Thursday, March 15, 2012

UMNO dan Medianya tidak boleh terima Kenyataaan +Video

Kenapa media Umno serang saya - Kadir
 
SERDANG, 15 Mac: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, segala kritikannya terhadap kerajaan Umno BN bukan kerana kecewa tidak diberi jawatan, sebaliknya mahu membetulkan apa yang tidak betul dilakukan pemimpin negara.
 
Menurutnya, pandangan yang diutarakannya jika dikaji secara terperinci, ianya adalah sesuatu yang baik untuk melengkapkan transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malang katanya, media arus perdana yang dikuasai Umno telah memutar belit kenyataannya dan menyerangnya secara berterusan.

"Saya tidak ada sebarang kekecewaan dalam hidup saya, lebih-lebih lagi sekarang ini, saya bahagia.

"Pandangan saya ini sebagai orang lama dalam Umno. 56 tahun dari hidup saya, saya beri kepada Umno. Buat apa ahli Umno duk bedai (bedal) orang Umno (macam saya)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pilihan raya umum.

Dalam isu agenda Bumiputera pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputera di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, jika beliau mahukan jawatan mahupun projek, itu bukan sesuatu yang sukar kerana yakin pimpinan parti akan membantunya atas menghargai khidmatnya yang lama.

"Saya tak pernah jumpa mereka nak mintak jawatan atau projek.

"Kalau saya nak jawatan, di kemuncak karier saya sebagai menteri, saya berhenti buat apa, munasabah ke," soalnya.
 
Nafi beli undi

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi itu juga turut kesal kerana dituduh membeli undi dari pengundi di kawasan parlimennya di Kulim Bandar Baharu.

Sambil menyifatkannya sebagai fitnah, beliau juga menafikan pernah mendakwa penduduk di parlimen itu perlu dibeli untuk mendapat undi.

"Saya sensitif jika ini dikaitkan dengan kawasan parlimen yang saya wakili selama 30 tahun. Bukan sahaja ahli Umno malah seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik ibarat manusia intan permata dan tersangat mulia.

"Kami di Kulim Bandar Baharu tidak pernah dan tidak perlu membayar wang untuk membeli undi sama ada semasa pemilihan parti ataupun pilihan raya umum," tegasnya bersungguh. harakahdaily/-

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/umno-dan-medianya-tidak-boleh-terima.html

No comments:

Post a Comment