Thursday, December 13, 2012

Jaga akhlak tidak dianggap ceroboh hak bukan Islam


KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Kelantan untuk menangguh penguatkuasaan Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut wajar dilakukan jika bertujuan untuk menjelaskan kes yang timbul.
“Peraturan itu sendiri tidak seharusnya diketepikan kerana prinsip menjaga kesopanan dan kesusilaan masyarakat seperti yang terungkap dalam Rukun Negara tidak boleh diremehkan,” kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Justeru, tegasnya Mapim berpendirian usaha untuk menjaga akhlak masyarakat adalah usaha yang murni dan tidak boleh dianggap menceroboh hak bukan Islam.

Beliau berkata, Mapim berpegang kepada prinsip bahawa tujuan utama yang harus difahami oleh masyarakat ialah menjaga kemurnian nilai dan sahsiah masyarakat.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai mengganggu hak masyarakat bukan Islam kerana ia adalah suatu kesepakatan sosial untuk menjaga budaya hidup masyarakat yang sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Undang-undang kecil Kedai Gunting Rambut Salun Uniseks yang diwujudkan oleh MPKB adalah jelas dan ia ujud sejak 1991.

Tambahnya, undang-undang seumpama itu juga wujud dikebanyakan PBT di seluruh negara.

Katanya lagi, jika ia tidak selaras dengan Perlembagaan Negara sudah tentu ia seharusnya dibahaskan sejak penggubalannya lagi.

“Kes saman yang dikeluarkan oleh MPKB ialah apabila ada pelanggaran syarat lesen. Itu pun apabila langkah peringatan dan nasihat dikeluarkan kepada pengusaha,” ujarnya.

Mohd Apabila terbukti memang pihak pengusaha sengaja tidak mengendahkan peraturan maka sewajarnya tindakan undang-undang diambil.

Azmi menambah, oleh itu tidak timbul isu memaksakan undang-undang yang menceroboh hak bukan Islam.

Katanya, gelagat politik bertaraf rendah dan murahan yang ditunjukkan oleh ahli Gerakan Negeri Sembilan yang bergegas ke salun uniseks di Kota Bharu dan mendapatkan khidmat di kedai berkenaaan dengan tujuan mencabar pihak berkuasa MPKB amat memualkan.

“Ia adalah tindakan kebudak-budakan ia tidak layak diberi layanan. Hanya publisiti murahan sahaja yang ingin diraih oleh mereka, bukan untuk melihat isu tersebut secara matang,” katanya. Harakah

Kelantan tangguh kuatkuasa syarat kedai gunting rambut
12 Dis 2012
(Dr Fadzli, Takiyudin dan Anuar Tan dalam sidang media hari ini)

KOTA BHARU: Semua penguatkuasaan syarat-syarat Lesen Kedai Gunting Rambut MPKB yang berkaitan dengan Orang Bukan Islam ditangguhkan sementara sehingga satu kajian dan penilaian dibuat semula.

Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Ke Atas Orang Bukan Islam yang telah diguna pakai sejak tahun 1991 itu ditangguhkan serta merta hari ini selepas mesyuarat exco bersetuju untuk berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penangguhan itu mengambil kira pandangan hasil perjumpaan wakil kerajaan negeri dengan pemimpin organisasi yang dianggotai masyarakat bukan Islam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tengahari tadi.

Katanya, kerajaan negeri sebelum inipun membuat dasar berhubung perkara itu pada tahun 1991 selepas diadakan perbindangan, perbincangan dan pandangan umum.

Peraturan dibuat ketika itu ekoran dari penyalahgunaan kedai gunting rambut unisex sebagai pusat aktiviti tidak sihat termasuk pelacuran di Kelantan.

“Hasil perbincangan akhirnya penguatkuasaan syarat-syarat kedai gunting rambut misalnya dibuat setelah ianya dipersetujui.

“Bagaimanapun, pada tahun ini selepas 21 tahun ianya berjalan, isu yang melibatkan perkara yang sama timbul semula, maka cara yang kita buat sama juga, iaitu perundingan,”ujarnya.

Sambungnya, sebelum keputusan kerajaan negeri diambil hari ini, perbincangan dengan pimpinan organisasi masyarakat bukan Islam diadakan untuk mendapatkan gambaran atau hasrat mereka.

Pertubuhan Gabungan Tionghwa Kelantan dan Dewan Perniagaan Cina Kelantan turut hadir baru-baru ini yang diwakili oleh pemimpin mereka.

“Selain itu juga kita turut mendapat pandangan dari pelbagai pihak, iaitu pihak kedua dan ketiga juga,”ujarnya.

Sambungnya, perkara itu dilaporkan dalam mesyuarat exco hari ini dan akhirnya keputusan telah diambil untuk diistiharkan keputusan kepada mereka berkenaan melalui dua orang lagi wakil anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment