Friday, November 9, 2012

'Zul Yahya' Mengaku Tidak Bersalah Hina Sultan Melalui Facebook

JOHOR BARU: Seorang juruukur bahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.
Ahmad Abd Jalil, 27, yang berasal dari Klang, Selangor, membuat pengakuan itu di depan Hakim Zamri Bakar selepas pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 Nov depan untuk menyebut semula kes.

Ahmad didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama 'Zul Yahya' di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira 3 petang, 21 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira 6 petang, 10 Okt lepas.

Terdahulu, Umar Saifuddin menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Radzlan Jalaludin dan Mohd Haijan Omar meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kerana tertuduh baru mendirikan rumah tangga dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Kedua-dua peguam juga berkata mereka akan memfailkan notis bantahan awal bagi menggugurkan semua pertuduhan terhadap Ahmad kerana ada beberapa fakta dalam kertas pertuduhan yang tidak berkaitan dengan tertuduh.

Anggota keluarga Ahmad kemudian membayar wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. - Bernama

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment