Wednesday, June 19, 2013

Apa lagi ROS mahu?

Pemilihan CEC: Apa lagi ROS mahu, tanya DAP
KUALA LUMPUR: Kenyataan demi kenyataan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) melalui media hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap DAP dan mengugat keyakinan ramai terhadap kredibiliti pimpinan DAP.

“Kami telah berkali-kali mengatakan bahawa kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS dalam siasatan mereka dan setiap dokumen yang mereka minta dalam tempoh beberapa bulan ini telah pun kami bekalkan kepada mereka,” ujar Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya ROS masih tidak dapat menyelesaikan siasatan tersebut, ini hanya menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan mereka dalam menjalankan siasatan.

“Apa lagi ROS mahu?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban yang merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman semalam yang meminta DAP mengemukakan bukti mengenai silap kira undi dalam pemilihan CEC pada bulan Disember lepas.

Yang pertama, tanya beliau apakah ia telah menjadi satu prosedur untuk ROS mengeluarkan kenyataan media setiap kali mereka meminta DAP untuk memberikan keterangan atau bukti.

“Mengapakah hanya siasatan terhadap DAP diberikan perhatian oleh ROS sedangkan siasatan terhadap parti-parti politik yang lain tidak diwar-warkan untuk pengetahuan umum dalam media?” tanya beliau lagi.

Abdul Rahman dilaporkan berkata ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ROS untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang didakwanya telah dimanipulasi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Saya ingin bertanya kepada Abdul Rahman dan ROS, apakah kandungan surat pada 17 April lalu yang telah dimanipulasi oleh DAP?” tanya Loke lagi.

Tegasnya, dakwaan tersebut adalah satu dakwaan yang melulu dan tidak berasas sama sekali.

“Setiap kali kita mengadakan sidang akhbar untuk memberikan reaksi terhadap ROS, salinan surat dari ROS diedarkan kepada para wartawan sebagai bukti,” ujarnya lagi.- harakah

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment