Saturday, June 29, 2013

Jerebu : Indonesia Kumpul Bukti Dakwa 8 Syarikat Termasuk Sime Darby.

API marak dalam satu kebakaran hutan di daerah Bengkalis, dalam wilayah Riau semalam.- Reuters

JAKARTA - Pemerintah Indonesia sedang meneliti untuk mendakwa lapan syarikat dari Asia Tenggara kerana disyaki bertanggungjawab melakukan pembakaran hutan yang menyebabkan dua jirannya, Singapura dan Malaysia dilanda jerebu.

Krisis jerebu kali ini adalah yang terburuk pernah melanda rantau Asia Tenggara dalam tempoh 16 tahun. Kementerian Alam Sekitar Indonesia mendedahkan nama lapan firma tersebut pada minggu lalu. Setakat ini, pemilik lima firma perladangan berkenaan menafikan melakukan sebarang kesalahan manakala agensi berita Reuters gagal menghubungi tiga firma lain.

Tiga firma yang disiasat pula dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia. Siasatan oleh berpuluh-puluh pegawai di wilayah Riau, Sumatera mendapat bukti berlaku kebakaran di tanah yang dilesenkan kepada syarikat PT Tunggal Mitra Plantations dan PT Bhumireksa Nusa Sejati. Kedua-dua ladang itu didawa dimiliki oleh syarikat Malaysia, Sime Darby. Bhd melalui subsidiarinya, Minamas Plantation.

Mengulas perkembangan tersebut, Sime Darby memberitahu peta satelit terkini oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bersama peta syarikat menunjukkan tiada kebakaran berlaku di ladang Tunggal Mitra. Menurutnya, terdapat tiga kebakaran di tanah konsesi Bhumireksa Nusa Sejati.

Namun, kata Sime Darby, semua kebakaran itu berlaku di luar kawasan operasi syarikat. Sime Darby memetik undang-undang Indonesia yang dikuatkuasakan dalam tahun 1980-an yang memberikan hak kepada petani tempatan untuk menggunakan tanah konsesi yang belum diterokai tanpa sekatan.

Menurut Sime Darby, pihaknya tidak pernah membersihkan tanah di lokasi kebakaran itu sejak April lalu.
Sebahagian petani tempatan menggunakan kaedah pembakaran sebagai teknik murah untuk membersihkan tanah walaupun ia diharamkan di Indonesia. Pembakaran hutan bagi tujuan pertanian biasa dilakukan pada musim kering antara Jun hingga September.

Dalam pada itu, jurucakap polis nasional, Boy Rafli Amar berkata, sebanyak 14 orang telah ditangkap pada minggu ini kerana menyebabkan kebakaran. Beliau enggan mendedahkan sama ada mereka diupah oleh lapan firma berkenaan tetapi menambah, terdapat bukti kebakaran berlaku di tanah konsesi firma terbabit. Undang-undang baharu pada 2009 mengenakan hukuman berat ke atas jenayah alam sekitar di Indonesia.
Namun, peraturan itu jarang dikuatkuasakan.

"Ini merupakan jerebu dahsyat pertama yang berlaku sejak undang-undang baharu berkuat kuasa. Ini peluang terbaik bagi pemerintah menggunakannya," kata Timbalan Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), Peter Kanowski.

CIFOR merupakan sebuah organisasi pemuliharaan di Indonesia. Menurutnya di bawah undang-undang 2009, orang perseorangan atau syarikat yang didapati bersalah memulakan kebakaran hutan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda 10 bilion rupiah (RM3.1 juta). Pemerintah juga boleh merampas keuntungan dan menutup operasi firma berkenaan. Selain itu, pihak syarikat boleh disaman bagi tuntutan ganti rugi kemusnahan alam sekitar. - Reuters

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment