Sunday, September 30, 2012

Janji Di Capati : Balu dan bekas anggota Homeguard tuntut RM3,000

JERAM - Lebih 60 balu dan bekas anggota pasukan Homeguard yang berkhidmat zaman darurat buntu apabila masih belum menerima sagu hati khas RM3,000 melalui Tabung Bantuan Amanah Warisan Polis dimohon awal tahun ini.

Sejurus diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika pembentangan Bajet 2012 tahun lalu, mereka gembira akan menerima wang berkenaan, tapi sehingga hari ini adalah sebaliknya. 

Berikutan itu mereka minta pihak berkenaan di Putrajaya segera proses dan maklumkan status permohonan yang di hantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kerana ada pemohon sudah terima cek sagu hati tersebut. 

Bekas anggota pasukan Homeguard Jalan Sempadan, Kampung Parit Mahang, Sapri Sulaiman, 83, berkata, dia memohon sagu hati itu memandangkan dia pernah berkhidmat di Estet Bukit Ijok pada zaman darurat antara 1948 hingga 1962. 

“Sebelum ini, saya bersama anak ke Putrajaya mendapatkan sumbangan itu dan segala borang diisi, namun hingga kini cek dijanjikan belum diterima sedangkan rakan lain sudah ada yang dapat. “Jika ditakdirkan menerima wang sagu hati itu, saya boleh beli barang keperluan harian dan berhasrat menambak jalan masuk ke rumah yang lecak apabila hujan," katanya. 

Menurutnya, sebagai Homeguard, tiada pencen atau apa-apa jaminan dan sagu hati disediakan. "Sagu hati itu umpama rahmat besar membantu meringankan beban kami sekeluarga dan harapan mendapatkannya terlalu tinggi. “Sebab itu, saya sanggup bersama anak uruskan prosedur bantuan itu meskipun terpaksa menanggung kos memandangkan perjalanan dari Kuala Selangor ke Putrajaya bukannya dekat,” katanya. 

Balu, Muhayah Abd Rahman, 75, dari Kampung Bukit Hijau berkata, dia masih setia menunggu sagu hati itu, sejak isi borang April lalu. "Saya hanya mampu tumpang gembira apabila ada rakan lain menerima cek RM3,000. “saya berharap proses sumbangan itu dapat dipercepatkan memandangkan semua dokumen, surat akuan sumpah dan bukti suami seorang bekas Homeguard sudah lengkap,” katanya. 

Sementara itu, penduduk yang membantu menguruskan permohonan saguhati berkenaan, Jabar Ahmad, 62, berkata, borang permohonan melibatkan 80 pemohon itu dihantar ke IPD sebelum dilanjutkan ke Putrajaya. “Setakat ini, hanya 19 individu berjaya menerima cek berkenaan dan baki masih menunggu. Saya turut tertekan apabila dihubungi pemohon bertanyakan perkembangan hampir setiap hari. 

“Apabila pihak berkenaan dihubungi, talian sentiasa sibuk dan menyukarkan kita mengetahui perkembangan permohonan,” katanya. 

Sinar Harian difahamkan, pembayaran sagu hati khas RM3,000 itu seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2012 kepada lebih 70,000 bekas anggota pasukan Homeguard antara 1948 hingga 1962 di Semenanjung dan 1962 hingga 1974 di Sabah dan Sarawak di negara ini. 

Pembayaran dibuat kepada bekas anggota pasukan Special Constabulary, Homeguard, Auxiliary Police, Extra Police Constable, Border Scout, Jungle Scout /Squad, Police Field Force Reservist dan Sarawak Constabulary. - SH

No comments:

Post a Comment