Friday, August 3, 2012

BALA: MEREKA CUBA RASUAH SAYA LAGI +Video

EKSKLUSIF.....Penyiasat persendirian P Balasubramaniam muncul daripada persembunyian dan membuat satu lagi pendedahan yang menggemparkan bahawa terdapat percubaan kedua untuk merasuahnya ketika dia berada di India, kali ini untuk memburuk-burukkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BERCAKAP kepada Malaysiakini dalam temubual di Kuala Lumpur bulan lepas, Balasubramaniam mendakwa dia didatangi kira-kira seminggu sebelum pilihan raya Sarawak pada April tahun lepas. "Anda tahu semua ini, mereka sudah mendapat 'berita baik' dari Perth dan mereka memerlukan lagi 'berita baik' dari India," kata Balasubramaniam, tetapi enggan mengulas lanjut. 

Pada masa itu, jentera kempen kedua-dua belah parti politik mencapai kemuncaknya dan apa sahaja digunakan untuk menarik pengundi dalam pilihan raya negeri yang penting itu. 

Ia juga sekitar masa temubual Raja Petra Kamaruddin dengan TV3, yang dibuat semasa lawatan kontroversi penulis blog itu ke Australia, disiarkan. 

Dalam temubual itu yang turut disiarkan oleh stesen TV arus perdana, Raja Petra menafikan akuan bersumpah (SD) yang menghubungkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. 

Raja Petra, yang hidup dalam buangan di United Kingdom, menyebut bahawa SD itu berdasarkan maklumat 'disemai' oleh pemimpin PKR yang terdesak untuk menghalang Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. (MKINI)

Timbalan menteri tawar untuk 'selesaikan' kes Bala 

Seorang timbalan menteri yang masih berkhidmat telah menawarkan untuk mengakhiri kehidupan penyiasat persendirian P Balasubramaniam dalam buangan di India jika dia bersedia untuk didakwa dan mengaku bersalah memalsukan akuan sumpahnya (SD) yang pertama. 

Balasubramaniam mendakwa timbalan menteri berkenaan, yang secara rahsia menemuinya sebanyak dua kali tahun lalu - sekali "di Singapura dan kali kedua di Kuala Lumpur - telah menjanjikan dia (Balasubramaniam) dikenakan denda seminima mungkin dan bersetuju untuk menyelamatkannya daripada hukuman penjara jika dia bekerjasama. "Mungkin dia merasakan BN tidak selamat dan sekurang-kurangnya dia (perlu) memperbetulkan keadaan... (dan) menutup kes saya," kata Balasubramaniam kepada Malaysiakini dalam satu temubual awal bulan lepas. 

Tawaran itu dibuat beberapa bulan selepas percubaan kedua untuk merasuahnya supaya memburuk-burukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas. 

Balasubramaniam, individu penting dalam kontroversi yang menyelubungi pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, terpaksa melarikan diri ke India bersama keluarganya tidak lama sejurus selepas dia membuat dua akuan bersumpah yang bercanggah. Dia kemudian mendakwa bahawa dia telah diancam dan dibayar untuk menandatangani akuan bersumpah kedua, untuk mengatakan yang akuan bersumpah pertamanya dibuat "kerana ugutan ". 
najib tun razak and altantuya
Akuan bersumpah pertamanya yang dibuat pada 2008 mengandungi dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya. Najib telah menafikan dakwaan Balasubramaniam yang beliau mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu dan tidak dipanggil untuk memberi keterangan apabila orang kepercayaannya, Abdul Razak Baginda, didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya. 

Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan tersebut tetapi dua anggota Unit Tindakan Khas yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi Najib, telah disabitkan atas tuduhan membunuh Altantuya. Mk

RM200,000, banglo di London jika Bala sedia fitnah Anwar 

KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian penuh kontroversi P Balasubramaniam , yang satu ketika dulu pernah membuat 2 kenyataan bersumpah mengenai kes pembunuhan Altantuya, kembali menceritakan bagaimana beliau memperdayakan sogokan kali kedua sebelum pilihanraya negeri Sarawak. 

Dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini, Bala berkata beliau cuba disogok seminggu sebelum pilihanraya negeri Sarawak oleh orang-orang yang mengugut beliau. Beliau akan dibayar sejumlah wang untuk membuat kenyataan bersumpah kedua oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan seorang anggota polis bernama Sureh. Kenyataan bersumpah kedua beliau adalah untuk menidakkan kenyataan bersumpah pertama beliau yang mengaitkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Altantuya dengan mendakwa beliau membuat kenyataan bersumpah itu dalam keadaan tertekan. 

Bala telah melarikan diri bersama keluarga ke India selepas kenyataan kedua dibuat. Dalam sogokan terbaru sebelum pilihanraya negeri Sarawak, Bala berkata beliau disuruh membawa satu kenyataan untuk memburuk-burukkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau dibayar oleh Anwar dan pemimpin PKR untuk membuat kenyataan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib. Ketika itu juga, blogger kontroversi Raja Petra Kamaruddin turut muncul di kaca TV3 dalam satu temubual di Australia menyerang Anwar. 

Menurut Bala, beliau dihubungi Deepak dan Suresh melalui kawannya Siva. Suresh, kata Bala terus mengganggu isterinya setelah diberitahu bahawa beliau tidak berminat berjumpa dengan sesiapa. Atas nasihat peguamnya, Americk Sidhu yang menyuruhnya cuba untuk mendapatkan apa-apa bukti untuk perlindungan diri, Bala bersetuju bertemu dengan Deepak dan Suresh. 

“Ini deal kita: RM200,000 cash dan sebuah kondo di Berjaya Times Square dan selepas ini semua ok, dan kita akan bagi kamu kembali dan kemungkinan akan bagi kamu satu projek,” kata Suresh kepada Bala. Bala berkata sebagai balasan, beliau perlu membuat satu video dengan membaca satu kenyataan yang disediakan. 

Kandungan kenyataan itu antaranya berkata beliau didekati Anwar untuk membuat penafian dalam kenyataan bersumpah kedua kerana diyakinkan bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri sekejap masa lagi. Anwar pula akan dikatakan telah membayarnya RM200,000 dalam bag dan RM50,000 setiap bulan. 

Setelah beberapa ketika, Bala akhirnya membuat video tersebut ketika berseorangan dengan Deepak. Suresh kemudian telah memasukkan RM100,000 ke dalam akaun isterinya, dan kemudian melalui Siva, Deepak dan Suresh juga memberikan satu salinan belian dan jualan sebuah kondo di Berjaya Times Square. “Video itu telah selesai. Dan saya hanya perlu menghantarnya. Tapi saya menghantarnya ke peguam saya. "Semasa Deepak hubungi saya, saya memohon maaf kerana tertekan butang yang salah dan terhantar ke peguam saya,” jelas Bala mengenai bagaimana beliau memperdaya Deepak dan Suresh. Deepak melenting seperti yang dijangka – dan Bala telah merakam percakapan terakhir beliau dengan Deepak. 

Ketika ditanya Malaysiakini adakah perkara itu disengajakan, Bala mengaku ya. Bala berkata, beliau telah hilang segala-galanya ketika melarikan diri ke India dan ibunya meninggal ketika beliau berada di India. Hanya selepas Najib menjadi perdana menteri, Bala berkata beliau dibolehkan membuat lawatan rahsia kembali ke tanahair. Apabila ditanya mengenai perbualan telefon tersebut, Bala berkata beliau menyimpannya untuk keselamatan diri. -HD