Wednesday, February 15, 2012

Kalaulah Karpal Singh keturunan Melayu dan seorang pemimpin Umno

Kalaulah Karpal Singh keturunan Melayu
Keputusan untuk mendakwa Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, yang juga seorang peguam terkemuka, atas tuduhan “menghina” Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berikutan kejadian rampasan kuasa oleh Umno pada tahum 2009 sememangnya telah diduga sejak dari awal lagi.


Kalaulah keturunan Karpal Singh adalah Melayu dan seorang pemimpin Umno, beliau tidak akan mengalami nasib yang sebegini. Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan dalam tahun 2010 di mana Karpal dibebaskan tanpa perlu membela diri daripada tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Apabila terdapat kes-kes yang melibatkan salahlaku oleh Raja-raja, ramai hakim mahkamah tidak berani untuk menghakimi kes-kes sedemikian kerana takut dituduh menderhakai baginda dan karenah ini telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan yang sungguh ketara di dalam sistem perundangan negara kita.

Kenyataan Karpal pada hari itu

Apakah yang telah dinyatakan atau diperkatakan oleh Karpal pada hari itu, pada tahun 2009 yang menyebabkan beliau terjebak di dalam kancah penganiayaan?

Mengikut kenyataan yang keluarkan oleh Karpal melalui suatu sidang akhbar pada tahun 2009 ekoran rampasan kuasa oleh Umno di negeri Perak, mengatakan bahawa Artikel 160 dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seseorang Raja boleh disaman atau di bawa ke hadapan muka pengadilan atas peranan dan kedudukan baginda sebagai “kuasa awam” (public authority). Karpal yang merujuk kepada Artikel 160 itu juga telah menegaskan bahawa seseorang Raja adalah sebahagian daripada institusi kerajaan dan oleh yang demikian, jikalau sesebuah kerajaan itu boleh ditegur atau dikritik, maka Raja-raja juga tidak akan terkecuali daripada pandangan tersebut demi kepentingan umum. Ini bermakna, rakyat jelata juga berhak menegur Raja-raja mereka, jika sekiranya terdapat apa-apa salahlaku yang disengaja atau tidak disengajakan oleh para baginda.

Pada 8 Februari 2012 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah menyatakan secara rasmi bahawa hak dan kebebasan bercakap atau bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak semestinya mutlak atau dimiliki oleh rakyat jelata. Oleh itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Karpal mengenai Sultan Azlan Shah yang berhubung kait dengan kejadian rampasan kuasa di negeri Perak yang didalangi oleh Umno telah melepasi had yang telah ditetapkan oleh undang-undang yang ada dan kini telah disifatkan sebagai “menghasut”. Hakim Datuk Ahmad Maarop turut menambah Karpal selaku ahli parlimen dan peguam juga tidak akan terkecuali daripada intepretasi Mahkamah Rayuan tersebut.

Jika sekiranya seorang peguam yang juga seorang ahli parlimen pada masa yang sama dilarang daripada menyatakan pendapat mereka berkenaan dengan undang-undang ataupun perlembagaan, maka Tuhan atau Allah s.w.t. perlulah menyelamatkan negara ini dengan segera.

Yang lebih menyakitkan hati rakyat jelata adalah bahawa kenyataan Karpal yang menyebut “kuasa awam” bukannya sesuatu perkara yang akan dipersetujui oleh setiap peguam di negara kita ini. Malah, sewaktu kes Universiti Merdeka yang disebut di hadapan mahkamah dalam tahun 1982, hakim-hakim yang meneliti kes tersebut tidak dapat menyetujui sama ada sesebuah universiti patut ditafsirkan sebagai sebuah “institusi awam” atau sebaliknya.

Sama ada Raja-raja kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan merupakan “kuasa awam”, kita serahlah sahaja kepada para peguam untuk menentukannya. Dalam pada itu, ingin kami menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Karpal itu adalah sah mengikut lunas undang-undang dan hak beliau itu adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Umno lebih berkuasa daripada Raja-raja

Kami yakin bahawa ramai di antara kita telahpun menyaksikan bagaimana para pemimpin Umno ini telah mengeluarkan macam-macam kenyataan yang berbentuk menghasut, mencaci, mengutuk dan menggalakkan orang ramai agar membenci Raja-raja Melayu pada tahun 1990an, tetapi mereka ini tidak pula dibawa ke muka pengadilan atas perbuatan mereka yang jelas menderhaka ini.

Para pemimpin Umno ini secara terbuka mengecam dan menghina Raja-raja Melayu tanpa segan silu oleh kerana mereka ini punyai kuasa lebih kebal yang dapat menghindari mereka daripada sebarang tindakan undang-undang. Sikap hipokrasi dan talam dua muka inilah yang bakal menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ini tidak lama lagi.

Apa yang tidak sedap didengar atau dipandang oleh kerajaan BN semuanya akan dianggap sebagai menghasut dan mereka boleh juga menggunakan perkataan “menderhaka” terhadap mana-mana pihak yang tidak menyetujui mereka. Kita pun dapat memerhati segala tingkah laku para pemimpin Umno ini dengan jelas yang memperbodoh-bodohkan rakyat jelata, kononnya rakyat adalah benar-benar bodoh belaka.

Penghakiman yang melucukan

Sebab-sebab yang dinyatakan di dalam penghakiman tersebut adalah amat lucu dan memalukan profesion perundangan. Hakim-hakim ini tidak mahu mengkaji perkara-perkara yang sebenarnya, malah tanpa berasa malu boleh mengeluarkan suatu penghakiman yang tidak masuk akal dengan menyatakan tidak ada kebebasan mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Siapakah sebenarnya yang mengarahkan agar hakim-hakim di Mahkamah Rayuan itu untuk mengeluarkan penghakiman mengenai had kebebasan bersuara dan mengeluarkan kenyataan? Adakah penghakiman mereka ini ditulis atau disediakan oleh pihak lain dan hakim-hakim tersebut hanya membacanya pada hari keputusan? Adakah hakim-hakim tersebut benar-benar layak?

Jika hakim-hakim tersebut benar-benar ikhlas dan professional , mereka ini sepatutnya memberikan beberapa siri contoh mengenai apakah dan bagaimana sesuatu kenyataan, teguran ataupun kritikan itu patut dibuat terhadap Raja-raja dan macam mana contoh-contoh tersebut dapat ditafsirkan sebagai menghasut, menderhaka atau menghina dan sebaliknya.

Contohnya, sekarang kami menyatakan ada beberapa jenis tradisi yang diamalkan oleh Raja-raja Melayu sekarang adalah berasal daripada tradisi India dan agama Hindu, adakah kami akan didakwa mengikut Akta Hasutan pada keesokan hari?

Mengikut pendapat yang dikeluarkan oleh para hakim Mahkamah Rayuan itu, dakwaan menghasut ataupun menghina Raja-raja Melayu itu mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya ada pihak yang membuat laporan atau mengadu mengenai kenyataan tersebut. Jika benar-benar tidak mempunyai sebarang bentuk kebebasan untuk bercakap, bertutur, bersuara, menegur, mengkritik dan sebagainya di bawah sistem perundangan dan perlembagaan negara kita ini, berterus-teranglah! Apakah yang perlu disorok?

Para pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah memastikan agar Akta Hasutan dan lain-lain akta yang mengancam hak asasi kemanusiaan itu dimansuhkan selepas Putrajaya ditawan (tidak lama lagi). Biarlah sahaja rakyat jelata menyatakan apa yang sepatutnya mengenai Raja-raja mereka dan pemimpin-pemimpin negara juga harus berani menerima sebarang kritikan dan teguran. Ianya adalah merupakan nilai yang diterap oleh setiap kaum dan agama.

Oleh yang demikian, kita tidak perlu takut dengan pihak berkuasa atau tunduk kepada segala kemahuan dan nafsu kerajaan BN ini semata-mata.

Kami ingin bertanyakan kepada Peguam Negara, adakah rencana ini dianggap berbaur hasutan dan jika ianya dianggap sebagai satu hasutan, bolehkah Peguam Negara menerangkan di manakah tafsiran yang berbaur hasutan itu dan bagaimanakah ianya ditafsirkan, disertakan dengan pelbagai contoh-contoh yang paling hampir.

Kami sedia menunggu jawapan daripada Peguam Negara! - MC

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/kalaulah-karpal-singh-keturunan-melayu.html

No comments:

Post a Comment