Monday, June 17, 2013

Dakwat kekal: Pengurusi SPR Bersedih... Sungguh Sedih beb!!! Wakakaka

“KALAU orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal,” luah Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf.

Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Kesedihan dengan kisah dakwat kekal tidak dapat disembunyikan. Rasa kesal dan dukacita itu dizahirkan Abdul Aziz ketika kunjungan beliau ke pejabat Sinar Harian baru-baru ini.
Kita merancang, ALLAH SWT yang menentukan segala-galanya. Namun kisah dakwat kekal bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan asas oleh sesetengah pihak untuk menuduh SPR membenarkan pengundi membuang undi lebih dari sekali. Jauh sekali membolehkan mereka menuduh SPR menipu untuk memberi kemenangan kepada parti yang memerintah.
Bersama Editor Sinar Harian, LAILATUN KHALILAH NASIR dan wartawan ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD serta jurufoto ROSLI TALIB, orang nombor satu SPR ini meluahkan banyak lagi perkara yang wajar diketahui umum terutamanya apa yang terjadi ketika hari bersejarah 5 Mei lalu

Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah selesai, tetapi sesetengah pihak tidak puas hati atau sahaja mahu cetus provokasi?

Saya merasa keadaan yang sangat aneh. Berduka cita dalam kebenaran. Sebagai orang Islam, kena percaya apabila berusaha dengan pelbagai cara, tetapi berjaya atau tidak, ALLAH SWT yang berkuasa.

Dalam erti kata lain, pilihan raya ini, yang menjadi raja dan penentu memilih wakil rakyat adalah pengundi, bukan SPR. SPR sediakan gelanggang berlandaskan Perlembagaan.

Bertandinglah sepuasnya untuk meraih undi rakyat. Kita jalankan ikut undang-undang sedia ada. Proses undang-undang kita sangat dinamik, dari tahun 50an sehingga sekarang, dinamik ini mengikut perlembagaan dan tuntutan rakyat semasa.

Semua rakyat menunggu begitu lama dan teruja untuk mengetahui tarikh 5 Mei 2013, sehingga berlaku sejarah apabila Dun Negeri Sembilan terbubar sendiri.
Apabila keputusan diumumkan, ada yang pertikai, marah dan tuduh macam-macam hingga kata kami (SPR) berkomplot. Ia amat pedih untuk kami terima tetapi itulah yang berlaku sekarang. Provokasi hingga ke jalanan.

Saya ingin tegaskan, SPR sebuah badan bebas yang tidak boleh tunduk dengan arahan atau diarah oleh orang lain. Bukan kita bongkak tetapi peruntukan undang-undang mahu kita seperti itu, bebas.

Tetapi bebas ini sangat subjektif, Pengerusi, Timbalan Pengerusi bekas pegawai kerajaan, sekarang ini kami yang bertugas di SPR, kami anggap sebagai berkhidmat untuk negara.

Ketika ditawarkan jawatan ini saya tidak sampai hati mahu tolak. Ramai yang tidak mahu jawatan ini ia sangat memberi tekanan. Tetapi atas dasar semangat dan cinta pada negara, saya terima dan khidmat saya yang boleh diberikan untuk Malaysia.
Bagaimana boleh timbul dakwaan SPR mengikut arahan kerajaan memerintah?

Ketika ini persepsi yang dibuat seolah-olah SPR bawah telunjuk kerajaan pemerintah. Sejak saya dilantik jadi Pengerusi SPR, tidak pernah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, "Aziz buat ini, buat itu...", tidak pernah.

Tetapi dari segi cadangan sesiapa sahaja boleh beri cadangan daripada Perdana Menteri sehinggalah budak pejabat. Sebab yang memutuskan apa-apa cadangan adalah tujuh panel yang diletakkan di bawah SPR, kita bebas buat keputusan. Maknanya, dari segi membuat keputusan dan operasi SPR, SPR bebas.

Dalam politik SPR paling hampir dengan parti politik yang menentukan kalah menang seseorang parti politik, kalau menang mereka pujilah SPR, kalau kalah, lainlah bunyinya, mereka akan cari kelemahan lain. SPR seperti jadi kambing hitam.

Persepsi ini tidak semestinya betul, kalau berkali-kali kata ini bukan putih, ini hitam, maka ia akan jadi hitam, itu politik. SPR pengadil, tugas kita sangat penting dalam PRU. Saya lihat pada PRU13 semua parti politik membuat fokus, mereka kata boleh menang negeri ini, kawasan itu.

Contoh kerajaan pemerintah kata boleh ambil Kelantan dan Selangor. Tetapi dalam realiti tidak jadi begitu, Selangor makin teruk, Pulau Pinang lagi teruk begitu juga Kelantan kecuali Kedah. Ini maknanya apa? Maksudnya kita hanya boleh merancang ALLAH SWT yang menentukan.

Dalam kes ini, pengundi jadi penentu. Boleh ke parti pemerintah dikatakan bersekongkol dengan SPR ang juga dicop sebagai ibu segala penipuan? Kalau SPR betul-betul penipu, maka menanglah negeri yang dicitakan parti pemerintah. Tapi apa yang berlaku tidak seperti itu bukan?

SPR dalam mesyuarat rasmi dan tidak rasmi, tidak ada terlintas untuk menipu, tidak ada perancangan atau agenda untuk menipu bagi memenangkan mana-mana pihak. Yang kita bincangkan, bagaimana untuk PRU berjalan dengan teratur sempurna dan saksama, di bawah kawalan kita.

Ramai yang melihat pembangkang berterusan menekan SPR, apa yang akan dilakukan?

Apa yang boleh kita buat adalah pujuk dan terangkan. Kalau mereka nak ikut, ikutlah dan tak nak ikut apa boleh buat, kita tiada kuasa. Apa yang berlaku sekarang ini, PRU13 berjalan dengan baik dan lancar, mana pengundi suka pada calon berkenaan maka menanglah calon dan parti itu.

Contoh, Lim Kit Siang bertukar tempat bertanding, menang di Gelang Patah, kalahkan bekas Menteri Besar Johor Ghani Othman. Sebab apa dia menang? Pengundi di Gelang Patah suka beliau, bukan sebab SPR tolong.

Kita sediakan tempat untuk bertanding. Banyak calon lain yang memang boleh menang di mana-mana sebabnya pengundi suka. Keputusan 5 Mei lalu paling awal diumumkan 11.10 malam dan paling lewat 2.10 pagi, tidaklah begitu teruk jika dibandingkan PRU12. Tetapi, kita tetap dituduh lewat dan macam-macam lagi.

Tetapi masih ada yang tidak mengiktirafnya dan menganggap banyak penipuan oleh SPR?

Kalau kita rasional dan pegang pada ajaran agama, terimalah hakikat yang kita menang PRU dan dapat jadi wakil rakyat dan berhujah mewakili rakyat. Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak dapat tubuh kerajaan walaupun katanya dapat undi popular. Sistem yang diguna pakai tidak begitu, kita guna first-past-the-post. Adakah wajar untuk kita tukar proses situ selepas PRU13? Kecuali undang-undang dipinda.

Kepada siapa yang bertanding terima hakikat, menang syukur, kalah cuba lagi lima tahun akan datang. Jangan kita pengaruhi budak muda untuk berhimpun, buat tuduhan melulu dan memesongkan persepsi mereka daripada yang benar kepada tidak betul.

Macam-macam tuduhan, contoh 40,000 warga Bangladesh, memang tidak masuk akal, kalau orang Jawa ke susah juga kita nak kesan, tapi ini Bangladesh dalam jumlah yang banyak.
Bagaimana isu lampu padam pada PRU13 boleh timbul?

Malam selepas mengira, kita telefon semua tempat, esok kita tanya polis, mereka kata tidak ada lampu padam, tidak puas hati dengan jawapan itu kami telefon TNB, dan mereka tetap kata tidak ada lampu padam.

Tetapi penghujung Mei timbul dalam akhbar ada lampu padam di Serdang, rupanya ada terputus bekalan elektrik di saluran tiga.

Namun, masa lampu terang undi yang dikira BN menang, tapi dalam lampu padam itu, Pas menang, patutnya BN lah menang tinggi kalau kata kita nak menipu. Jadi bukan kata soal lampu padam itu.

Setiap saluran ada ajen dan tahu berapa kertas undi keluar. Bukan kita berbohong atau berlakon, tetapi pada hari kejadian kami hubungi orang tertentu semua kata tidak ada. Jika benar keadaan itu, tetapi kemenangan itu berpihak pada pembangkang. Maknanya bukan sengaja lampu itu dipadamkan untuk memenangkan BN.

Komen Tan Sri mengenai tuntutan Blackout505 yang mendesak anggota SPR meletak jawatan?

Anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu seseorang anggota SPR hanya akan terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 66 tahun atau anggota itu sendiri meletakkan jawatannya dengan rela hati.

Seluruh anggota SPR tidak akan meletak jawatan atas desakan pihak berkenaan. Saya menerima banyak panggilan telefon untuk saya tidak tunduk dengan desakan itu. Apa salah kita? Seluruh dunia akan ketawa jika kita tunduk hanya sebab desakan itu.

Buktikan dalam petisyen bahawa SPR melakukan banyak kesilapan dan pembohongan salah laku, rasuah sehingga kalah orang itu, menang orang ini. Buktikan, barulah ada asas untuk letak jawatan.

Kami tidak akan letak jawatan, kalau mereka nak tuntut juga kita letak jawatan, pertama sekali mereka perlu fail petisyen, nampak jelas bahawa kita menipu dan melanggar undang-undang baru kita akur.
Bagaimana cara untuk melucutkan jawatan anggota SPR?

Seseorang anggota SPR boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang. Pemecatan mana-mana anggota SPR boleh dibuat melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong jika anggota itu bankrap, terlibat dalam apa-apa jawatan berbayar di luar tugas jawatannya atau apabila mereka menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dun.

Selain itu, perlucutan jawatan itu juga boleh dibuat melalui satu tribunal mengikut cara yang sama untuk memecat Hakim Negara. Bagaimanapun, jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Bagaimana dengan tuntutan kedua Blackout505, untuk adakan pilihan raya semula di sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen?

Di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dun sesuatu negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya. Sehinggalah pengisytiharan dibuat oleh Mahkamah Pilihan Raya bahawa pilihan raya itu tidak sah, barulah boleh. SPR tidak ada kuasa untuk adakan pilihan raya semula kecuali meninggal dunia selepas Speaker memaklumkan.

Saya pun pelik macam mana mereka hanya boleh suruh itu ini, lebih baik mereka kumpul bukti banyak bawa ke mahkamah.

Tuntutan ketiga, mahu SPR menghentikan semua kajian persempadanan semula pilihan raya sehingga anggota baru SPR dilantik?

Ini adalah satu daripada fungsi SPR untuk mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah perenggan (i) Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, kajian semula hendaklah dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun.
Tempoh lapan tahun itu telah tamat pada 21 Mac 2011, jadi tidak wajar untuk dilengahkan dan hendaklah dibuat dalam tempoh yang munasabah kerana ini merupakan tuntutan tugas SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa kita tidak buat pada 2011, kerana ketika itu ada khabar mengatakan PRU13 akan diadakan, jika kita tengah berbincang dan ketika itu bubar Parlimen keadaan akan lebih kelam kabut. Oleh itu kita tangguh lepas PRU13. Maka tahun ini kita akan mula bersama Sabah dan Sarawak.

Bagaimana proses persempadanan itu berjalan?

Untuk buat persempadanan semula bukan senang, satu kumpulan dilantik untuk bergerak ke negeri-negeri untuk menilai jumlah penduduk dan keadaan kawasan. Sudah 11 tahun berlalu, jadi bilangan penduduk semakin besar, migrasi dari kampung ke bandar semakin banyak.

Cara kita bekerja dengan melihat realiti Malaysia, ada Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Jadi kita tidak boleh samakan dengan keadaan kampung, semi urban dan bandar. Jadi tidak adil dengan keadaan luar bandar dan bandar.

Kita perlu ambil kira infrastruktur kawasan itu bagaimana wakil rakyat boleh berhubung dengan rakyat. Prosesnya begitu, kita juga mendengar banyak cadangan, antaranya pecahkan lagi banyak kawasan bandar, kalau Kuala Lumpur dari 11 jadi 20, adakah itu adil?

Sedangkan rakyat senang berhubung antara satu sama lain, jadi itu antara perkara yang perlu difikirkan. Seboleh mungkin kita mahu jadikan kawasan tersebut satu pemimpin, satu undi dan satu nilai.

Selain itu, beberapa negeri juga kita akan tukar dari angka genap kepada angka ganjil begitu juga dengan jumlah kerusi Parlimen, tidak lagi seperti angka sekarang 222, supaya ia tidak tergantung. Kalau ganjil tidak akan sama, jadi kita akan bincang mengenainya.

Adakah kajian itu bermula?

Sudah bermula, bagi negeri-negeri Semenanjung kajian utama telah dilakukan, kita sudah tahu berapa pertambahan kawasan dan kita akan mula di Sabah dan Sarawak.

Tetapi menambah kawasan ini perlu mendapat kelulusan untuk pinda Perlembagaan, kita hanya boleh mencadangkan, tetapi perlu ada suara majoriti.

Untuk parlimen akan dibahaskan di Parlimen, dan negeri bahas di negeri, bagi kawasan yang mempunyai majoriti dua pertiga lebih mudah. Tetapi kalau tidak cukup suara yang setuju maka jumlah kerusi Parlimen akan kekal.

Ada suara mengatakan persempadanan semula ini hanya menguntungkan BN?

Ini bukan soal untuk BN atau siapa, pada kita adalah untuk tentukan bilangan pengundi sebolehnya sama rata. Contoh untuk Parlimen berapa ribu ke atas, bagi semi urban pula berapa ribu begitu juga dengan kawasan kampung.

Pendapat Tan Sri dengan cadangan jawatankuasa khas parlimen untuk memantau SPR?

Apa yang akan dipanggil jawatankuasa itu kita tidak tahu, tetapi jawatankuasa ini akan jadi orang tengah antara SPR dan Parlimen. Maksudnya dari segi struktur SPR tidak lagi diletakkan di bawah mana-mana jabatan, dari segi operasi, SPR perlu membuat dasar atau undang-undang jadi kepada siapa kita mahu merujuk? Jika dulu kita rujuk pada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, oleh itu perlu pinda Perlembagaan untuk kita rujuk.

Banyak syor yang dibawakan oleh PSC belum dilaksanakan, contoh mengkaji semula sistem pilihan raya, menyusun semula tugas SPR, supaya ada tiga suruhanjaya dengan tiga tugas dan sebagainya.

Ada perkara yang memerlukan kajian untuk memperkasakan SPR. Siapa yang akan duduk dalam jawatankuasa itu akan dibincangkan kemudian. Banyak baiknya kepada SPR jika ada satu jawatankuasa itu, selagi ia menjadi tempat SPR merujuk, berbincang dan mendapatkan pandangan.

Tetapi jawatankuasa ini tidak boleh mengarahkan SPR untuk lakukan apa-apa sahaja, kecuali dengan pinda Perlembagaan bahawa SPR bukan badan bebas boleh ikut arahan.

Adakah dengan adanya jawatan kuasa mampu mengubah persepsi pembangkang?

Pada saya susah nak dijangka, politik tetap politik, kalau kalah buat macam mana pun mesti ada benda yang tidak kena. - Sinar Harian

Gambar2 Sekadar Hiasan

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment