Friday, February 17, 2012

Gempaq!! Tak kan Raja Nazrin sindir Nik Aziz kot? Apa komen Dewan Pemuda PAS..


KUALA LUMPUR - Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamatnya untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.

Baginda bertitah akibat dari sikap itu, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti dalam kalangan ummah gagal dicapai dan dasar murni yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.

"Sedarilah, dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa, yang berdosa adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta dan ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi," titah baginda semasa merasmikan Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Bank Negara Malaysia di sini.



'Menurut Raja Nazrin, kajian menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

"Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya akan memberi impak negatif dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.

Baginda mengesyorkan satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada untuk memberi jaminan bahawa semua pegangan ekuiti Melayu Islam ini tidak begitu cepat terhakis.

Raja Nazrin turut melahirkan rasa kesal kerana ada individu yang bersifat "pagar memakan padi" yang telah menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.

"Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam... berpegang kepada konsep iman dan takwa," titah baginda.

Idea wakaf korporat sudah pun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehinggalah akhirnya ia berkubur akibat manipulasi penjajah, titah baginda.

Konsep ini telah dibuktikan kejayaannya di negara ini melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006 yang boleh dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas.

Menurut Baginda, bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah. Sinar Harian

DEB: Titah Raja Nazrin wajar diberi perhatian

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, 16 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi titah ucapan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah yang menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamat untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.

“Bagi DPPM, ucapan Dr Raja Nazrin lahir dari keikhlasan hati beliau melihat kegagalan Dasar Ekonomi Baru dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

DPPM, katanya merasakan Dr Raja Nazrin Shah sememangnya seorang yang prihatin terhadap nasib dan masa depan rakyat sehingga menjadikan isu pembangunan rakyat dan ekonomi negara dalam ucapan baginda.

Justeru, ujarnya amat bertepatan isu kegagalan DEB diangkat sebagai isu utama untuk diberi perhatian.

Tambahnya, DPPM menganggap titah ucapan Dr Raja Nazrin Shah wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Menurutnya, dalam titah baginda juga menyebut bahawa kajian menunjukkan hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

Ini, ujarnya menunjukkan ada pihak yang menyalahgunakan DEB untuk kepentingan dirinya mereka, bukan untuk kepentingan orang Melayu seperti niat asalnya.

Katanya lagi, ini juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pelaksanaan DEB sejak ia dilancarkan sehingga kini.

Menurutnya, meskipun niat asal penubuhan DEB amat baik tetapi mengapa ia gagal dan tidak menepati matlamat setelah beberapa tahun ia dilaksanakan.
“Mungkinkah amalan rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan wang oleh segelintir mereka yang berkuasa, pelaksanaan yang lemah, pentadbiran yang tidak cekap, sikap monopoli, amalan kronisme sebagai faktor kegagalan?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, yang lebih menghairankan adalah, mengapa orang Melayu pada hari ini masih ramai yang berada di bawah paras kemiskinan dan tidak ramai yang mampu berdaya saing dengan bangsa lain dalam aspek ekonomi dan perniagaan.

Katanya, ramai orang Melayu ketinggalan serta terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan gergasi perniagaan di negara ini yang dimiliki oleh bangsa lain.

Rakyat juga, tambah beliau merasa musykil kerana meskipun negara ini memiliki aset dan kekayaan yang melimpah ruah namun semakin ramai rakyat terutama orang Melayu hidup merempat di bumi sendiri.

Apa yang pasti, ujarnya lagi kegagalan DEB membuktikan kegagalan kerajaan menguruskan negara selama ini.

“Sudah cukuplah kegagalan ini menjadi indikator bahawa rakyat di negara ini perlu menukar kepada kerajaan yang telus, bersih dan amanah!” katanya. Harakah

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/gempaq-tak-kan-raja-nazrin-sindir-nik.html

No comments:

Post a Comment