Saturday, January 14, 2012

Video ‘Kau Nie’: UPSI gantung siswa, buang kolej

KUALA LUMPUR- Dua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi notis pembuangan kolej dengan alasan yang sangat tidak munasabah.

Menurut pimpinan Mahasiswa Pendidik UPSI, mereka berdua adalah antara pelakon yang menjayakan video pendek 'Kau Nie' yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan anak muda.

Video tersebut turut memaparkan beberapa perbualan tentang isu semasa yang berlaku kepada mahasiswa.

Antara yang hangat diperbincangkan dalam video tersebut adalah tentang isu Adam Adli dan beberapa siri himpunan mahasiswa.

Video tersebut dipaparkan bertujuan untuk memberi pendidikan politik kepada mahasiswa di Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berasa kesal dengan pentadbiran UPSI yang dilihat semakin keterlaluan kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor, universiti bukan tempat menghukum mahasiswa tetapi sebagai training ground bagi mahasiswa sebelum keluar ke medan yang lebih mencabar.

"Apa salahnya mahasiswa ingin berkongsi ilmu dan idea dalam bentuk video, itu adalah satu perkembangan ilmu yang terbaik dalam era globalisasi hari ini.

“Saya bimbang jika pada satu hari nanti, mahasiswa yang menulis 'status' di Facebook juga akan menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau juga turut mengecam beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini khususnya himpunan 1 Januari yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Katanya, kehadiran polis pada malam tersebut sangat tidak rasional kerana ia hanyalah himpunan bukan pemberontakan.

Justeru, ujarnya UPSI mesti lebih matang dan bersifat terbuka lebih-lebih lagi memegang status sebagai kampus pendidikan di Malaysia.

Hafizuddin turut menyeru kepada Timbalan Naib Canselor HEPA UPSI, Datuk Junaidi Abu Bakar supaya lebih bersikap profesional dan rasional dalam membuat sebarang respons terhadap gerakan mahasiswa.

Beliau turut mengecam tindakan menggantung Adam Adli selama 3 semester kerana sangat melampau, hanya kerana bendera.

"Saya berharap Datuk Junaidi dan Datuk Khaled Nordin selaku Menteri KPT tidak menjaga periuk nasi mereka semata-mata, bahkan mereka mesti menghormati pendirian dan pergerakan mahasiswa selaku anak muda intelektual," ujarnya. -Harakahdaily


No comments:

Post a Comment