Wednesday, September 12, 2012

Himpunan Merdeka Kampus : 16 September di Dataran Merdeka, jam 2 petang

HIASAN
Himpunan Merdeka Kampus, Dataran Merdeka

Muhammad Safwan Anang,
Gabungan kumpulan mahasiswa kali ini telah membuat satu keputusan untuk mengadakan satu himpunan di ibu kota bagi menyuarakan apakah tuntutan sebenar mahasiswa hari ini.

Keputusan ini dibuat setelah mempertimbang beberapa isu utama mahasiswa sebelum ini seperti yang pernah didedahkan Pro Mahasiswa mengenai manipulasi parti pemerintah sekarang terhadap tarikh pilihan raya kampus.

Dokumen dengan nama OPS 2020 yang didedahkan di Parlimen semasa perbahasan bajet tambahan sebelum ini, juga secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada gerun dengan gelombang kebangkitan mahasiswa sejak akhir-akhir ini. Sehingga kerajaan terpaksa membuat keputusan menangguhkan pilihan raya kampus kepada suatu tarikh yang tidak diketahui dan mestilah selepas tarikh pilihan raya umum. Sepatutnya pilihan raya kampus berlangsung sekitar Mac atau paling lewat April yang lalu setelah pembubaran Majlis Perwakilan pada Februari.

Namun, seperti pendedahan terbaru, pilihan raya kampus telah dianjak kepada Septemberini dan kebanyakan kampus melaksanakannya secara serentak pada 20 dan 25 September kerana mahasiswa yakin bahawa kerajaan gerun dengan pendedahan yang dibuat maka pilihan raya kampus terpaksa juga dibuat sebelum pilihan raya umum bagi menampakkan apa yang didedahkan oleh mahasiswa adalah tidak benar.

Pun begitu, kami mahasiswa tidak hanya memandang kepada isu tarikh pilihan raya kampus bagi sesi kali ini yang sememangnya penuh dengan manipulasi tambah pula campurtangan parti pemerintah, bahkan tuntutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus yang telus dan berintergriti mesti ditunaikan. Mahasiswa tegas dengan pendirian bahawa universiti mestilah diberikan autonomi yang sebenar dan menolak campurtangan daripada pihak kerajaan sepenuhnya, sehingga mengabaikan hak mahasiswa sedangkan universiti dalam masa yang sama dipimpin oleh ahli-ahli akademik yang seharusnya bebas daripada pengaruh politik luar.

Pada kali ini, mahasiswa bertegas dengan enam tuntutan terhadap agenda pilihan raya kampus. Bermula daripada penetapan tarikh pilihan raya kampus bagi setiap sesi, penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa suruhanjaya pilihan raya kampus, badan bebas sebagai pemantau pilihan raya kampus, reformasi sistem pengundian supaya lebih telus, kebebasan berkempen termasuk tempoh kempen dan tuntutan ke enam termasuklah penyediaan dana universiti kepada calon yang bertanding secara adil dan sama rata.

Justeru, gabungan mahasiswa kali ini menyeru untuk seluruh mahasiswa dan mana-mana badan atau pertubuhan bahkan seluruh rakyat Malaysia yang cakna dengan isu pilihan raya kampus ini turut hadir ke Himpunan Merdeka Kampus pada 16 September di Dataran Merdeka pada jam 2 petang. Kami akan suarakan enam tuntutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus kali ini memandangkan tarikh pilihan raya kampus dan pilihan raya umum semakin hampir.

Salam Solidariti!
Disediakan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia

Turut disokong oleh
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Malaysia Youth And Students Democratic Movement (DEMA)
PRO Mahasiswa Nasional (Gabungan seluruh Pro Mahasiswa)

No comments:

Post a Comment