Tuesday, February 14, 2012

Israel: Nik Aziz Menasihatkan Anwar supaya saman WSJ


Saya baru mengadakan sidang media sebentar tadi memaklumkan keputusan majlis syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam yang memohon agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya berkenaan dengan negara Israel baru-baru ini.

Setelah majlis syura meneliti isi kandungan kenyataan beliau, ia mengandungi unsur-unsur pengiktirafan terhadap negara haram Israel yang bertentangan dengan pendirian PAS. Sekiranya kenyataan beliau nyata telah diputarbelitkan, saya memohon agar beliau dapat memfailkan saman ke atas Wall Street Journal. - Nik Abdul Aziz Nik Mat


Israel: Anwar tarik balik kenyataan atau saman WSJ

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti dilaporkan di Wall Street Journal (WSJ) atau menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

No comments:

Post a Comment