Thursday, May 23, 2013

UMNO cetus ketegangan kaum, klasifikasi Melayu tidak undi BN pengkhianat


RAUB, 23 MEI: UMNO tidak sepatutnya mengklasifikasikan lebih 50 peratus pengundi Melayu yang tidak memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, sebagai pengkhianat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz sangat kecewa dengan sikap UMNO yang kononnya mendakwa membela Melayu sanggup berbuat demikian.

Katanya, UMNO juga menyangkal politik perkauman yang dimainkan sedangkan menuduh keputusan PRU-13 itu sebagai ‘Tsunami Cina’.

“Setelah keputusan PRU-13 diumumkan, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menyalahkan orang Cina kerana tidak mengundi BN, sedangkan UMNO yang memainkan isu perkauman.

“Di Semenanjung Malaysia, jumlah pengundi adalah seramai 9.45 juta dan 70 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu iaitu sekitar 6.62 juta.

“UMNO dan BN hanya memperolehi 4.35 juta undi. Jika 70 peatus Melayu bermakna pengundi Melayu berjumlah 3.05 juta. Ini bermakna di Semenanjung sahaja, 3.57 juta orang Melayu tidak menyokong UMNO,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Berdasarkan fakta itu, Mohd Ariff Sabri mempertikaikan tindakan Najib dan UMNO yang mengklasifikasikan Melayu yang tidak mengundi BN sebagai pengkhianat.

Menguatkan lagi hujah, beliau membuat perbandingan bahawa di Semenanjung sahaja, orang Cina yang menolak BN berjumlah 2.27 juta manakala orang Melayu yang menolak BN ialah 3.57 juta.

Beliau turut menegaskan bahawa undi adalah hak setiap rakyat Malaysia dan tidak ada siapa yang boleh memaksa rakyat untuk memilih parti mana yang mereka suka.

“1Malaysia ternyata alasan untuk membalun duit rakyat. Jutaan Ringgit dibelanjakan untuk program dan iklan di merata tempat. Orang tidak akan bercakap sebab tidak ada orang percaya BN serius untuk membangunkan konsep 1Malaysia yang hanya ada rupa, tapi roh tiada,” katanya.

Mohd Ariff Sabri pada masa sama kecewa dengan permainan sentimen perkauman melampau yang diteruskan media kawalan UMNO kerana mengetepikan hakikat sebenar ‘Tsunami Rakyat’ pada PRU-13 lalu.

Beliau mengingatkan bahawa menolak parti pemerintah bukan bererti tidak setia kepada negara kerana sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia membenarkan kerajaan diubah pada pilihan raya.

“Adakah dengan menolak BN itu sama dengan menolak ketaatan kepada negara? Apapun, Majoriti orang Melayu terbukti tidak memilih BN, ini bermakna UMNO bukan lagi suara majoriti orang Melayu,” ujar beliau.-Roketkini.com

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment