Wednesday, January 11, 2012

Pembebasan Anwar kerana GTP Najib?


11 JANUARI – Melihat dan mendengar reaksi para pemimpin UMNO selepas mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat II menyebabkan ramai antara kita mahu menangis teresak-esak atau ketawa pecah perut.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pemimpin UMNO lain kononnya pembebasan Anwar adalah bukti kesungguhan Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah amat lucu tapi menyedihkan serta memilukan.

Pernyataan tersebut hanya akan memakan diri UMNO sendiri kerana ia menimbulkan pelbagai soalan yang harus dijawab.

* Jika GTP tidak dilakasanakan, adakah Anwar akan didapati bersalah? Atau jika Anwar didapati bersalah, adakah ia juga bukti kejayaan GTP?

* Jika Anwar bebas kerana GTP, adakah kerajaan UMNO-BN secara tersiratnya mengatakan bahawa mahkamah sebelum ini tidak bebas, dan hanya bebas kerana adanya GTP?

* Jika semuanya kerana GTP, adakah institusi kehakiman kita begitu bobrok sekali hinggamemerlukan seorang Perdana Menteri melaksanakan GTP, baru ia boleh bebas dan adil?

UMNO-BN pernah akui rakyat hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman

Kerajaan UMNO-BN di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengakui bahawa keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman harus diperkukuhkan.

Dengan itu, beliau telah memilih seorang ahli UMNO yang dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim. Sebelum itu, janji-janji Pak Lah untuk membuat transformasi besar bagi menghapuskan amalan Mahathirisme disambut baik sehinggakan beliau telah mendapat undi popular yang amat besar dalam pilihan raya umum 2004 dengan mendapat lebih daripada 90 peratus kerusi Parlimen.

Apabila diberi kuasa, Zaid antara lain telah mengakui kesalahan kerajaan pusat dalam peranannya memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas pada tahun 1988. Kerajaan telah meminta maaf kepada beliau dan beberapa hakim lain serta memberi pampas an.

Tindakan berani Zaid mengakui kesalahan BN dan pengakuan bahawa ianya telah berlaku merupakan satu langkah yang besar dalam memulihkan keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Institusi kehakiman merupakan tulang belakang kepada sebuah negara demokrasi. Jika kebebasan dan ketelusan dikompromi, maka hancurlah demokrasi dalam sebuah negara kerana para penguasa dapat berbuat sesuka hati tanpa kehadiran ‘check and balance’. Insan-insan tertindas pula tidak akan mendapat keadilan. Daripada demokrasi ke diktator dalam sekelip mata. Itulah betapa maha pentingnya kebebasan badan kehakiman.

Dosa-dosa perundangan UMNO-BN terhadap rakyat

Apakah kita masih ingat tentang seorang hakim yang terkenal kerana berat sebelahnya kepada pihak kerajaan? Akhirnya beliau tidak boleh diselamatkan apabila terdapat gambar-gambar percutian beliau bersama seorang peguam yang akan didengari hujahnya tidak lama selepas itu.

Begitu juga dengan seorang peguam yang terkenal apabila divideokan dengan frasa kata “ah, correct, correct, correct’. Dalam rakaman video itu, beliau angkuh sekali dakwaan bahawa beliau boleh mengaturkan kedudukan hakim-hakim dengan wang.

Masih yakinkah kita dengan institusi kehakiman? Jika hakim boleh dibeli, apalah harapan rakyat untuk menuntut keadilan? Hanya mereka yang berkuasa dan berada sahaja yang mampu membeli keadilan jika UMNO-BN dibiarkan memegang tampuk pemerintahan.

Sewaktu peralihan kuasa di antara Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak, berlaku rampasan kuasa di Perak yang jijik dan kotor, bersifat anti-demokrasi dan tidak mengikut undang-undang pada Februari 2009. Rakyat Perak telah memilih Pakatan Rakyat untuk menjadi kerajaan negeri dalam pilihan raya umum Mac 2008.

Jika mengikut undang-undang, kes yang harus digunakan oleh badan kehakiman ialah kes mercu tanda Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak, di mana Mahkamah Tinggi Borneo pada 1966 memutuskan bahawa undi tidak percaya harus dilakukan terhadap Ketua Menteri di dalam dewan undangan negeri, dan tidak ada pihak luar termasuk Gabernor berhak memecat pemimpin kerajaan negeri.

Namun, demi keghairahan kuasa UMNO-BN, menurut pakar-pakar perundangan, undang-undang yang jelas telah tidak dituruti oleh mahkamah. Majoriti rakyat yang memilih Pakatan Rakyat dinafikan hak mereka. Amat tidak logik bagaimana Perak boleh jatuh ke UMNO-BN sedangkan majoriti rakyat tidak memilih mereka, dan rampasan kuasa itu tidak sah di sisi undang-undang.

Seorang Anwar bebas tidak bererti segalanya sudah bebas dan adil

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan bahawa kemenangan Anwar Ibrahim di mahkamah tidak membuktikan bahawa institusi kehakiman telah dibersihkan. Apa yang benar-benar boleh menjamin ketelusan dan kebebasan mahkamah adalah satu rombakan besar untuk menjadikan keseluruhan institusi tersebut adalah bebas dan adil selamanya tanpa sebarang campur tangan politik mahu pun ehsan para penguasa.

Jika UMNO-BN masih berharap untuk melakukan transformasi sebenar, dengan atau tanpa GTP, para pemimpin mereka wajib mengakui terdapat masalah dalam pelbagai insitusi negara termasuk badan kehakiman.

Sejarah telah membuktikan dengan jelas bahawa badan kehakiman negara masih bermasalah, dan kerajaan Pak Lah sendiri telah mengakuinya. Keadilan tidak boleh hanya dilaksanakan, ia perlu dilihat dilaksanakan.


DAP dan Pakatan Rakyat dengan jelas dan nyata dalam Buku Jingga menyatakan usaha untuk menjamin institusi kehakiman yang bebas dan boleh diyakini. Bukankah ini satu nafas baru untuk rakyat?

Manalah tahu, jika selepas pilihan raya umum akan datang, mungkin orang-orang besar UMNO-BN akan dihadapkan ke mahkamah, sudah pasti mereka pun mahukan pengadilan yang bebas dan adil.

Jadi, tidak rugi jika pimpinan UMNO-BN hari ini memulakan usaha untuk membebaskan badan kehakiman daripada kongkongan kerajaan atau campur tangan penguasa. Yang turut mendapat faedah nanti adalah mereka juga bersama puluhan juta rakyat Malaysia yang lain. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment