Wednesday, February 8, 2012

Najib ‘desperate’, "gua tolong lu, lu tolong gua" di Batu Caves..


"Kali ini kita terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuang undi. Kalau kita melakukan kesilapan lagi maka kita jugalah yang kecewa dan menganga melihat pimpinan kita memferaidkan hasil mahsul rakyat sehingga kering kontang."

“Lu tolong gua, gua tolong lu!”….. itulah maksud kata-kata Najib kepada kaum India semasa melawat Batu Caves sempena hari Thaipusam pagi tadi. Najib menyeru kaum India supaya mempercayai beliau dalam usaha memperbaiki kehidupan kaum India dan memberikan beliau sokongan dalam pilihanraya yang akan datang. “Tuan-tuan tolong saya, saya akan tolong tuan-tuan” kata Najib lantang dan jelas.

Janji seperti ini telah dibuat setiap pilihanraya tiba sejak tiga puluh tahun yang lalu. Janji ini bukan sahaja dibuat kepada kaum India tetapi semua kaum termasuk kaum Najib sendiri, iaitu kaum Melayu yang merupakan kaum terbesar di negara ini. Janji ini jugalah yang akan ditabur dalam pilihanraya yang akan datang kerana kita tahu segala janji yang dibuat pagi tadi tidak akan kemana.
Tetapi kepada siapa yang masih yakin dan percaya kepada janji itu terpulang kepada mereka. Setiap rakyat berhak untuk memilih untuk dibohongi terus-terusan atau mengelak dari pembohongan tersebut. Sebagai seorang Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Persekutuan, janji yang dibuat secara peribadi itu merupakan tindakan ‘desperate’ dan kata-katanya itu tidak melambangkan beliau seorang pemimpin yang ‘magnanimous’ yang memimpin rakyat yang berbilang kaum itu.

Orang melayu telah dijanjikan bermacam-macam setiap pilihanraya, tetapi kita lihat apa yang berlaku sekarang ini adalah terlalu jauh dari menepati janji-janji yang telah dibuat kepada mereka. UMNO telah menjadikan orang melayu hanya sebagai dahan bongkok untuk ‘kera-kera’ meniti dan digunakan untuk memberikan sokongan dalam pilihanraya sahaja. Orang melayu dan rakyat hanya diberikan rm 500 upah sebelum pilihanraya ini untuk mendapatkan kuasa dan terus menjajah pemikiran bangsanya sendiri.

Berbillion habis dibelanjakan untuk membayar undi, tetapi dengan jumlah itu tidak memberikan apa-apa kesenangan kepada orang Melayu dan rakyat keseluruhannya. Hutang kerajaan telah mencecah hampir RM300 billion tidak termasuk hutang-hutang yang dibuat melalui ‘off budget agencies’ yang berbillion billion lagi. Najib berbelanja untuk kempennya seperti seorang maharaja besar sedangkan wang itu semuanya wang rakyat jelata. Saya pernah menulis yang harga untuk mengekalkan kuasa UMNO dan Najib ini amat mahal harganya.

Itu tidak termasuk harga yang dibayar rakyat untuk membayar komission kepada Menteri-Menteri dan kroni-kroni dalam pembelian bekalan dan keperluan kementerian dan negara. Semuanya diperah dari titik peluh rakyat bukannya dari wang UMNO atau BN.

Rakyat sedang marah dan lebih marah lagi apabila mendengar seorang Perdana Menteri membuat janji timbal balas dengan kaum India seperti negara ini adalah negara kepunyaan keluarganya sendiri. “Saya tolong anda, anda tolong saya’ ini telah dihamburkan banyak kali dan tiba masanya bagi kita untuk meminta Najib memberhentikannya. Najib mesti hormati perasaan orang yang mendengarnya.

Rakyat sepatutnya dihampiri oleh dasar yang baik dan sempurna bukannya dihampiri oleh seorang individu pemimpin yang berjanji,’gua tolong lu, lu tolong sama gua’. Kalau ada perasaan ‘desperate’ pun janganlah tunjukkan sangat sehingga terkeluar janji-janji peribadi dalam kempen pilihanraya.

Yang berjanji sepatutnya rakyat. Rakyat sepatutnya yang berjanji untuk mendapatkan kerajaan yang bersih dan telus untuk menjaga kepentingan kaum India dan lain-lain kaum di negara ini, bukannya individu Najib. Itu sebabnya rakyat sedang berusaha untuk mencari gantian kepada pimpinan yang ada untuk mengambil perhatian terhadap bukan sahaja kepada kaum India tetapi bagi semua kaum yang hidup dalam negara bertuah ini.

Kita perlu ingat jika semua janji-janji manis kerajaan dilaksanakan tidak mungkin rakyat memberontak dalam jiwa mereka sehinggakan kita menghadapi situasi politik yang tidak menentu masakini. Sekarang berjanji lagi dan kita tahu hasilnya akan tetap sama.

Yang akan senang hidup dalam keadaan ‘super’ kaya adalah ‘warlords’ dan kroni-kroni UMNO dan BN. Rakyat biasa tetap menganga lebar memerhati pemimpin dan keluarga mereka hidup mewah-mewah yang tidak ada tolok bandingnya walaupun isteri mereka hanya datang dari gulungan rakyat biasa sahaja sebelum menjadi isteri pemimpin-pemimpin besar negara.

Sekarang pemimpin-pemimpin yang sama juga mundar mandir untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat yang terbiar dan tertipu selama ini. Dalam masa pilihanraya menghampiri kita inilah mereka turun kebawah menyuruh kita ‘membajak sawah pagi ke petang. Apabila mendapat hasilnya padi-padi tadi akan dimasukkan ke dalam kepuk di mana tikus-tikus gemuk akan membahamnya’.

Yang akan ditinggalkan oleh tikus-tikus ini hanyalah hampa-hampa padi seperti yang dibahagi-bahagikan melalui BRIM sebanyak RM500 itu. RM1 trillion wang kita telah dibawa keluar negara sejak sepuluh tahun dahulu. Saya telah menyaksikan rakyat yang lapar ini beratur hampir lima jam untuk mendapatkan RM500 itu. Kepada yang mempunyai perasaan mereka akan melihat mereka beratur dengan perasaan sedih dan pilu. Itu sahajalah yang mereka dapat setelah UMNO memerintah selama 55 tahun.

Setelah mendapat hasil padi hasil bajakan ‘kerbau-kerbau’ ini mereka akan hilang dan menjual hasil bajakan rakyat tadi…bershopping ke London, New York, Paris. Rakyat yang telah diperah peluhnya tadi hanya mendengar sahaja tuan-tuan besar ini membelanjakan hasil pembajakan mereka itu.

Bagi saya tindakan memperbodohkan rakyat ini wajar dihentikan dahulu lagi, tetapi tidak juga dihentikan. Pemimpin-pemimpin kita mengambil rakyat ramai ‘for granted’, boleh diperlakukan apa sahaja. Selagi rakyat khususnya orang Melayu miskin, selagi itulah UMNO dan BN mengharapkan sokongan dari mereka ini. Lagi miskin rakyat lagi mudah pimpinan kita menipu dan menyesatkan negara. Memang benar kata agama kita yang ‘kemiskinan itu membawa kekufuran’.

Letih kita dibuatnya. Kali ini kita terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuang undi. Kalau kita melakukan kesilapan lagi maka kita jugalah yang kecewa dan menganga melihat pimpinan kita memferaidkan hasil mahsul rakyat sehingga kering kontang.

Kita mesti ingat, jika kita hendak menjaga harta benda kita jangan biarkan pencuri dan perompak mendekati kita. Kita kunci betul-betul supaya penyamun dan perompak tidak dapat masuk lagi.

Gua ingat gua tak mau tolong lu. 

Aspan Alias

No comments:

Post a Comment