Tuesday, May 7, 2013

Ya Tuhan! Apakah yang orang Cina lakukan?


SEJURUS selepas mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) memperoleh bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, Najib Razak telah memberi analisis ringkas beliau terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Ia cukup senang: tsunami Cina.

Mungkin ini kerana penasihat beliau merasakan dua perkataan ini mampu mengekalkan beliau sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Kebetulan pula, DAP mendapat keputusan yang paling cemerlang dalam sejarah parti itu dan kini menjadi parti pembangkang terbesar dalam Parlimen.

Kita sedia maklum dengan tanggapan BN terhadap DAP: parti Cina chauvinis yang sentiasa mengkritik kerajaan (Melayu) di samping hanya mengangkat agenda Cina seperti pendidikan sekolah Cina.

Maka dengan dua perkataan itu, Najib berharap mendapat anggukan setuju dan sokongan orang Melayu umumnya, dan ini bertujuan untuk mematahkan sebarang cabaran daripada dalam parti beliau sendiri. Beliau turut disokong Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang memberi komen bahawa kini Malaysia mempunyai sistem dua-kaum (two-race system).

Penulis tidak mampu memberi pencerahan terhadap apa yang berlaku semalam, daripada segi pendakwaan amalan penipuan undi, atau kembalinya undi Melayu ke pangkuan BN. Sudah pasti topik ini menjadi bualan penganalisis dan pakar sains politik pada hari-hari akan datang.

Ramai kawan penulis yang berbangsa Cina kecewa dan marah selepas mendapat keputusan. Mereka begitu terkilan dengan komen ‘tsunami pengundi Cina’. Bangsa penulis dijadikan senjata oleh Najib dan ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dan ketakutan.

Jadi amatlah sesuai rasanya tajuk cerita ini. Apa yang orang Cina telah lakukan?
Dr Mahathir pernah memuji kaum Cina sebagai lebih pragmatik dan praktikal. Penulis berterima kasih kepada Tun atas pujian itu dan akan cuba menjelaskan trend mengundi pengundi Cina, terutamanya yang muda.

BN tidak memahami sentimen anti-rasuah (bukan kerajaan Melayu) ini, maka mereka menggunakan taktik pendekatan yang amat salah. Cara seperti mempelawa Psy untuk menyanyi lagu ketika Tahun Baru Cina bukan sahaja tidak menyumbang kepada faktor ‘feel good’ terhadap BN, tetapi mengukuhkan lagi tanggapan pengundi Cina bahawa BN kaya sangat dengan hasil rasuah sehingga Psy pun boleh dijemput macam itu sahaja. Ketidakfahaman ini juga mengakibatkan Najib menanyakan soalan yang ‘memalukan’ kepada hadirin di Han Chiang itu.

Sebagai peringatan, BN wajar mendapat maklumat dan nasihat daripada sumber yang lain daripada MCA. Kekalah teruk parti komponen itu telah menghantar mesej yang jelas lagi terus-terang.

Pengundi Cina juga tertarik dengan penawaran calon yang berkaliber lagi menarik daripada parti pembangkang. Kebanyakan calon ini adalah orang yang relatifnya muda, profesional dan tidak mempunyai bagasi politik. Kebanyakan mereka bersih dan berani untuk berdepan dan menjawab isu yang dibangkitkan.

Calon yang ditawarkan MCA pula terkenal dengan nyanyian dan kelakuan yang memalukan. Malah satu daripada calon profesional dari MCA – calon Parlimen Pandan, Gary Lim – dikatakan melanggar etika peguam dan surat tunjuk sebab yang dihantar kepada beliau telah dibongkar oleh Rafizi Ramli.

Persepsi rasuah, cara pendekatan yang salah hasil ketidakfahaman aspirasi pengundi Cina dan perbezaan kualiti antara calon merupakan penjelasan penulis akan sokongan kuat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Wahai Najib, apakah yang orang Cina telah lakukan? – Roketkini.com

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment