Wednesday, April 17, 2013

Tolak Zulkifli Noordin — Uthaya Sankar SB


17 APRIL — Tindakan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Zulkifli Noordin sebagai “rakan BN” untuk bertanding kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) memberi gambaran seolah-olah BN mempersenda, memperlekeh serta tidak mengambil kira sensitiviti orang ramai, khususnya kaum India.

Umum mengetahui bahawa Zulkifli pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina kaum India, penganut agama Hindu serta agama Hindu. Tindakannya turut dibidas masyarakat Melayu-Islam kerana mencemar kesucian agama Islam yang tidak membenarkan umatnya menghina mana-mana agama lain.

Sebagai seorang pengamal media, perunding media dan penganalisis politik, saya terkejut dengan tindakan BN mengambil Timbalan Presiden Perkasa itu bertanding atas tiket BN pada PRU-13. Pengumuman itu dilakukan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak pada 16 April 2013.

Dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman itu dibuat, tidak ada mana-mana pemimpin MIC yang tampil menyatakan bantahan. MIC selalu mendabik dada mengatakan ia wakil tunggal kaum India dalam kerajaan dan BN. Maka, amat mengecewakan apabila pemimpin MIC memilih untuk berdiam diri dalam hal ini; bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sebelum ini, pemimpin MIC dan pemimpin pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India dan agama Hindu (termasuk Malaysia Hindu Sangam) tampil mengecam Ridhuan Tee Abdullah dan Zulkifli yang mempersenda dan menghina kaum India dan agama Hindu.

Bagaimanapun, apabila BN mengambil Zulkifli sebagai calon untuk PRU-13, politikus kaum India, pemimpin NGO kaum India dan pemimpin NGO agama Hindu bagaikan tidak berani bersuara. Para pemimpin kaum India dalam BN — khususnya MIC dan PPP — umpama tidak ada pilihan selain menyokong penuh kempen Zulkifli. Ini merupakan satu lagi penghinaan kepada kaum India.

Walaupun saya tidak menyokong mana-mana parti politik, saya sangat kecewa dengan tindakan BN memilih Zulkifli sebagai calon BN. Saya menyeru masyarakat pelbagai kaum di Parlimen Shah Alam supaya tidak mengundi Zulkifli sebagai tanda dan mesej jelas kepada BN bahawa masyarakat pelbagai kaum di Parlimen Shah Alam khasnya dan di negeri Selangor amnya menolak calon yang rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu serta menghina agama/kaum lain.

Masyarakat pelbagai kaum/agama yang mencintai keamanan dan meraikan kepelbagai kaum/agama serta menolak segala bentuk penghinaan yang dilakukan orang-orang seperti Zulkifli dan Ridhuan Tee wajar memberi pengajaran penting kepada BN menerusi kuasa undi pada PRU-13.

Sebelum ini, pelbagai pihak (individu dan NGO) sudah menyatakan bantahan secara terbuka terhadap Zulkifli dan Ridhuan Tee tetapi pihak berkuasa dan BN tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Kedua-dua mereka bagaikan kebal dan lebih berkuasa daripada pihak berkuasa.

Maka, menjelang PRU-13, biarlah orang ramai (rakyat) menjatuhkan hukuman terhadap golongan rasis dan mana-mana parti politik yang menyokong individu seperti itu. Biarlah BN mendapat mesej jelas bahawa masyarakat pelbagai kaum/agama menolak politik perkauman dan politikus yang bersikap rasis.

Saya juga menyeru masyarakat pelbagai kaum “menghukum” MIC yang gagal membela kaum India sedangkan parti politik itu sentiasa mendabik dada berkata ia berjuang membela kaum India. Setiap undi kepada calon MIC samalah seperti satu undi kepada pihak yang menyokong politikus yang menghina kaum India dan agama Hindu.

Rasional yang mudah adalah bahawa selagi rakyat tidak “menghukum” pesalah, selagi itulah politikus akan terus berbuat sesuka hati tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat. MI

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment