Sunday, February 26, 2012

Anwar Dedahkan Isu Terkini Di Pejabat PKR Teluk Chempedak Malam Tadi! +Video

KUANTAN, 26 Feb - Beberapa jam menjelang Himpunan Hijau 2.0, satu Ceramah Perdana Pakatan Rakyat telah diadakan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Pahang, di Jalan Beserah dekat sini malam tadi. 

Ceramah menampilkan pemimpin besar PKR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Badrul Hisham Shahrin (Chegubard) itu telah mendapat sambutan sebahagian daripada rakyat yang hadir. Kehadiran tidaklah terlalu membanggakan, mungkin akibat promosi yang terlalu singkat dan tidak meluas. Namun, orang ramai berpuas hati dengan beberapa penjelasan Anwar termasuk isu serangan peribadi terhadap beliau, isu Israel dan laporan berkenaan pertemuannya dengan beberapa orang tokoh politik dan ulamak terkenal ketika lawatannya ke Timur Tengah baru-baru ini. 


"Saya menjadi popular akibat diserang bertalu-talu oleh media UMNO. Mereka serang saya hari-hari.. tapi kita nak bercakap untuk bagi penjelasan lima minit pun tak dibenarkan.. Ini demokrasi ala UMNO", kata Anwar. 


Beliau turut menjelaskan, walau pun serangan terhadapnya semakin menjadi-jadi, dan selepas melalui berbagai rintangan dan dugaan, kini dia tabah menghadapi segalanya. "Saya diserang dengan isu Israel, tapi mereka berniaga dengan Israel. Kita datang Kuantan, Pemuda UMNO berdemo di perkarangan Ibu Pejabat PKR. Ini semua kerja bodoh puak-puak UMNO", tambah Anwar lagi. 


Sementara itu, Ketua Umum PKR itu juga turut mengajak anak-anak muda melakukan perubahan sama seperti apa yang berlaku di Mesir dan lain-lain negara arab sebelum ini. "Orang muda perlu bangkit buat perubahan, beri undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Saya jumpa Perdana Menteri Tukri, Erdogan.. bayangkan dalam masa tiga tahun memerintah beliau banyak buat perubahan kepada rakyat. Pendidikan percuma dari tadika hingga ke peringkat universiti. Dulu dia tiru dan hormat saya semasa menjadi Menteri Kewangan.. sekarang saya kata nak tiru dia beri kebajikan kepada rakyat. Jika kita menang, pendidikan percuma untuk rakyat", kata Anwar lagi. 


Turut berucap malam tadi ialah Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman dan Saudara Andansura Rabu (Timbalan Ketua PAS Indera Mahkota) yang juga merupakan orang kuat dalam kempen bantahan Lynas. Beliau menjelaskan beberapa perkara berkenaan Himpunan Hijau 2.0 di Padang MPK4 pagi ini.

Selepas tamat menyampaikan ucapannya di situ, Anwar bergegas ke Teluk Chempedak untuk bertemu rakyat terutamanya anak-anak muda di sana. 


Rombongan Anwar yang diuruskan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang itu, telah disambut dengan laungan reformasi oleh orang ramai yang berada di pantai itu. Masing-masing teruja dan terkejut kerana pemimpin hebat seperti Anwar singgah ke situ. Malah, ada yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta mengambil gambar beliau. 


Anwar sempat bertemu rakyat kira-kira setengah jam sebelum beredar ke Hotel Swiss Garden untuk agenda seterusnya. Beliau sempat membuat ucapan ringkas mengajak rakyat turun beramai-ramai ke Padang MPK4 pagi ini bagi memberi sokongan terhadap bantahan Lynas. "Saya datang dari Pulau Pinang dan menetap di Kuala Lumpur. Tapi saya hadir ke sini untuk membela nasib rakyat Kuantan. Kita tidak tolak pembangunan, tetapi biarlah ia tidak menjejaskan rakyat. Kenapa perlu ambil risiko membawa masuk kilang Lynas ke sini. Mereka dapat untung besar tapi rakyat terpaksa menanggung derita akibat hidup dalam ketakutan gara-gara kewujudan kilang ini", kata Anwar. Beliau kemudiannya beredar dari pantai itu kira-kira jam 11.30 malam, sambil mendapat tepukan gemuruh dari kalangan rakyat pelbagai kaum yang berada di situ. Turut bersama dalam rombongan itu ialah Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin dan lain-lain pemimpin AMK. PDO.


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/anwar-dedahkan-isu-terkini-di-pejabat.html

No comments:

Post a Comment