Saturday, February 11, 2012

Panas!! Amaran Pas Kedah buat PKR

ALOR SETAR - Beberapa Pas kawasan di Kedah mendesak pihak luar termasuk pemimpin dalam kalangan rakan Pakatan supaya tidak lagi mendesak tindakan diambil terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Sumber dalaman parti itu berkata, jika desakan terus dibuat, Pas Kedah tidak teragak-agak membuat desakan sama, namun membabitkan isu berbeza.

“Jika pemimpin PKR atau DAP terus desak pimpinan Pusat ambil tindakan terhadap Azizan, walaupun selepas Pesuruhjaya Pas Kedah itu membuat penjelasan, Pas juga boleh buat tindakan sama atas isu berbangkit yang menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap rakan pakatan itu. Namun atas dasar persefahaman, kita ketepikan,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari menggesa pakatan pembangkang mengambil tindakan terhadap Azizan berhubung penggantungan penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang didakwa bercanggah dengan kandungan Buku Jingga.

Isu Kuin dikatakan menjadi ‘senjata baru’ kepada kelompok tertentu yang cuba menjatuhkan Azizan daripada kerusi Menteri Besar Kedah.

Azizan juga dikatakan tidak disenangi beberapa pemimpin PKR dan DAP kerana dilihat melakukan beberapa tindakan yang dianggap boleh merugikan pakatan pembangkang.

Sumber berkata, pihak luar tidak wajar campur tangan dalam isu pentadbiran Kedah, kerana Pas Kedah tidak pernah mencampuri isu dalaman negeri lain.

“Jika mereka terus menekan Azizan, kita boleh desak parti buat keputusan drastik dengan ambil kerusi PKR yang wakil rakyatnya lompat parti. Kita ada alasan kukuh demi pertahan Pakatan Rakyat (PR) Kedah. Bolehkah mereka terima jika kita bertegas,” katanya.

Empat wakil rakyat PKR Kedah yang menang pada PRU12 lalu, yang kini wakil rakyat bebas ialah, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan; Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh; dan Adun Bakar Arang, Tan Wei Shu.

“Sumber lain memberitahu, PKR dijangka meletakkan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bertanding di parlimen Kulim/Bandar Baharu pada PRU13. Jika akar umbi bertegas dalam isu desakan PKR terhadap Azizan, saya jangkakan Saifuddin berdepan laluan sukar dengan jentera pilihan raya Pas di kerusi itu,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin kanan politik dan bekas profesor perlembagaan, dua tokoh itu patut memohon maaf secara terbuka kepada Azizan atas keceluparan mereka.

“Saya gesa pihak luar hentikan cubaan mengapi-apikan atau mengkudakan pelajar IPT dan gerakan mahasiswa khususnya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk menyerang Pas Kedah dan mencalarkan imej Azizan. Jika berterusan, tuntutan ke atas kerusi lompat tidak dapat dielak sebagai tindak balas ke atas tindakan mereka,” katanya.

Sumber itu turut meramalkan tidak berlaku sebarang perubahan agihan kerusi bertanding dalam PR Kedah dalam PRU13 akan datang.

“Kedah adalah negeri pertama yang berjaya selesaikan isu pertindihan kerusi bertanding dalam PRU13. Difahamkan, Kedah akan kekalkan formula agihan kerusi 2008,” katanya.

Sekiranya dakwaan itu benar, ini bermakna DAP kekal bertanding di dua kerusi (Kota Darul Aman dan Derga).

Sebelum ini, Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik mahu DAP bertanding di dua kerusi parlimen dan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU13. DAP menuntut supaya parlimen Padang Serai dan Alor Setar diserahkan kepada parti itu, manakala enam Dun babitkan Kota Darul Aman, Bakar Bata, Derga, Bakar Arang, Gurun dan Lunas.

Berdasarkan formula agihan 2008, Pas bertanding 24 kerusi manakala 12 lagi kerusi dibahagikan antara DAP dan PKR, di mana 10 daripadanya diberikan kepada PKR. DAP hanya bertanding di Kota Darul Aman dan Derga. Daripada enam kawasan Dun yang dituntut DAP itu, lima kerusi berlaku pertindihan antara DAP dan PKR. SH

No comments:

Post a Comment