Wednesday, February 1, 2012

Siapa Kuasa Ketiga? (3) : Umno cakap tak serupa bikin. Umno menipu.

Apa yang ditentang…apa yang disokong? Parti? Ideologi? Budaya?… Kepimpinan?
Kalau ada orang kata dia sokong PKR sebab Anwar. Dia sokong Pas kerana Nik Aziz. Dan dia sokong Umno pasai dia sokong Najib..aku tak mau sentuh golongan macam ni. Biarkanlah depa. Ini golongan yang sama macam pengikut Ayah Pin ataupun Maharishi Mahesh Yogi. Bagi aku, ini golongan yang taksub kepada individu…golongan yang memaksumkan pemimpin. Ini pun prinsip juga…tapi bukan prinsip aku.

Nik Aziz pernah kata, kalau Umno melaksanakan hukum Islam, dia sanggup membubarkan PAS dan semua ahli Pas masuk Umno. (Aku anggap dia serius bila dia cakap macam ni.) Kalau ikut tafsiran aku, parti tidak penting bagi Nik Aziz…tapi ideologi. Kalau parti itu lebih penting dari ideologi..sudah pasti dia akan mempertahankan Pas walaupun Umno melaksanakan hukum Islam.

Tapi kalau ideologi la yang menjadi pegangan Nik Aziz, sudah pasti dia tak boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP sebab PKR dan DAP bukan nak buat hukum Islam pun.

Atas prinsip apa Nik Aziz tak boleh bekerjasama dengan Umno, tapi boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP? Mesti ada sesuatu yang lebih penting dari parti dan ideologi. Yang tu kena tanya Nik Aziz.

Apakah kita menentang Umno sebab nama dia Umno? Macam mana kalau dia tukar nama kepada PEKEMBAR..apakah kita akan sokong dia? Orang bodoh boleh la kena tipu.

So..nama pun tak penting. Tak kisah la sama ada nama dia Umno ka, PEKEMBAR ka..Pas ka..PKR ka…itu hanya nama. A rose is still a rose.

Apakah prinsip sesuatu parti itu dijadikan ukuruan untuk menyokong atau menentang?

Umno kata dia memperjuangkan hak orang-orang Melayu…mahu meningkatkan ekonomi orang Melayu. Salah ka? Aku tak kata salah malah aku sokong.

Pas kata dia memperjuangkan Islam. salah ka? Tak salah..malah aku sokong.
PKR kata dia memperjuangkan keadilan dan kesamarataa. Yang ini jugak aku sokong.

Prinsip juga bukan dijadikan ukuran sama ada hendak menyokong atau menentang.

Habih…yang aku tentang Umno pasai apa?

Pasai Umno cakap tak serupa bikin. Umno menipu.

Dia kata nak jaga hak orang Melayu…hak apa yang tinggal? Dia kata nak bela ekonomi orang Melayu, tapi setelah 54 tahun, jumlah keluarga miskin yang paling tinggi ialah orang Melayu. Yang kaya cuma pemimpin Umno.

Umno kata dia mengamalkan demokrasi. Umno kata dia mengamalkan kebebasan bersuara. ini juga bohong.

Demokrasi dalam Umno ialah demokrasi duit. Nak pilih ketua cawangan pakai duit. Nak pilih ketua bahagian pakai duit. nak pilih Majlis tertinggi pun pakai duit. Kebebasan bersuara hanya untuk pemimpin Umno. Yang lain tidak. Sapa kutuk Umno siap la…

Rasuah dan penyelewengan toksah cakap. Satu beg tangan Rosmah kalau bagi kat aku dah boleh buat satu kandang besar kambing. Kalau duit 250 juta yang dibelanjakan kepada NFC tu dibagi kat penternak…sorang penternak kita bagi 10 ekor lembu…16, 200 penternak akan dapat habuan. Tapi penternak tak dapat apa-apa..menteri Umno yang kenyang.

Rasuah, penipuan dan penyelewengan ini sudah jadi budaya dalam Umno. Itu yang aku tentang.

Tapi budaya Umno ini bukan ada dalam Umno saja. Budaya Umno ini juga terdapat dalam Pas dan PKR. Yang berbeza cuma sikit atau banyak saja. Yang berbeza cuma perkataan yang digunakan saja. Kalau Umno buat kita kata rasuah. kalau orang kita buat kita kata sedekah. Nak sedap sikit..kita bagi nama infaq.

Kalau Umno buat kita kata tipu…kalau orang kita buat..kita kata strategi.

Orang yang ditengah ni tengah dok perati kat kedua-dua belah pihak. Dan oleh kerana perubahan pemerintahan di Malaysia ini mahu dibuat melalui pilihanraya..hangpa kena tau la macam mana nak menang pilihanraya.

Dalam pilihanraya ini…kedua-dua pihak macam orang jual ubat. Orang jual ubat ni sama macam penyelesai masalah. Orang yang datang nak beli ubat adalah orang yang ada penyakit…kalau tak sakit..nak beli ubat buat apa?

Bila kita buka gelanggang, dan orang pun dah ramai yang berkerumun, boleh ka kita kata..’ tuan-tuan ni semua ada penyakit. Jangan pi klinik..doktor semua tipu. Jangan pi bomoh…depa tu semua pakai hantu. Mai beli ubat saya yang boleh menyembuhkan semua jenis penyakit.” Hangpa ingat orang nak percaya? Yang mungkin percaya ialah orang yang sakit. .Orang tak sakit…dia terus belah saja.

Bagi orang yang sakit..hangpa tak payah main ular pun depa beli..sebab depa tengah memerlukan ubat. Tapi macam mana nak meyakinkan orang yang tak sakit supaya beli ubat sebagai persediaan kalau-kalau jatuh sakit.. ataupun sebagai pencegah supaya tak sakit?

Kalau ikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), jumlah penduudk Malaysia bagi tahun 2010 adalah seperti berikut.

Jumlah penduduk Malaysia ialah 28,908,795. Dah dekat 29 juta!! Tapi tolak yang bukan warganegara..tinggal 26,784,965.

Dari jumlah ini, yang berumur 20 tahun keatas ialah 17, 097,617 orang. Yang ni dah akil baligh dalam politik dan layak mengundi. Tapi bukan semua yang mendaftar jadi pengundi. Kalau ikut daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR cuma ada 12 juta pengundi. Lagi 5 juta tak mendaftar sebagai pengundi.

Dari jumlah 12 juta ini berapa ahli-ahli parti? Jumlah ahli parti-parti ni pun bukan boleh harap. Senarai daftar ahli parti pun mungkin lebih teruk dari daftar pemilih SPR. Ada yang kata ada 3 juta ahli..tapi termasuk la yang dah mati ataupun yang dah keluar parti. Tapi tak pa la..aku terima saja la berapa yang hangpa cakap.

Dalam BN, Umno kata ada 3 juta. Campur dengan MIC, Gerakan MCA,..kata la 4 juta. Campur dengan Sabah dan Sarawak..kata la 5 juta.

Dalam PR..Pas ada 1 juta. campur dengan PKR dan DAP…kata la 2 juta termasuk diSabah dan Sarawak.

Ada 5 juta lagi pengundi yang tidak menyertai mana-mana parti. Ini la orang-orang yang tak sakit ataupun tak tau yang depa ada penyakit.

Kalau hangpa cerita kat aku…kalau Pakatan memerintah, aku dapat RM300…untuk warga emas. Fuh..aku kena tunggu lagi 3 kali mengundi baru nak dapat.
Kalau hangpa cerita kat aku, setiap bayi yang lahir akan dapat seribu ringgit. Pun aku tak merasa sebab bini aku dah menopause.

Kalau hangpa kata, kalau setiap posting yang aku buat dalam blog…aku dapat lima ringgit suku. Yang tu aku syok la.

Tapi kalau hangpa bagi tau kat aku…”hang pakai akai la…tak kan tak tau yang mana betul yang mana salah. Nak masuk syurga ke nak masuk neraka?”

Kalau ada yang cakap macam ni kat aku..silap-silap kena ludah kat muka. Awat? Hangpa ingat aku tak ada akai selama ni? Hangpa ingat hangpa dah dapat tiket masuk syurga? Booking kat Air Asia pun depa boleh kensel bro!

Cukup la. - Mat Saman Kati

No comments:

Post a Comment