Wednesday, August 1, 2012

Perayaan 31 Ogos ini hanya untuk UMNO sahaja, bukan untuk kita

31 Ogos ini buat pertama kalinya kita akan menyaksikan kemeriahan perayaan ulang tahun kemerdekaan negara ditukar menjadi perayaan ulang tahun Barisan Nasional. Tidak tahu pula saya perayaan yang ke berapa.
Nampaknya perayaan yang akan menelan belanja puluhan juta itu dipengerusikan oleh seorang Menteri BN dan jika Menteri ini menjadi pengerusinya tentulah belanjanya akan berlipat kali ganda mahalnya jika dibandingkan dengan belanja yang sepatutnya. Maklum sahajalah Menteri-Menteri sekarang selain menganggotai kabinet kebanyakan daripada mereka adalah juga kontraktor-kontraktor dan pembekal-pembekal yang berniaga dengan setiap perayaan besar-besar yang dikendalikan oleh kementerian masing-masing. 

Buat pertama kalinya tidak semua rakyat yang akan merayakan perayaan ini, seperti tahun-tahun yang lepas kerana kali ini perayaan hanyalah untuk pemimpin-pemimpin BN dan penyokong serta saki baki penyokong mereka sahaja. Jawatankuasa perayaan ini sengaja melakukan niat agar mereka yang tidak bersama di dalam BN untuk tidak merayakannya. 

Jika Jawatankuasa Penganjur mahukan semua lapisan masyarakat untuk bersama merayakannya slogan ‘Janji ditepati’ itu tidak akan digunakan untuk perayaan ulang tahun kemerdekaan ini. Lain-lain perkataan jika Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman masih hidup tentulah pemimpin-pemimpin ini tidak akan merayakannya bersama. Tetapi tidak mengapalah kerana kita tidak semestinya pergi bersama-sama merayakan perayaan anjuran BN itu. 

Bagi puak kita pula kita boleh merayakan ulang tahun kemerdekaan itu dengan mengadakan doa selamat di rumah masing-masing. Marilah kita berdoa memohon keredhoan Tuhan untuk kita semua tetap dengan pendirian untuk mengakui bahawa kemerdekaan itu adalah perjuangan rakyat dan bukannya BN semata-mata. 

Kita yang membaca sikit-sikit ini tahu bahawa perjuangan kemerdekaan ini telah bermula lebih dari dua dekad sebelum UMNO (yang sudah pun mati) itu ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dahulu. Mari kita bersama-sama mengingati yang bangsa-bangsa lain juga turut bersatu dalam menyambung perjuangan kemerdekaan yang telah dimulakan oleh pertubuhan-pertubuhan yang bergerak sebelum Perikatan diwujudkan dahulu. Kita juga boleh mengambil slogan “janji ditepati’ itu dengan melaksanakan janji-janji kita untuk menjaga keharmonian hidup setiap bangsa di negara ini. Marilah kita memperingati slogan ‘janji ditepati’ ini dengan memerangi gejala-gejala rasuah oleh mereka yang mentadbir negara ini. 
Kita semua telah berjanji semasa mencapai kemerdekaan dahulu untuk menjaga negara kita daripada dibolosi oleh musuh-musuh negara seperti rasuah dan salahguna kuasa serta mengenepikan pencuri-pencuri harta rakyat seperti yang kita jelas nampak pada hari ini. Kita mesti tepati janji-janji ini seperti yang kita telah bai'ahkan bersama semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Janji yang ‘ultimate’ bagi kita dahulu ialah untuk mencapai matlamat penyatuan semua kaum dalam kehidupan yang muhibbah dan aman sentosa buat selama-lamanya. 

Semasa mencapai kemerdekaan dahulu salah satu janji rakyat ialah untuk meningkatkan maruah bangsa-bangsa di dalam negara ini untuk menjadi bangsa-bangsa yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Tetapi semuanya itu tidak ditepati oleh parti yang menyambung perjuangan UMNO asal dahulu untuk peningkatan maruah bangsa Melayu pimpinannya. 

Sebaliknya, Melayu telah dididik untuk menjadi bangsa yang sentiasa menadah tangan meminta ehsan dari pemimpin bangsanya yang berada di dalam BN sekarang ini. UMNO tidak mahu menerima rakyat yang mempunyai pemikiran yang telah meningkat kerana jika orang Melayu meningkatkan tahap pemikiran mereka, UMNO tidak akan kekal lagi berkuasa. Itulah sebabnya UMNO telah mendidik bangsanya untuk mengangguk seperti burung balam dan jika tidak mahu menurut akan dianggap sebagai musuh dan seteru mereka sepanjang masa. Itulah sebabnya pihak yang sebenarnya yang diharapkan untuk menepati janji-janji ini ialah pihak dari barisan alternatif sekarang ini. 

BN telah jelas tidak menepati janji-janji itu. Jika benar mereka sudah menepati janji-janji itu Melayu tidak akan masih tinggal di belakang dan sekarang sepatutnya sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain dalam kehidupan yang muhibbah dan harmonis tanpa isu-isu rasis yang menebal seperti yang diperbesarkan oleh UMNO sekarang ini. 

Oleh itu mari kita mengingati tarikh 31 Ogos ini sebagai hari untuk melonjakkan semangat kita untuk kita menepati janji-janji itu yang telah dimungkiri oleh pihak UMNO dan BN. Lagi sekali slogan ciptaan BN itu sedang mengguna pihak Pakatan Rakyat untuk melaksanakannya seperti slogan ‘Bersih, Cekap, dan Amanah’ ciptaan Mahathir yang akhirnya dilaksanakan oleh pihak Pakatan Rakyat di negeri-negeri kendalian mereka (PR) sekarang ini. Tapi tiada siapa yang tidak memahami kenapa perayaan kemerdekaan tahun ini menjadikan 'janji ditepati' itu sebagai slogannya; tidak lain dan tidak bukan kerana BN dalam keadaan 'desperate' yang amat sangat. Bagi mereka (BN) perasaan malu sudah tidak ada lagi. Moral pula jauh sekali. - Aspan Alias