Monday, October 29, 2012

Saya sebut tutup aurat untuk Islam – TG Nik Aziz

KOTA BHARU: “Saya sebut tutup aurat untuk orang Islam tidak kepada bukan Islam. Kalau tak tutup aurat “padanlah” kalau kena rogol pun.

“Tapi oleh sebab dia pandang serong awal-awal lagi kepada Islam, maka dia beremosi. Ini sesuailah dengan Umno yang juga pandang serong terhadap Islam,” kata Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS berkata, tohmahan yang dilempar MCA terhadapnya jelas sangat beremosi dan menampakkan pandangan serong mereka terhadap Islam.

Ia juga sama dengan Umno yang memandang serong Islam, bahkan menolak Islam dalam dasar perjuangan partinya.

Beliau ditemui pada rumah terbuka sempena Aidiladha di kediamannya di Pulau Melaka semalam. Pada majlis itu Menteri Besar mengorbankan tiga lembu dan dagingnya diagih kepada penduduk kampung.

Baru-baru ini Pengerusi Wanita MCA, Heng Seah Kie dilaporkan mendakwa Tuan Guru Nik Aziz membenarkan wanita bukan Islam dirogol sekiranya tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.

“Apabila Umno tolak Islam, takkan pula MCA nak bantu Islam. Dengan automatik parti itu akan buat perkara-perkara yang melemahkan Islam.

“Jadi mereka tidak layak memimpin negara. Negara barat marah kepada Islam, Umno pun begitu juga. Jadi apa beza Umno dengan pandangan barat,” ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya ia terletak kepada keputusan parti dan dirinya sendiri.

“Kalau saya rasa boleh bertanding, saya bertanding, namun kena dengar dahulu keputusan parti.

“Apabila parti buat keputusan bertanding maka bertandinglah kecuali saya kata tak boleh bertanding lagi kerana masalah kesihatan atau sebagainya.

“Tetapi selagi saya berasa masih boleh bertanding dan parti pun setuju maka saya bertandinglah,” katanya.

Menurutnya tidak ada had umur dalam perjuangan gerakan Islam kerana penamatnya ialah mati.

Mengenai calon dalam PRU-13, beliau berkata, PAS akan bertindak secara rapi dan berhati-hati berdasar kepada pengalaman lalu.

Ini kerana menurutnya negara ini bukan demokrasi sebenar sebaliknya hanya demokrasi buat-buatan sahaja.

“Kami tidak diberi lesen mengendalikan radio, surat khabar harian pun tak diluluskan permit, demikian juga dengan televisyen.

“Akses media sangat tidak adil. Ini kerana mereka tahu perjalanan gerakan Islam adalah pada landasan yang betul.

“Apabila diberi peluang mendapat tempat dalam suratkhabar menyebabkan rakyat sedar dan menolak fahaman kebangsaan. Namun mereka sekat supaya rakyat terus jadi bodoh,” kata beliau.

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment