Tuesday, August 28, 2012

Hudud merupakan “agenda setting” UMNO


"Apabila DAP menentang hudud, mereka akan bangkit dan memaki hamun DAP, tetapi apabila MCA menentang hudud, Umno “duduk menikus di belakang pintu”

Asas perbezaan sebenar PAS dengan Umno
 
Dalam beberapa hari menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri, sehingga kini, polemik mengenai hukum hudud dibangkitkan semula, sehingga riuh rendah media massa memainkan isu ini. 

Adakah di kalangan kita, boleh menerima alasan, bahawa isu mengenai hukum hudud ini dibangkitkan dan digembar-gemburkan media massa yang dikuasai kerajaan Umno-Barisan Nasional, kerana mereka kini sudah sedar dan benar-benar ikhlas, bangkit untuk memperjuangan Islam? 

Dan dengan kesedaran ini juga Umno-BN akan bangkit melawan bermati-matian, terhadap semua tentangan golongan bukan Islam terhadap hukum hudud? Sudah tentu tidak. 

Tujuan utama media pro Umno-BN membangkitkan isu ini hanya satu sahaja. Iaitu mereka memang mahu memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama yang wujud di antara PAS dan DAP. Oleh sebab itu apabila DAP menentang hudud, mereka akan bangkit dan memaki hamun DAP, tetapi apabila MCA menentang hudud, Umno “duduk menikus di belakang pintu”

Jelas kepada kita, Umno-BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP. Kerana Umno tahu, PAS dan DAP merupakan tonggak yang kuat dalam Pakatan Rakyat. Selama mana PAS dan DAP berpadu, selama itulah Umno-BN takut untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan. 

Maka, media massa diarahkan oleh pemimpin Umno-BN untuk berusaha keras dan cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini, dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan di antara kedua-dua pihak. Agenda setting mereka mudah. Jika pemimpin kedua-dua parti melatah dan bergaduh, mudah mereka “masuk jarum” untuk mencetuskan perbalahan dan dalam masa yang sama memaparkan imej negatif di kalangan rakyat, bahawa parti-parti Pakatan Rakyat tidak “sekepala”, oleh itu mereka tidak layak diberikan kuasa untuk memerintah. Itu sahaja agenda Umno. Oleh itu pemimpin PAS dan DAP khususnya, usaha melatah menurut “agenda setting” yang dibentuk menurut acuan Umno. 

Sebelum ini, media pro-Umno memainkan isu DAP kafir harbi kerana menentang hudud dan seolah-olahnya MCA yang bersekongkol dangan Umno adalah kafir zimmi. Apabila isu ini mendapat tentangan hebat rakyat dan MCA dengan keras mengeluarkan kenyataan menentang hudud, pemimpin Umnpo terdiam. Usaha mereka untuk memainkan sentimen agama dengan menuduh DAP “jahat” tidak kesampaian kerana rakan baik mereka iaitu MCA, pun sama-sama “jahat” menentang Islam. 

Isu sebenar ini di sini, bukan soal DAP atau MCA. Mereka adalah golongan bukan Islam. Tidak pelik bagi bukan Islam, yang menentang dilaksanakan hukum-hukum Islam. Isu asasnya di sini adalah kecelaruan tahap kefahaman Islam yang ada pada pemimpin dan orang-orang Umno. 

 
Sejak dahulu lagi, direkodkan beratus-ratus kenyataan pemimpin Umno yang berketurunan Melayu, yang beragama Islam, menentang hukum-hukum ciptaan Allah dan mempersenda-sendakan hudud. Kenyataan dan cercaan itu mereka buat, ketika Umno berada di puncak kuasa, yang terlalu hebat dan gah, sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapa pun. Maka apakah hari ini, apabila parti mereka sudah jatuh terjelepuk dan hampir terhumban ke lubang gaung, baru mereka hendak sedar dan menerima hukum hudud sebagai hukum yang wajib ditaati, diimani dan dilaksanakan sebagai seorang Islam? 

Sifat Umno ini berbeza dengan PAS. PAS konsisten dengan perjuangan Islam sejak dahulu hingga hari ini. Tiada perubahan dalam soal dasar, tiada kompromi dalam melaksanakan kehendak Allah yang termaktub di dalam al-Quran. 

PAS hanya mengubah pendekatan dan strateginya, sesuai dengan keperluan politik semasa, selama mana ianya bertepatan dengan garis panduan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pemahaman dan pegangan Islam inilah yang membezakan PAS dengan Umno. PAS menjadikan politik sebagai platform untuk memperjuangkan Islam, manakala Umno mempergunakan Islam sebagai platform untuk terus berkuasa. Justeru, tiada jalan lain untuk menyelamatkan Islam, melainkan menurunkan Umno dari tampuk kuasa. ― harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment