Saturday, February 4, 2012

Panas!! Chua Soi Lek akan SINGKIR Ong Tee Keat dalam PRU13

Pelantikan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pandan tidak semestinya menjadi lesen melayakkannya dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, calon yang layak untuk mendapat kerusi dalam PRU adalah mereka yang memperoleh sokongan penuh serta kepercayaan dari dalam dan luar parti.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk meletakkan calon yang berkaliber di Parlimen Pandan, kerusi yang kini dipegang oleh bekas Presiden MCA itu.

"Tapi kita perlu ingat, tidak semestinya semua yang menjadi Pengerusi BN secara automatiknya akan diserap menjadi calon.

"Prinsip saya sangat mudah, calon yang layak adalah mereka yang tidak cuba lari dari parti dan mengutuk kepimpinan dari luar. Ia adalah satu tindakan yang salah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek RM30,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda kepada MCA bagi menjayakan program perintis kesukarelawan, MyCorps.

Pada Oktober lalu, sebuah portal berita mendakwa Tee Keat telah mengadakan perjumpaan secara berasingan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua DAP Selangor, Teresa Kok, dipercayai untuk berbincang mengenai penyertaan beliau dalam pakatan pembangkang.

Dalam perkembangan berasingan, Soi Lek berkata, MCA kini dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ekoran tindakan salah seorang bekas pemimpin parti yang bergerak aktif dalam pertubuhan itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan arahan larangan kepada ahli MCA untuk menyertai mesyuarat Perkasa, beliau berkata: "Kita bukan macam parti-parti lain. Cakap demokrasi tapi tak tahu untuk mengamalkannya langsung."

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hanya membenarkan rakyat Malaysia di luar negara yang membayar cukai sahaja dibenarkan mengundi pada PRU akan datang, Soi Lek menyifatkan ia sebagai satu langkah bijak.

Katanya, hanya mereka yang menjadi warganegara Malaysia dan membayar cukai sahaja yang layak mengundi dan cadangan itu tidak seharusnya dijadikan isu. -Utusan

No comments:

Post a Comment