Friday, August 24, 2012

Punca sebenar rusuhan 13 Mei : Rakyat ditipu oleh UMNO

"Ketika orang ramai masih berhimpun untuk perbarisan tersebut, pergaduhan berlaku di Kampung Baru berhampiran, di mana dua lori orang Cina telah dibakar. 

"Pada jam 7.15 petang, saya dapat lihat satu gerombolan berkumpul seperti lebah di persimpangan Jalan Raja Muda dan Batu Road. Lebih banyak kenderaan dipecahkan dan rumah kedai orang Cina dibakar.

"Pekedai Cina dan India di Batu Road telah bergabung membentuk satu 'pasukan pertahanan kawasan' dengan bersenjatakan apa sahaja yang sempat dicapai � parang, kayu, batang besi dan botol�

"Apabila kumpulan orang Melayu beredar, maka penduduk terbabit terus tertindak balas. Bahagian depan kedai dan kereta yang disyaki milik orang Melayu telah dipecahkan atau dibakar� 

"Polis tiba kira-kira jam 9 malam tetapi tidak berkawal di situ. Kemudian, trak yang membawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (pasukan pencegah rusuhan) dan Regimen Askar Melayu beredar dari situ�" 

(Petikan daripada catatan wartawan Far Eastern Economic Review, Bob Reece, mengenai apa yang disaksikan dengan matanya sendiri berlaku pada 13 Mei 1969 selepas sekumpulan pemuda Melayu berkumpul di luar rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris lewat petang hari berkenaan)

Sudah hampir empat dekad berlalu selepas tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 Bagaimanapun, apakah yang mencetuskan rusuhan paling buruk dalam sejarah 50 tahun Malaysia, yang mengorbankan 196 nyawa (mengikut rekod rasmi), masih menjadi rahsia, dan sehingga ini terdapat pelbagai versi mengenainya. 

'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk. 

'Semuanya karut'
Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah dirancang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman

Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi satu set dokumen yang baru dideklasifikasikan di London, telah membuka peluang kepada ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.

Pada akhir tahun lalu, Pengetua Kolej New Era itu telah mengambil cuti belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia. 

Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu � yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua yang akan dilancarkan Ahad ini � mendapati rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang telah digambar kepada rakyat Malaysia

"Sejarah (rasmi peristiwa) 13 Mei penuh dengan karut-marut, ia tidak mendedahkan apa-apa. Ia meletakkan kesalahan itu ke atas parti pembangkang yang sebenarnya tidak benar, mereka bukan menjadi puncanya," kata Dr Kua kepada malaysiakini dalam satu temubual baru-baru ini.
"Buku saya itu menunjukkan bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah golongan kapitalis (dalam Umno), elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancangannya berdasarkan kepada mereka yang berkumpul di kediaman menteri besar (Selangor). 

"Terdapat dokumen dan laporan risikan yang menunjukkan perkara itu. Sejarah rasmi perlu mendedahkan kebenaran dan bukannya meletakkan kesalahan kepada setiap orang yang sepatutnya tidak harus dipersalahkan," kata aktivis sosial dan pendidikan itu.


Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu � yang disokong oleh polis dan tentera � untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu. 

Plot menumbangkan Tunku
Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan 'samseng Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut. 

Sebagai contohnya, kata beliau, "sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru" pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku. 

Tambahnya, dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberikuasa penuh untuk mentadbir negara � satu petanda wujudnya komplot mengenainya. 

Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan telahpun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (diumumkan pada 1971). 

Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Razak � 'untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku'. 

Dr Kua turut mempersoalkan peranan anggota pasukan keselamatan dalam peristiwa berdarah 13 Mei itu. 

"Malah, ketika itu, kalangan diplomatik (juga bertanya-tanya) mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Razak bertemu dengan pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa," katanya.

Lebih menarik lagi, kata Dr Kua, pasukan keselamatan Malaysia adalah sebuah pasukan yang berpengalaman luas sewaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis antara tahun 1948 dan 1960 dan bereputasi tinggi. 

"Merekalah yang berjaya menghapuskan penentangan komunis yang membabitkan operasi yang lebih sukar daripada mengawal rusuhan, tetapi mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada 1969 selama berhari-hari, berminggu-minggu," soalnya. 

Ekoran itu, Dr Kua membuat kesimpulan: "Peristiwa 13 Mei adalah satu helah untuk merampas kuasa�saya bukanlah orang pertama yang berkata bahawa ia adalah satu rampasan kuasa, tetapi saya menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa." 

Jumlah korban tidak diketahui
Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat. 

Ini dianggap pertamakalinya satu catatan lengkap mengenai tragedi tersebut akan dapat ditatapi rakyat Malaysia, kerana banyak laporan wartawan asing telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen tempatan. 

Bagaimanapun, apa yang tidak dapat dipastikan dalam buku tersebut adalah satu lagi rahsia, iaitu jumlah sebenar korban tragedi tersebut. 

Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei adalah 196 orang, 180 cedera akibat senjatapi dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.

Dokumen yang telah dideklasifikasikan dan dokumen antarabangsa yang lain pada masa itu menganggarkan jumlah korban yang lebih tinggi tetapi angka sebenarnya tidak diketahui, tetapi majoriti korban tersebut dikatakan dari kalangan orang Cina

Dr Kua berkata, beliau berharap dapat memecahkan mitos tersebut melalui penerbitan bukunya. 

"Iaitu rusuhan kaum akan berlaku bila orang Melayu tidak merasa senang, itulah sebabkan mengapa kita perlukan Dasar Ekonomi Baru, polisi tindakan afirmatif dan yang lain-lainnya, jika tidak orang Melayu tidak merasa senang dan rusuhan akan tercetus. 

"Ini adalah mitos pertama yang kita perlu uraikan kerana dokumen-dokumen menunjukkan sesetengah mereka yang mencetuskannya (tragedi 13 Mei) bersubahat dengan pihak polis dan tentera," katanya. 

Mitos kedua, kata Dr Kua, ahli akademik dan ahli teori majmuk yang memegang pandangan bahawa rusuhan akan berlaku secara semulajadi dalam negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum. 

Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu, Cina dan India tidak secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk bergaduh sesama mereka. 

"Ia tidak berlaku macam itu," tambahnya. 

Ditanya sama ada beliau bimbang pihak berkuasa akan bertindak mengharamkan bukunya itu sepertimana yang berlaku kepada buku mengenai pergaduhan di Kampung Medan, Dr Kua berkata: "Dalam zaman internet, apa maknanya apabila sesebuah buku itu diharamkan? Kita boleh siarkannya di lamanweb, anda boleh buat apa saja". Mkini 



Apa yang sebenarnya berlaku ketika rusuhan 1969 
Siri peristiwa yang berlaku sewaktu rusuhan '13 Mei' telah didokumen oleh Dr Kua Kia Soong dalam buku terbarunya bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 akan dilancarkan Ahad ini sempena ulangtahun ke-38 tragedi tersebut. 

Kompilasi itu, yang berdasarkan kepada pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu � yang telah dideklafisikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London � yang dianggap sebagai catatan yang boleh dipercayai berhubung tragedy tersebut. 

Dr Kua menulis dalam bukunya itu bahawa keadaan sebenar mengenai rusuhan kaum yang terburuk dalam sejarah negara itu sehingga ini tidak diketahui oleh rakyat Malaysia. 

Malah, katanya, versi rasmi mengenai tragedi itu penuh dengan percanggahan dan maklumat yang tidak mencukupi yang boleh dipercayai. 

Di bawah adalah petikan dan ringkasan kronologi peristiwa rusuhan 13 Mei yang dipetik daripada buku Dr Kua itu: 


10 Mei: 
Parti Perikatan yang memerintah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum tetapi masih memperolehi majoriti mudah di Dewan Rakyat. Perikatan kalah di Pulau Pinang kepada Gerakan; Kelantan kepada PAS dan menang tipis di Perak dan Selangor. 

11 dan 12 Mei: 
Pada kedua-dua malam tersebut, pembangkang merayakan kemenangan mereka. Satu perarakan besar parti Gerakan diadakan untuk mengalu-alukan kepulangan pemimpin parti itu, V David yang menang kerusi Parlimen di Pulau Pinang. 

 
Gambar perarakan "kemenangan" di atas menunjukkan "penyapu untuk menyapu orang-orang Melayu". Gambar bawah: Penyokong-penyokong GERAKAN dalam mabuk "kemenangan"

13 Mei:

MCA yang kalah teruk dalam pilihanraya umum itu, mengumumkan ia akan menarik diri daripada menganggotai kabinet tetapi masih kekal dalam Perikatan.
Satu laporan wartawan asing menunjukkan ada bukti bahawa ada rancangan bagi pemuda yang digerakkan oleh elemen-elemen dalam Umno untuk mengadakan perhimpunan di kediaman Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris pada lewat petangnya. 

Satu perbarisan balas telah dirancang diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak polis. 

Apabila orang ramai masih berhimpun di perbarisan tersebut, pergaduhan berlaku dekat Kampung Baru, di mana dua buah lori orang Cina telah dibakar. Tragedi di Kampung Baru itu merebak dengan cepat ke serata tempat di Kuala Lumpur. 

Wartawan asing itu berpendapat perintah berkurung yang dikenakan tidak adil kepada semua orang. 

"Di jalan-jalan dekat Jalan Hale, saya dapat melihat pemuda Melayu yang bersenjatakan parang dan buluh runcing berhimpun di kawasan yang dapat dilihat dengan jelas oleh pasukan keselamatan yang berkawal di persimpangan jalan. Manakala di Batu Road, sejumlah wartawan asing melihat anggota Regimen Askar Melayu menembak ke dalam rumah-rumah kedai orang Cina tanpa sebarang sebab. 

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman terus mengatakan bahawa keganasan itu berpunca daripada tindak tanduk penyokong pembangkang selepas keputusan pilihanraya diumumkan, manakala timbalannya, Tun Abdul Razak menyalahkan pihak komunis. 

14 Mei: 
Rusuhan berterusan tetapi secara kecilan. Perintah berkurung hanya ditarik balik di pelbagai kawasan secara berperingkat mengikut waktu-waktu tertentu bagi membolehkan penduduk keluar membeli makanan. Pihak polis telah mengerahkan semua anggotanya bertugas dan menyerahkan tugas mengawal bahagian utara bandaraya kepada pihak tentera.

Polis berkata 44 orang terbunuh dan 150 lagi cedera pada malam sebelumnya. Satu lagi laporan menunjukkan kebanyakan mangsanya adalah orang Cina dan ia menyatakan sekurang-kurangnya 66 daripada 77 mayat di hospital besar pada 14 Mei adalah orang Cina. 

Percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis yang mencetuskan rusuhan tersebut bagaimanapun tidak diambil serius oleh para pegawai di Pesuruhjaya Tinggi British (BHC), yang berpendapat Tunku tidak bersedia menyalahkan orangnya sendiri yang mencetuskan rusuhan tersebut, dan tidak pula menyalahkannya kepada orang CIna "secara keseluruhannya". 

15 Mei: 
Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Majlis Gerakan Negara yang diketuai oleh Tun Razak ditubuhkan. Tun Razak masih bertanggungjawab kepada Tunku, tetapi semua kuasa di bawah Peraturan Darurat diletakkan dalam tangannya.

Perintah berkurung itu ditarik balik buat sementara di Kuala Lumpur pagi itu tetapi keadaan kembali buruk dan berlaku banyak pergaduhan di sana sini. Perintah berkurung dikuatkuasakan semula tetapi bekalan makanan makin berkurangan. 

Penerbitan akhbar-akhbar tempatan telah digantung sehingga peraturan penapisan digubal tetapi tiada usaha diambil untuk menyelia laporan-laporan yang dihantar keluar oleh wartawan asing. 

16 Mei: 
Keadaan masih tegang di Selangor di mana kereta dan rumah dibakar dan angka korban meningkat. Jumlah kematian meningkat kepada 89 orang dengan lebih 300 lagi mengalami kecederaan. 

Perintah berkurung 24 jam diteruskan di Selangor dan turut dikuatkuasakan di Melaka. Di Pulau Pinang dan Perak, keadaan semakin baik walaupun perintah berkurung masih dikuatkuasakan. 

Tunku membuat pengumuman mengenai penubuhan Pasukan Pertahanan Negara yang akan dianggotai oleh sukarelawan. Menteri Penerangan yang baru, Datuk Hamzah Abu Samah dan Tun Razak mengadakan siding akhbar di mana mereka mengatakan punca rusuhan itu adalah peresapan komunis ke dalam parti-parti politik. 

Terdapat laporan mengenai perbuatan mencuri oleh anggota tentera Melayu dan sikap mereka yang berat sebelah terhadap masyarakat Cina Malaysia. Jumlah pelarian juga meningkat. 

17 Mei: 
Sepucuk telegram BHC, ia menunjukkan terdapat keraguan di kalangan para pegawai British tentang angka rasmi mangsa rusuhan dan jumlah kematian yang tinggi di kalangan orang Cina. 

Polis menganggarkan kira-kira 100 kematian manakala para pegawai British pula menganggarkan nisbah kematian orang Cina berbanding dengan Melayu ialah kira-kira 85:15. 

Tindakan menapis laporan akhbar telah mencetuskan kritikan bukan sahaja dari kalangan media tempatan tetapi juga di kalangan anggota diplomatik terutama apabila kenyataan rasmi tidak jelas dan tidak berwibawa. 

Memorandum sulit BHC kepada Pejabat Asing dan Komanwel (FCO), mengakui mengenai coup d'etat atau rampasan kuasa dan kuasa telah berpindah bukan sahaja 'ke tangan orang Melayu' tetapi juga pasukan keselamatan. Ekoran itu profesionalisme pasukan keselamatan dipersoalkan. BHC juga mencatatkan bahawa di kalangan pasukan keselamatan, Unit Simpanan Persekutuan � yang pada masa ini mempunyai anggota pelbagai kaum � lebih adil dan tidak bersikap berat sebelah. Manakala anggota Melayu pula bersikap diskriminasi ketika menguatkuasakan perintah berkurung. 

"Diskriminasi itu berlaku, sebagai contohnya, tidak menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan Melayu (Kampung Baru) di mana orang Melayu yang bersenjatakan parang, dsb, terus bergerak bebas, dan ada yang menyelinap keluar dan menyerang orang Cina di luar kawasan tersebut. Di kawasan orang Cina, perintah berkurung dikuatkuasakan secara ketat. 

18 Mei: 
Tunku memperjelaskan kenyataan awalnya bahawa kekacauan itu dicetuskan oleh komunis, dengan meletakkan kesalahan itu kepada "anasir-anasir jahat". Beliau juga mengumumkan penangguhan pilihanraya Sarawak dan sekatan terhadap pergerakan wartawan asing diteruskan.

Keadaan masih belum pulih di beberapa kawasan di ibu Negara. 

19 Mei: Tidak sampai seminggu selepas berlaku rusuhan tersebut, kuasa pemerintahan telah diserahkan kepada Tun Razak - menunjukkan adanya komplot melakukan rampasan kuasa. 

"Hubungan sebenar antara Tun Razak dengan Tunku adalah tidak jelas. Di khalayak awam, Tun Razak berkata beliau bertanggungjawab terus kepada Tunku tetapi di belakangnnya, beliau menyatakan sebaliknya. Ini mungkin bermakna, telah bermula proses pelepasan jawatan Tunku sebagai Perdana Menteri". 

Dilaporkan terdapat kira-kira 10,000 pelarian. Media tempatan dibenar diterbitkan dengan tapisan manakala pas perintah berkurung untuk wartawan asing ditarik balik. Beberapa ahli politik pembangkang telah ditahan. 

20 Mei: Dalam satu mesyuarat, Pesuruhjaya Tinggi Australia telah mencadangkan supaya pemimpin pembangkang diberi peranan sebagai pengaman, tetapi ditolak oleh Tun Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie. "Mereka menganggap pemimpin pembangkang akan menggunakan peluang itu untuk kepentingan politik mereka sendiri." 

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia meneruskan program memberi makanan harian kepada para pelarian di pelbagai tempat dan lebih 5,000 menerima bekalan makanan. 

21 Mei: Statistik rasmi mangsa korban ketika itu adalah seramai 137 orang (18 Melayu), 342 cedera, 109 kenderaan dibakar, 118 makanan musnah dan 2,912 orang ditahan, sebahagian besarnya kerana melanggar perintah berkurung. 

23 Mei: 
Dokumen yang dideklasifikasikan itu mendedahkan anggota tentera Melayu bukan sahaja baik dengan samseng Melayu tetapi juga melepaskan tembakan sembarangan ke arah rumah kedai orang Cina ketika mereka meronda di kawasan bandaraya. 


"Ketika ditanya oleh wartawan asing mengenai laporan berlakunya diskriminasi kaum itu, Tun Razak menafikan semuanya. Ekoran itu, pas perintah berkurung yang dikeluarkan kepada wartawan asing ditarik balik dan mereka diarahkan tidak keluar rumah "demi keselamatan diri mereka". 

Laporan seorang wartawan asing menunjukkan samseng-samseng Melayu sangat dibenci oleh penduduk Melayu yang mematuhi undang-undang di Kampung Baru. 

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Dr Ismail membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dipinda pada masa depan "untuk bertindak balas terhadap taktik komunis". Diumumkan 3,699 telah ditahan sepanjang krisis tersebut dan 952 adalah anggota kongsi gelap. 

24 Mei: 
Keamanan dipulihkan di Kuala Lumpur dan suasana di bandaraya juga semakin baik. Orang ramai kembali bekerja (di luar waktu perintah berkurung). Perintah berkurung itu masih dikuatkuasakan (dari jam 3 petang hingga 6.30 pagi hari berikutnya). Kerajaan tidak bersedia untuk mengakui bahawa pemuda Melayu yang bersenjatalah yang mencetuskan kekacauan tersebut

27 Mei: 
Tunku amat marah dengan spekulasi wartawan asing mengenai kedudukannya yang dikatakan semakin lemah dan seterusnya mengarahkan setiausaha sulitnya supaya menghantar nota bantahan kepada BHC. 

28 Mei: 
Satu laporan sulit BHC kepada FCO pada hari ini menyifatkan percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis sebagai pencetus rusuhan tersebut sebagai satu usaha untuk menjustifikasikan kuasa authoritarian yang baru. 

Jun: 
Keadaan kembali terkawal tetapi masih berlaku kekacauan di sana sini. Laporan BHC menegaskan keganasan berlaku lagi di satu kawasan di Kuala Lumpur pada malam 28 dan 29 Jun, di mana beberapa buah rumah telah dibakar dan lima orang terbunuh dan 25 lagi cedera. Beberapa kekacauan yang berlaku pada penghujung bulan Jun juga membabitkan kaum India. 

Julai: 
Berlaku satu lagi kekacauan di mana seorang anggota polis terbunuh tetapi pihak polis bertindak segera mengawalnya supaya tidak merabak ke tempat lain di Kuala Lumpur.

Pendirian tegas Tun Ismail dalam mengarahkan pasukan keselamatan bertindak tegas "tanpa memilih bulu' terhadap mana-mana kumpulan dan pengumuman Tunku mengenai penubuhan Jawatankuasa Muhibbah Negara yang dianggotai ahli politik dari semua parti politik, telah membantu mengurangkan rasa takut di kalangan rakyat. 

Tun Ismail juga mengumumkan bahawa 8,114 telah ditahan sehingga Mei, terdiri daripada mereka "dari semua kaum-kaum utama". Daripada jumlah itu, 4,192 telah didakwa di mahkamah, 675 dibebaskan dengan ikatjamin, 1,552 dibebaskan tanpa syarat dan ,695 dikena tahanan pencegahan. 

Keadaan di Semenanjung kembali baik semula tetapi tahap ketegangan masih tinggi di kawasan sensitif di Melaka, Perak and Selangor. 

Ketegangan semakin pulih tetapi menjadi panas semula ekoran pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada Jawatankuasa Pusat Umno pada 12 Julai dan Tunku memperolehi semula kuasa. Mahasiswa Melayu menghantar petisyen menuntut Tunku meletakkan jawatan dan mengadakan demonstrasi di kampus. Mkini

2 comments:

  1. Sekumpulan pemuda cina yang menyelongkar surau dan masjid di sekitar batu pahat, kemudian Al Quran tu adalah punca org melayu memerangi cina rasis

    ReplyDelete
  2. Putar belit sejarah..kajian didukung oleh pihak freemason Dan illuminati

    ReplyDelete