Friday, February 3, 2012

Zaid sudah bubar KITA, Third Force kita punya…

Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita mendapat khabar gembira baru-baru ini apabila parti KITA yang masih mentah dan belum pun pandai berjalan sudah tewas di tengah jalan. Saya dan seluruh kepimpinan merasa cukup gembira kerana apabila parti KITA dibubarkan, sudah tentu kelompok Third Force telah dapat dibersihkan dari anasir demokrat, termasuk pemimpin KITA Zaid Ibrahim.

Mengapa saya mengatakan pembubaran KITA telah membersihkan kelompok Third Force?

Selepas tsunami politik 2008, semua parti telah menjadi kucar-kacir termasuklah parti saya, tapi tak perlulah cakap tentang kucar-kacirnya parti saya sebab itu hal dalam kelambu kita, buat apalah nak diheboh-hebohkan. Semua orang tahu kita bergelut untuk mencari kroni baru, tauke baru dan projek baru. Jadi, diam-diam sudahlah.

Kita nak bercakap tentang kucar-kacirnya parti PKR, PAS dan DAP. Lihatlah di Perak. Kita kalah teruk. Tapi nasib baik ada Adun PKR dan DAP yang tamak. Maka semua Adun ini melompat dan kita menubuhkan kerajaan di Perak walau pun dengan cara yang tidak sah.

Bukan saja tamak, ada pula pemimpin Pakatan yang ego dan penting diri. Kerana itu kita pujuk beberapa Ahli Parlimen mereka lompat parti. Hebat adu domba kita. Maklumlah nak menang tak boleh, jadi kita hasut saja.

Kemudian kita lihat kes bagaimana Zaid Ibrahim juga keluar PKR, semuanya gara-gara tidak puas hati dengan pemimpin politik parti mereka.

Siapa Third Force?

Abang-abang dan kakak-kakak,

Jangan bimbang saya akan jelaskan tentang Third Force ini. Sabarlah.

Berkenaan dengan kes Ibrahim Ali pula, ia tidaklah sama. Memang Ibrahim Ali ini lebih membantu kita jika dia berada di luar UMNO. Maklumlah, UMNO kini tak boleh nak bercakap terang-terang sangat hal Melayu, nanti nampak ketara sangat rasisnya dan bertentangan pula dengan 1Malaysia.

Jadi tugas ini memang diberi untuk dipikul oleh Ibrahim Ali agar dapat memperjuangkan slogan politik perkauman Melayu. Hasilnya UMNO juga yang akan dapat. Bukankah ia cukup bijak?
Lihat pula parti PAS, Hassan Ali telah dibuang gara-gara niatnya yang konon nak menyatupadukan Melayu. Kita kenal siapa Hasan Ali. Sewaktu meninggalkan UMNO dahulu, memang dia peminat Anwar Ibrahim. Tetapi marah pula selepas itu kerana tidak dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, jawatan idamannya.

Hasan Ali ini memang insan istimewa kerana dialah satu-satunya pemimpin kanan dalam PAS yang masih ada semangat dan mentaliti UMNO. Jika beliau menjadi MB Selangor, sudah tentu projek kerajaan perpaduan akan menjadi kenyataan. Pada waktu itu tentulah mudah kita perkudakan PAS. Kita telah berjaya lakukannya di Kelantan lewat 1970-an dahulu.

Tetapi Hasan gagal, tak mengapalah, boleh cuba lagi.

Sebelum itu, kisah blogger Raja Petra Kamarudin. Ia menjadi sangat menarik kerana kita semua tahu bahawa ketika awal reformasi, beliau antara yang paling kuat mengkritik kerajaan lebih-lebih lagi UMNO dan semua tahu beliau adalah peminat Anwar yang tegar.

Tetapi, kita dapat lihat pada hari ini bagaimana keadaan sudah terbalik hingga beliau menubuhkan MCLM. Dia kritik Anwar, Pakatan dan macam-macam lagi. Itu pun faedah besar untuk parti kita.

RPK yang kecewa dengan Pakatan Rakyat telah menubuhkan MCLM. Zaid yang kecewa dengan PKR menubuhkan KITA. Zulkifli Nordin, Zahrain, Ezam Mat Noor dan kelompoknya telah menjadi Ahli Parlimen bebas dan Senator yang lebih UMNO dari UMNO. Hasan Ali pula yang kecewa dengan PAS menubuhkan JATI. Semua ini mengikut jejak langkah Ibrahim Ali yang menubuhkan PERKASA.

Kesemua mereka bangga menggelar diri sebagai Third Force. Ada yang nak berjuang kerana agama, bangsa. Ada juga yang kononnya mahu menjadi democrat dan kebebasan liberal. Tak kisah lah apa pun kerana kesemua ini pastinya akan memberi laba yang besar kepada parti kita.

Third Force sebenarnya kita punya

Pakcik-pakcik dan makcik-makcik,

Biar saya terangkan dengan lebih jelas lagi. Senario ini menunjukkan bahawa kesemua organisasi yang dibentuk oleh individu dan kumpulan yang kecewa dengan parti masing-masing, secara tidak langsung telah memberi advantage kepada kita.

Malah, kita akan sentiasa mencari peluang untuk membantu kelompok ini atas nama semangat demokrasi demi mencapai cita-cita politik kita. Caranya mudah, mereka inilah yang menyerang Pakatan Rakyat dan menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat itu hipokrit.

Dengan bahasa yang lebih mudah, kesemua kelompok Third Force ini seakan-akan menjadi parti subsidiari kepada kita. Inilah hakikat sebenar Third Force yang berjaya kita hasilkan.

Memang kita akui ada segelintir Third Force yang benar-benar demokratik dan mahu membantu Pakatan Rakyat. Itu hal mereka dan kita tidak mahu bantu mereka. Mereka boleh pergi jahanam dengan Pakatan Rakyat.

Yang kita mahu ialah Third Force yang mengikut telunjuk kita, sama ada mereka sedar atau tidak.

Dengan pembubaran parti KITA oleh Zaid Ibrahim, pastinya Third Force kita boleh bergerak lebih pantas dan berkesan tanpa Zaid Ibrahim. Kita merasa amat lega dan gembira sekali. Peluang kita merampas kembali negeri-negeri Pakatan semakin cerah.

Tak pilih UMNO tak apa

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika anda segan untuk menyokong atau mengundi kami secara langsung, undilah sahaja kelompok Third Force ini, kerana jika mereka menang sekali pun pastinya mereka akan bergabung dengan kita untuk membentuk kerajaan. Undi anda kepada Third Force bermakna undi untuk kami.

Dan, jika anda segan nak masuk parti kami, maka sertailah JATI atau PERKASA, malah walau pun saya tak berapa setuju dengan mereka, MCLM pun tak pa kalau nak masuk. Masuklah kumpulan-kumpulan yang benci dengan Anwar Ibrahim atau Lim Guan Eng atau Haji Hadi Awang. Sebab sifirnya juga sama.

Apa yang kami perjuangkan itu juga diperjuangkan oleh Third Force. Niat kami sama – kita sama-sama hancurkan Pakatan Rakyat. Jadi tidak perlu bimbang, malah anda perlu yakin bahawa hanya kita yang mampu memerintah Malaysia.

Bila kita kembali menang, semua tauke dan kroni akan setia bersama kita. Kita kaya raya, rakyat boleh tumpang bangga dan gembira dengan kita. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment