Monday, April 9, 2012

Harussani lupa "SIRAH"

MUFTI PERAK, Tan Sri Harussani Zakaria, mengecam rancangan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau untuk menggunakan masjid sebagai lokasi perhimpunan protes mereka terhadap pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan.

Perhimpunan tersebut dijangka berlangsung di masjid seluruh negara selepas solat Jumaat 13 April ini.

“Kenapa perlu gunakan masjid? Masjid tempat beribadah, bukannya tempat bergaduh,” kata Harussani.

Beliau yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya menentang rancangan berkenaan yang padanya bermotifkan politik.

“Jangan bawa perkara politik ke masjid, itu tempat ibadah. Masjid seharusnya digunakan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah,” tegasnya lagi.

Menurut Harussani (gambar), pihaknya membantah rancangan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau itu, namun menyerahkan kepada pihak pengurusan masjid yang terlibat untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya insiden itu berlaku di kawasan mereka.

“Pihak masjid perlu ambil tindakan ... itu terpulang kepada mereka,” tambahnya.

Wira Perkasa sebelum ini turut mengecam rancangan perhimpunan anti Lynas tersebut yang mana menurut mereka rancangan berkenaan adalah adalah ancaman kepada keselamatan negara dan bakal menimbulkan kekacauan dalam kalangan masyarakat Melayu, kata Perkasa.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, berkata pihak berkuasa perlu memandang serius perhimpunan 13 April ini dan mendakwa 'institusi agama' sedang disalahgunakan untuk matlamat politik.

“Akan berlaku kekacauan, dan ketidakstabilan negara. Adakah perpecahan perbezaan politik Melayu tidak cukup lagi, sekarang masjid puladigunakan untuk memecahkan mereka?”

“Polis harus ambil tindakan. Tahan mereka sebelum Melayu bergaduh sesama mereka dalam isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Pihak yang bertanggungjawab terhadap “kekacauan dan protes” ini adalah Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan,” jelas Irwan.

“Melayu sedang dipergunakan oleh Ambiga ... anti Lynas, Bersih, sama sahaja,” dakwanya.

Menurut Irwan, apa yang dirancangkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau itu bercanggah dengan prinsip Islam, dan perhimpunan itu berniat untuk “menghina” kesucian masjid dan agama.

“Masjid tidak harus digunakan untuk tujuan politik.

“Saya tetap berpegang kepada pendirian ... sekiranya mereka rasakan kilang itu berbahaya, tunjukkan bukti ... apa keperluan membawa perkara itu ke masjid dan melibatkan Muslim waktu solat Jumaat untuk semua ini,” soalnya.

Tambah Irwan, beliau akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk memutuskan tindakan menangani “ancaman” tersebut.

The Malaysian Insider semalam melaporkan kumpulan anti Lynas akan menganjurkan kempen mereka ke setiap masjid seluruh negara, dan memecahkan halangan agama dalam isu tersebut serta menambah sokongan terhadap usaha mereka menentang pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng Kuantan oleh Lynas Corporation.

Dianggarkan 22 kumpulan termasuk Asalkan Bukan Umno (ABU) dan Badan Bertindak Anti Nadir Bumi (Badar) turut serta dalam kempen tersebut.

Wakil ABU, Haris Ibrahim, berkata kepada The Malaysian Insider, objektif utama Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau adalah untuk menyampaikan maklumat lengkap terhadap salah anggap isu Lynas yang mana dilihat hanya melibatkan komuniti Cina dan mereka yang tinggal di Gebeng.

“Kami berbincang berkenaan semua negeri di dalam negara ... setakat ini, lima atau enam masjid sudah menyatakan persetujuan,” tambahnya.

Acara utama protes berkenaan kata aktivis itu adalah di Dataran Kemerdekaan in Shah Alam, di mana penyokong perhimpunan anti Lynas akan berkumpul di Masjid Shah Alam sebelum bergerak ke Dataran.

Tegas Haris, protes tersebut telah dirancang sebelum Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau dalam protes 28 April, dan kini ia menjadi pemanas badan untuk perhimpunan berkenaan.

Himpunan Hijau sebelum ini mengesahkan penyertaan perhimpunan Bersih 3.0 28 April ini untuk memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan.

Ini merupakan Perhimpunan Hijau ketiga, dan dijangka dengan kuantiti yang lebih besar berbanding perhimpunan sebelumnya yang diadakan di Kuantan pada 9 Oktober 2011, dan 26 Febuari 2012.

Anak syarikat Lynas Corp Malaysia telah mengesahkan kilang berkenaan akan beroperasi dalam masa tiga minggu.

Kerajaan sebelum ini telah membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung Lynas namun pengkritik melihat ia hanyalah untuk meredakan keadaan oleh pentadbiran Najib.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR), yang merupakan sebahagian daripada pergerakan anti Lynas di Kuantan, telah bersepakat menolak PSC yang mana telah diberikan tempoh tiga bulan mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.

Peranan dan Fungsi Masjid Nabawi , Masjid di Zaman Rasulullah S.A.W.

Masjid Nabawi di zaman Nabi S.A.W digunakan untuk pelbagai tujuan. Di antara kegunaan masjid selain dari solat dan iktikaf di zaman itu adalah:

Pusat pendidikan utama;
Tempat perjumpaan dan interaksi semua Muslimin di mana perayaan-perayaan, riadah dan acara sukan diadakan;

Pengkalan untuk membuat persiapan bagi peperangan dan tempat merawat mujahid-mujahid yang cedera. Tawanan perang ditahan di kawasan bersebelahannya;

Mahkamah dan tempat hukuman dilaksanakan;
Pusat pentadbiran dan politik, serta juga merupakan tempat di mana perwakilan-perwakilan asing disambut dan dilayan;

Pusat kebajikan bagi golongan miskin dan sebagai tempat berteduh bagi golongan yang tiada tempat tinggal;

Tempat di mana beberapa urusan jual-beli atau ekonomi di jalankan.

Konsep Masjid Sebagai Tempat Tumpuan Masyarakat
Sirah dan hadith Rasulullah S.A.W. memberi gambaran jelas mengenai kedudukan masjid sebagai tempat tumpuan hidup bermasyarakat di zaman Rasulullah S.A.W. Harus di ingatkan bahawa masjid di zaman Rasulullah S.A.W. menjadi tempat tumpuan masyarakat dan tempat pelbagai aktiviti berhubungkait dengan:

Ø Konsep kesyumulan agama Islam
Ø Peribadi dan kepimpinan Rasulullah S.A.W.

Secara ringkasnya Islam adalah satu cara hidup yang sempurna di mana keseluruhan aktiviti kehidupan dianggap sebagai ibadat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan di akhirat. Dengan itu segala urusan hidup seseorang muslim seperti jual-beli (ekonomi), sosial, kebajikan, pendidikan, perundangan dan sebagainya, termasuk juga riadah mempunyai hubungan langsung dengan persediaan untuk hidup di akhirat. Budaya hidup muslimin tidak memisahkan di antara kegiatan-kegiatan duniawi (sekular) dengan persediaan untuk akhirat.

Secara umumnya, dapat disimpulkan bahawa masjid menjadi tumpuan masyarakat pada masa itu kerana ianya merupakan tempat berpusatnya kebanyakan daripada kegiatan sosio-budaya masyarakat Islam di masa itu. Hakikat bahawa masjid pada masa kini digunakan hampir secara khusus untuk ibadat ritualistik sahaja mungkin timbul dari meluasnya pengaruh sekularisma dalam masyarakat kini yang memisahkan secara jelas di antara aktiviti agama dengan aspek-aspek kehidupan lain yang dianggap duniawi.

KONSEP PUSAT PEMBANGUNAN MASYARAKAT ISLAM
Di antara aktiviti-aktiviti dan aspek-aspek yang ditekankan di dalam masjid ini ialah:
Meningkatkan daya kefahaman serta daya intelek tentang Islam;
Mewujudkan suasana penghayatan Islam yang menyeluruh;
Menjalinkan semangat persaudaraan dan ukhuwah diantara umat Islam;
Membina kebahagiaan dan kedamaian di dalam institusi keluarga Islam.

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/04/harussani-lupa-sirah.html

No comments:

Post a Comment