Monday, August 6, 2012

MULA-MULA PULANGKAN, KINI BERATUR PANJANG


TASEK GELUGOR: Negeri Pulau Pinang berjaya mengumpul 135,000 warga emas yang layak menerima sumbangan RM100 setahun kepada mereka sebagai penghargaan sumbangan bakti pada negeri ini. 

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia adalah hasil usaha cemerlang semua pihak dan merupakan 95 peratus dari jumlah warga emas yang ada di negeri ini.

Ia sekaligus menunjukan sokongan padu golongan terbabit untuk melincinkan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) serta menyokong langkah bijak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menjagai hak mereka. 
"Pertambahan bilangan pendaftaran warga emas di negeri ini menunjukan sokongan golongan terbabit terhadap usaha kerajaan negeri. Tindakan Umno yang melemparkan fitnah kononya pemberian itu hasil sumber wang haram tidak releven lagi, " katanya di hadapan penerima sumbangan warga emas dan ibu tunggal Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua pagi semalam. 

Kenyataan Setiausaha Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim memburuk-burukan usaha kerajaan negeri memberikan wang RM100 kepada warga emas pada permulaan memperkenalkan dasar menghapuskan kemiskinan tegar berlalu begitu sahaja. Bahkan ada antara kumpulan yang memulangkan wang itu sebelum ini awal-awal lagi sudah beratur panjang mendapatkan wang berkenaan di tahun berikutnya. 

Dasar kebajikan terutamanya penghargaan kepada warga emas sambung Lim, sudah lama diamalkan di Thailand dan lain-lain negara membangun. Tetapi, di Malaysia dasar itu tidak dipraktikkan, berkemungkinan kekayaan negara tidak mahu diagihkan kepada rakyat kembali sebaliknya mahu diboloti oleh pemimpin yang tidak bertanggunjawab. 

"Masa memperkenalkan dasar itu bukan main lagi Umno memperlekehkan dengan fitnah. Tetapi, lama kelamaan apa yang mereka burukan makan diri dan akhirnya pengikut yang sama-sama memulangkan wang kononya wang judi awal-awal lagi bertindak beratur panjang tidak mahu lepas mendapatkan bantuan tersebut, " jelasnya. 

Kepada semua rakyat, Lim yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan menegaskan, sudah sampai masanya rakyat menolak kepimpinan yang tidak telus, banyak penyelewengan, perasuah, tidak hormati keadilan dan bertindak zalim terhadap pendemo yang aman. Keadaaan politik yang tidak condong kepada BN mengusarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk mengistiharkan tarikh pilihanraya umum ke 13, katanya.