Saturday, February 18, 2012

PTPTN "Ah Long" berlesen, Najib kata Abdullah Ahmad Badawi tipu??

"PTPTN adalah Ah Long berlesen, cuma bezanya, dia tak simbah cat lagi kat rumah." Demikianlah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dari kaca mata Mandeep Singh, peminjam pertama yang menfailkan saman malu terhadap PTPTN. Kejadian penahanan Mandeep di lapangan terbang sebelum bertolak ke luar negara pada Julai 2011, mencungkil persoalan yang lebih besar, sama ada pendidikan harus diberikan secara percuma di Malaysia?

Sejak ditubuhkan pada tahun 1997, PTPTN telah mengagihkan dana pinjaman sejumlah RM48 bilion kepada 1.8 juta peminjam, menurut Abdul Malik Hakim. Dana pinjaman ini sungguhpun membantu siswa-siswi untuk menampung yuran pengajian dan membiayai sebahagian kos hidup ketika menuntut di kolej dan universiti, namun terus menjadi beban hutang sebaik sahaja pengajian ditamatkan. Lebih-lebih lagi, dengan gaji RM2,000, sejauh manakah kemampuan graduan universiti yang hidup di bandar untuk menjelaskan hutang sebanyak ratusan ringgit setiap bulan?

Forum "PTPTN: Beban Anak Muda", anjuran Kelab Mangsa PTPTN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), di bilik auditorim Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam, telah menarik kehadiran kira-kira 50 orang. Mandeep Singh yang mendakwa diri sebagai mangsa PTPTN, tampil bersama peguamnya Abdul Malik Hakim sebagai panelis, selain aktivis pelajar, Ahmad Syukri Razab dan bekas Ketua Pemuda Sosialis, Karthig, sementara Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan sebagai moderator.

PTPTN=Institusi kewangan

Mandeep Singh mengisahkan bagaimana dirinya ditahan di LCCT pada 6 Julai 2011, meskipun beliau telah menjelaskan jumlah hutang sebagaimana yang ditetapkan PTPTN pada 8 Jun 2011. Penerbangan Mandeep ke China digagalkan, lantas beliau yang kemarahan mencari khidmat guaman daripada Abdul Malik Hakim, dan akhirnya mengheret kes ini ke mahkamah pada September 2011.

Abdul Malik, yang tidak tahu apa itu "PTPTN" sebelum kes Mandeep (gambar kanan), telah mengkaji dan meneliti perjanjian antara peminjam dan PTPTN. Oleh sebab kes ini bakal dibicarakan, beliau selaku peguam enggan meneliti secara terperinci syarat-syarat yang dianggapnya membebankan, malah tidak munasabah terhadap pihak peminjam.

Menurut Abdul Malik, sebelum wujudnya PTPTN, seseorang anak muda hanya mempunyai tiga sumber kewangan untuk membiayai pengajian ijazahnya, iaitu biasiswa sama ada dari kerajaan atau badan bebas yang lain, pinjaman dari institusi kewangan seperti bank, dan biasiswa FAMA, father and mother - ditanggung ibu bapa.

Jelas, anak muda pada usia 18 hingga 25 tahun tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika itu, kecuali untuk menerima pinjaman PTPTN. Abdul Malik melontarkan soalan, misalnya berapa orang di kalangan peminjam yang betul-betul meneliti kandungan perjanjian dengan PTPTN, atau sesiapa yang mendapatkan nasihat peguam, sebelum perjanjian itu ditandatangani? Malah, pada usia begitu, apakah peminjam menyedari hak-hak mereka sebagai peminjam?

Syukri: Anak muda tersepit

Ahmad Syukri Razab juga bersetuju dengan pandangan Abdul Malik, mengisahkan pengalaman dirinya, yang pada mulanya cuba untuk tidak mengambil pinjaman PTPTN. Namun demikian, dengan yuran kira-kira RM8,000 atau RM7,000 satu semester, beliau akhirnya akur dan menerima pinjaman PTPTN pada semester ketiga. Untuk beliau, inilah peluang yang digunakan oleh PTPTN untuk mengerah wang dari anak muda yang tersepit.

Mandeep juga menambah, mungkin ramai yang mempunyai tanggapan bahawa seseorang graduan akan memulakan hidupnya yang baru sebaik sahaja tamat pengajian, tetapi padahal graduan memikul beban hutang yang amat berat dari PTPTN.
Mandeep Singh=Mohammed Abou Aziz Malaysia?

Ketika berucap, Abdul Malik mengingatkan bahawa peminjam sebenarnya sedang berurusan dengan satu institusi kewangan, seperti mana seseorang peminjam dana untuk membeli rumah. Beliau mengajak hadirin untuk melihat isu PTPTN dalam sistem ekonomi yang sedia ada, malah sambil berseloroh menyamakan Mandeep Singh sebagai Mohammed Abou Aziz di Malaysia, anak muda Tunisia yang membakar diri, lantas mencetuskan revolusi di tanah Arab.

Perbincangan berlanjutan kepada isu sama ada pendidikan percuma harus disediakan di Malaysia. Arutchelvan menolak tanggapan bahawa pendidikan percuma sebagai cadangan yang tidak berpijak pada tanah, membandingkan angka RM1.34 bilion untuk PTPTN setahun, dengan perbelanjaan kerajaan sejumlah RM9.5 bilion setahun, malah mengambil statistik laporan bahawa ketirisan yang disebabkan rasuah mencatat RM30 bilion di Malaysia.

"Pendidikan percuma bukan sesuatu dari bulan, tak ada. Ia sesuatu yang memang boleh dicapai. Tetapi, masalahnya kita sekarang berlawan dengan satu sistem yang nak buat keuntungan dari semua benda. Pendidikan, kesihatan...," kata Arutchelvan.

Ahmad Syukri (gambar kanan) berkongsi hasil perbincangan dirinya bersama siswa yang lain, bahawa dua pendekatan sahaja, sama ada transform sistem PTPTN untuk menyelesaikan beberapa soalan teknikal, misalnya, apakah PTPTN sesuai lagi diletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan sebagainya; atau reformasi dengan membubarkan PTPTN, lantas menyediakan pendidikan percuma.

Perbincangan mereka membawa kepada kesimpulan, bahawa cara yang paling relevan adalah untuk membubarkan PTPTN. Ahmad Syukri memetik EXCO kerajaan negeri Kelantan, Husam Musa yang berjanji untuk membayar PTPTN untuk anak Kelantan, atau menaja pendidikan seluruh anak Kelantan - seandainya diberi royalti minyak kepada negeri itu. Ahmad Syukri berkata, penentunya adalah iltizam politik, dan bukan sama ada negara kita mampu atau tidak untuk menyediakan pendidikan percuma.

Karthig (gambar kiri) ketika berucap, memetik bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Belanjawan 2008, "Saya mengumumkan bahawa pendidikan akan diberikan secara percuma di Malaysia." Namun, ketika PM merangkap Menteri Kewangan sekarang Najib Razak membentangkan Belanjawan 2012, beliau berkata "buat pertama kalinya dalam sejarah" pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan disediakan secara percuma bermula sesi persekolahan 2012.

"Sama ada Najib kata (Abdullah Ahmad) Badawi tipu, atau dia tak tahu..." sindir Karthig. Karthig bagaimanapun menunjukkan resit yuran sekolah menengah kebangsaan yang diwajibkan untuk dibayar ibu bapa murid, mempertikaikan maksud "pendidikan percuma" yang didakwa kerajaan BN.

* MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/ptptn-ah-long-berlesen-najib-kata.html

No comments:

Post a Comment