Thursday, April 5, 2012

BERSIH 3.0 SASAR 500,000 SERTAI HIMPUNAN

Buletin Pakatan RakyatPENGANJUR BERSIH 3.0 mengumumkan bahawa perhimpunan tersebut akan diteruskan pada penghujung bulan ini - jam 2 petang 28 April - di Dataran Merdeka, Pusat Bandar Kuala Lumpur.

Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A Samad Said ketika mengumumkan perkara itu turut menganggarkan 500,000 orang dijangka menyertainya kali ini.

Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan interaksi dan pertemuan beliau dengan anggota masyarakat dalam majlis tertentu dan juga di laman media sosial.
"Saya sendiri berjalan di mana-mana dan orang bertanya bila? Daripada interaksi sewaktu berjumpa dalam majlis atau dalam Facebook, saya mengkhayalkan setidak-tidaknya, himpunan ini akan mengumpul 500,000 orang," katanya.

Perhimpunan yang anjurkan bersama dengan 84 NGO lain itu juga akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia, kata sasterawan negara itu lagi.

Dalam perhimpunan kali ini, para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang.

"Walaupun BERSIH 3.0 adalah duduk sahaja, tetapi dia memberikan impak yang kuat," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

Sementara itu, Datuk S Ambiga yang juga pengerusi bersama berkata pada perhimpunan lalu, sebanyak 32 lokasi di seluruh dunia terlibat dengan BERSIH 2.0.

Katanya, jumlah itu berkemungkinan akan bertambah pada perhimpunan kali ini. Lokasi luar negara itu akan diumumkannya pada sidang media selepas ini, katanya.

Perhimpunan kedua pada 9 Julai tahun lalu dihadiri puluhan ribu rakyat yang menuntut supaya lapan perkara itu dilaksanakan.

Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara untuk menambahbaik pilihan raya.

Laporan jawatankuasa itu dikemukakan ke parlimen semalam dengan bantahan oleh wakil pembangkang.

BERSIH 3.0 ‘DUDUK BANTAH’ 28 APRIL
TUNTUTAN...Ambiga berkata PSC seakan-akan tidak mengendahkan tuntutan Bersih 2.0.

PEMERHATI pilihan raya Bersih 2.0 hari ini mengesahkan mereka akan mengadakan perhimpunan ketiga bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih pada 28 April ini.

Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang di Dataran Merdeka itu turut akan dijalankan di seluruh negara termasuk juga di beberapa negara di seluruh dunia dengan anggaran seramai 500,000 peserta.

Perhimpunan yang bertajuk 'Duduk Bantah' itu masih lagi mengekalkan lapan tuntutan daripada perhimpunan sebelumnya pada 9 Julai tahun lalu.

Antara tuntutan mereka adalah: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor.

Perhimpunan itu juga adalah lanjutan daripada ketidakpuasan hati pertubuhan tersebut terhadap laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya yang telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat semalam tanpa dibahaskan.

Pemimpin Bersih ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini berkata, untuk perhimpunan kali ini, pihaknya akan memberikan keutamaan penuh kepada keselamatan peserta.

“Keselamatan peserta akan menjadi keutamaan kami. Malah kami juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tahap keselamatan yang paling tinggi ketika perhimpunan berlangsung,” kata Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan.

Menurut Ambiga, kerajaan dan PSC seakan-akan tidak mengendahkan tuntutan mereka menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

“Semua isu ini bermula lagi, PSC tidak menyeluruh menyelesaikan masalah pembersihan pengundian dan audit yang dibuat tidak menyeluruh.

“Saya kecewa kerana masalah undi pos, yang merupakan masalah utama, tidak dijalankan kajian menyeluruh; kami menuntut jumlah undi pos diturunkan, tetapi sebaliknya jumlah itu ditingkatkan,” tegas Ambiga lagi.

Menurutnya lagi, laporan yang dikemukan PSC juga bukan laporan lengkap kerana tiada satu pun perkara dalam laporan PSC menyebut berkenaan politik kotor.


“Bagaimana boleh jadi laporan lengkap, apabila tidak dijalankan dengan menyeluruh. Kenapa PSC tidak sebutkan berkenaan pemerhati antarabangsa.?” soal Ambiga.

Sasterawan Negara, yang juga Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A. Samad Said, yang turut hadir ketika sidang media tersebut menuntut ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas mereka kepada rakyat.

“(Ketua-ketua) SPR perlu letak jawatan. Mereka bukan bekerja untuk kerajaan, tapi untuk rakyat.

“Kes-kes penipuan terus berlaku, seperti yang kami jelaskan membuktikan kerajaan hari ini tidak bercita-cita mengadakan pilihan raya dengan adil dan bersih,” tegasnya yang yakin Pilihan Raya Umum ke-13 ini akan menjadi medan pilihan raya paling kotor.

“Rakyat akan terus membantah kerana tiada komitmen menambah baik sistem pilihan raya sebelum PRU13,” tambahnya lagi.

Untuk perhimpunan kali ini, Bersih turut menerima penyertaan daripada Himpunan Hijau dan kumpulan mahasiswa, wakil Bersih dari Sabah dan Sarawak, termasuk 84 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai matlamat yang sama.

Selain itu, mereka turut melancarkan laman web www.pru13.info bagi membolehkan rakyat memantau proses pilihan raya bermula dari saat pembubaran Parlimen hingga proses pembuangan undi yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Ambiga turut menegaskan, pihaknya akan menghantar laporan mingguan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Geneva berhubung proses menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu.

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/04/bersih-30-sasar-500000-sertai-himpunan.html

No comments:

Post a Comment