 1960-an.

Ketika kes jerebu pada tahun 1997, dikatakan kerugian Malaysia, mengikut kadar tukaran wang pada masa itu, mencecah sehingga 321 juta dolar Amerika (atau 802 juta Ringgit Malaysia). Ia meliputi pelbagai sektor yang dikumpulkan - perubatan, pengeluaran, pelancongan, perikanan dan pengangkutan. 

NONEUntuk kes yang sama, kerugian di Singapura mencapai sehingga 78.8 juta dolar Amerika, dan kerugian bagi negara Indonesia adalah lebih besar, mencecah 3.8 billion dolar Amerika. 

Dalam maksud lain, kerugian di Indonesia pada waktu itu adalah sekitar 11 kali ganda berbanding Malaysia dan 50 kali ganda berbanding Singapura!

Tidak perlulah dinyatakan di sini tentang kesan buruk daripada kecuaian menguruskan hutan dan merancang pembangunan sehingga bahaya kesihatan akibat jerebu yang berpunca daripadanya.

Langkah ke hadapan

NONESetakat ini dikhabarkan menteri-menteri dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand akan bertemu pada 20 Ogos akan datang bagi membincangkan isu ini.

Sewajarnya diketahui umum bahawa pada tahun 2002 ASEAN telah mengadakan Perjanjian Pencemaran Udara Rentas-sempadan (ATHP) yang dimeterai oleh sembilan negara ahli, kecuali Indonesia.

Kita tidak tahu sejauh mana pertemuan akan datang boleh memperbaiki atau mengelak kejadian berulang ini. Walau apa pun, diharapkan ada keputusan positif untuk kepentingan semua pihak. - Mk


Amin Ahmad ialah graduan Sains Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment