Tuesday, January 31, 2012

Projek lebuh raya Banting-Taiping penuh keraguan, persoalan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Rakyat Malaysia yang telah pun dibebankan dengan “cukai” untuk membiayai kroni kerajaan Barisan Nasional seperti penjana kuasa bebas (IPP), syarikat air dan pengendali tol lebuh raya, akan terpaksa menanggung kos projek lebuh raya Banting-Taiping bernilai RM7.07 bilion.

Justeru, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) perlu mendesak Pejabat Perdana Menteri untuk mengeluarkan segala maklumat berhubung pemberian konsesi kepada Europlus bagi pembinaan lebuh raya tersebut.

Katanya, Pengerusi Pemandu Tan Sri Koh Tsu Koon bertanggungjawab memberitahu rakyat sama ada projek mega itu mengikut dasar dan prinsip program transformasi kerajaan (GTP) atau ia adalah sesuatu yang tidak telus dan meragukan.

Jelas beliau, konsesi lebuh raya selama 60 tahun bernilai RM7.07 bilion itu untuk Europlus seperti melangkau janji-janji GTP, terutamanya dengan peningkatan kos sebanyak 134% dari RM3.02 bilion dan lanjutan tempoh konsesi 27 tahun dari asalnya 33 tahun yang ditandatangani pada tahun 2007.

“Sudah lebih dari lima hari sejak pengumuman dibuat oleh Europlus di Bursa Malaysia, tetapi kerajaan masih enggan memberi penerangan tentang projek itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, sedangkan melalui GTP, kerajaan telah berjanji untuk “mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dan memastikan ketelusan dalam penganugerahan kontrak.”

Bagaimana pun, katanya, projek pembinaan lebuh raya itu nampaknya meragukan dalam banyak segi.

Justeru, Pua mendesak agar Pemandu memastikan Pejabat Perdana Menteri telus dan bertanggungjawab dengan menjelaskan keuntungan yang diunjurkan pemegang konsesi, beban tol masa hadapan yang akan batas oleh penumpang.

“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan GTP yang menjanjikan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, Pemandu mesti memastikan pisang tidak berbuah dua kali seperti perjanjian-perjanjian penswastaan sebelum ini oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Adakah Koh Tsu Koon berani untuk menuntut agar projek lebuh raya itu digantung sementara menunggu kajian semula untuk memastikan bahawa Malaysia pulih dari calar-calar ketelusan seperti laporan oleh Transparency International?

“Atau adakah Koh Tsu Koon menjadi pengecut dan mahu lari dari tanggungjawabnya sebagai pengerusi Pemandu?” soal beliau. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment