Sunday, December 2, 2012

UMNO Akui Akan Dikalahkan Oleh Ahlinya Sendiri


Najib: 'Saya khuatir sikit soal kita sesama kita'
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kekhuatiran terhadap kemungkinan 'tindak balas' dari anggota yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Walau percaya bahawa sokongan umum akan memihak kepada BN, Najib tetap bimbang bahawa beliau akan menghadapi tindakan sedemikian daripada pemimpin Umno yang tidak dipilih sebagai calon.

"Saya percaya musuh kita tidak kuat.... saya yakin orang ramai akan memihak kepada BN... yang saya khuatir satu sahaja... sikit sahaja... soal kita sesama kita," tegasnya dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sepertimana dalam perhimpunan terdahulu, Najib turut meminta perwakilan membacakan ikrar agar taat kepada parti serta bekerja demi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tapi bezanya para perwakilan kali ini diminta menjawab soalan cepu emasnya – sama ada akan menyokong calon pilihan Umno sekiranya mereka sendiri tidak terpilih.

"Saya beri lima kemungkinan. Pertama sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong; ketiga, tidak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima lompat parti," katanya.

Tambahnya, soalan berkenan lebih penting untuk dijawab daripada kajian yang menunjukkan sokongan besar pada BN - seperti dikemukakan naib presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya.

"Sebab itu dalam perhimpunan ini kita mesti kata kita mesti dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak 'adalah saya tetap akan sokong BN'," kata Najib yang disambut laungan "Boleh" sebanyak tiga kali oleh para perwakilan.

"Kalau itu jawapannya yang sebenarnya dalam hati kita, Insya-Allah, akan memberi kemenangan kepada Umno dan BN (dalam pilihan raya umum)," tambahnya.

Najib seterusnya meminta para perwakilan membawa soalan itu pulang untuk difikir secara mendalam dan mengawasi golongan penghasut - yang digelarkan "tukang kipas dan "batu ronson" di dalam parti.

"... dalam kereta, dalam bas ekspres, cuba tepuk dada tanya selera.... Kita nak bawa semangat ini, kita nak menghayati semangat ini, (apabila) kita nak jumpa penyokong kita bila balik," katanya.

Sekiranya ahli berkenaan tidak kuat iman, "sokongan penuh" kepada calon berkenaan mungkin akan menyebabkan mereka berubah pandangan sehingga melakukan sabotaj ke atas parti, kata Najib.

"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti... kerana gila jawatan, kerana dirasuk orang tertentu sekarang jadi orang yang menentang Umno dan BN," katanya. -mk

Umno akan ditewaskan oleh ahli sendiri, kata Khairy 
KUALA LUMPUR, 1 Dis — Umno akan ditewaskan dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-13 nanti oleh ahlinya sendiri kata ketua pemuda parti tersebut, Khairy Jamaluddin sambil menggesa semua pihak supaya setia kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli parlimen Rembau itu dilihat menyokong gesaan Najib yang mahukan kesemua ahli parti menerima calon yang dipilihnya demi kemenangan parti.

"Yang boleh menewaskan kita (Umno) adalah diri kita sendiri," kata Khairy selepas berakhir Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapan penggulunggannya, Najib sekali lagi menekankan tentang pentingnya prinsip "kesetiaan" ahli kepada parti dan tidak mahu melihat berlaku "sabotaj" seperti yang berlaku dalam PRU 2008 lalu.

"Saya sendiri telah memberi jaminan, walaupun Pemuda ada harapan masing-masing menjadi calon dan sebagainya tapi kita akan tetap setia dengan dengan apa saja keputusan.

"Kerana kesetiaan adalah prinsip paling penting daripada harapan peribadi masing2-masing.

"Kesetiaan adalah nombor satu," tambah Ketua Pemuda Umno itu lagi.

Sebelum itu, Khairy juga gembira dengan keputusan presiden Umno, Najib kerana menerima dua cadangan diusulkan semasa perbahasan antaranya penubuhan institut kepimpinan kepada ahli-ahli muda Umno dan juga pindaan melibatkan Akta Kebangkrapan.

Isu perpaduan menjadi tajuk utama ucapan Najib sejak daripada awal perhimpunan agung kali ini menjelang pilihan raya akan datang.

Kepada pemimpin tertinggi parti terbesar negara itu, mesej Najib sangat jelas, bersatu atau bersedia menghadapi kekalahan, kebanyakkan yang ditemui bertenaga selepas meninggalkan taklimat tersebut.

Perdana menteri (PM) keenam tersebut mengingatkan mereka tentang pentingnya kesetiaan kepada parti untuk menjamin Umno terus menerajui negara selepas kejutan dalam pilihan raya 2008.

Pemimpin yang ditemui selepas taklimat Najib mengatakan, presiden menegaskan tentang bagaimana sabotaj dalaman hampir menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada pilihan raya lalu.

Pada perhimpunan Umno Disember tahun lepas, perwakilan mengangkat "sumpah bai'ah", satu langkah simbolik oleh parti untuk mengelakkan perbalahan dan sabotaj dalaman menjelang pilihan raya umum.

Pada ketika itu, Najib memberitahu seramai 5477 perwakilan tentang pilihan raya akan menjadi "paling kritikal" setakat ini untuk parti pemerintah, turut mengulangi tentang pentingnya bersatu.

Masalah utama yang dihadapi parti komponen utama dalam BN ketika ini adalah dalam menentukan calon dan keputusan Umno tidak mengeluarkan senarai calon memperlihatkan lagi masalah itu dalam parti tersebut.

Umno menyedari PRU-13 kali ini paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Dalam pilihan raya 2008, buat pertama kalinya penguasaan tradisi majoriti dua pertiga BN dinafikan oleh PR dan beberapa negeri BN seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ke tangan PR.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri. -TMI

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment