Friday, November 16, 2012

Muktamar Pacu Ahli PAS Siap Sedia Hadapi PRU13 +Gambar

Kota Bharu: Debar dan penantian pemerhati politik untuk melihat sejauh mana keseriusan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi piilihan raya umum ke-13, hari ini mulai tertumpu ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).
Muktamar kali ke-58 bermula dengan suasana ceria biar pun Kelantan memasuki musim tengkujuh. Ketibaan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di celah-celah kehadiran orang ramai kira-kira jam 9 pagi.

Putik yang agak sunyi selepas berlalu muktamar dua tahun lalu, hari ini kembali menjadi meriah semula dengan agenda muktamar yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Sejurus ketibaan, Presiden melakukan pemeriksaan pasukan anggota Unit Amal dan Nisa’. Paluan kertuk, rebana dan gendang Cina memeriahkan kelangsungan muktamar.

Muktamar diceriakan lagi dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr Asalam Alamah.

Selain itu wakil Jemaah Islam Sri Lanka. Tokoh lain termasuk bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, bekas anggota parlimen Batu Berendam, Datuk Thamrin Ghaffar, veteran-veteran PAS termasuk Ismail Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penantian untuk mengikuti muktamar lewat sikit diadakan tahun ini kerana mengambil faktor pilihan raya yang diuar-uarkan diadakan Jun lalu.

“Ia khabarnya diadakan pada Jun lalu. PRU ke-13 diadakan tidak lewat daripada 27 Jun 2013 berikutan tempoh penggal parlimen ke-12 akan berakhir dengan mengambil kira tarikh 28 April 2008 bermula sidang pertama parlimen,” katanya pada ucapan aluan.

Ekoran itu katanya, perwakilan hendaklah menggunakan medan muktamar kali ini untuk bermuhasabah dengan memberi teguran bagi kebaikan jemaah.

“Lagi pun kita tidak ada banyak masa sekarang. Kita yakin PRU 13 pertaruhan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kita. PRU 13 jadi penentu kepada hidup atau mati Umno, mereka melakukan apa sahaja bagi mempertahan kuasa yang ada.

“Oleh itu PAS dan Pakatan siap siaga dengan kekuatan spiritual diperlukan. Bagaimanapun kejayaan menawan Putrajaya bukan matlamat akhir bagi PAS,” ujarnya. -HD

Arahan Presiden kepada pimpinan dan ahli PAS
KOTA BHARU: Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 yang merupakan muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan khusus kepada ahli dan pimpinan parti itu.

Tujuh arahan tersebut ialah:

1 Mengarahkan semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.

2 Mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.

3 Menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.

4 Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita.

Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.

5 Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

6 Mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.

7 Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment