Sunday, January 1, 2012

Mashitah cuba mengampu jadi calon?

DR MASHITAH IBRAHIMKUALA LUMPUR, 31 Dis: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) mendakwa tulisan terbaru Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dalam akhbar Sinar Harian (SINI) semalam sebagai "cuba mengampu" untuk jadi calon pilihan raya.

Sambil membidas tulisan yang bertajuk 'Langit Terbuka' itu, ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, ianya juga ibarat seperti pepatah Melayu “paku dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih”.

"Tulisan Dr. Mashitah adalah berdasarkan emosi dan sangkaan buruk terhadap PAS tanpa pemahaman sebenar konteks kenyataan dan ucapan yang dibuat.

"Tidak pernah YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengeluarkan ucapan yang mengkafirkan orang-orang Umno melainkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang telah menjaja isu ‘takfir’ ini setiapkali musim pilihanraya," ujarnya merujuk tulisan Mashitah itu.

Hasbullah menjelaskan, ucapan Tuan Guru Presiden PAS hanyalah menjelaskan tentang batas-batas Iman dan kufur tetapi telah diselewengkan fakta oleh Umno menjadi isu kafir mengkafir.

Selain membidas presiden PAS dengan isu kafir mengkafir, Mashitah juga didakwa turut menghentam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung isu tragedi Bukit Kepong yang hangat diperkatakan sebelum ini.

"DPPNS merasakan tiada silapnya kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong malah ianya telah membuktikan berlakunya penyelewengan fakta di dalam sejarah Malaysia oleh Umno," tegasnya.

Malah, ujarnya sehingga kini kenyataan dan ucapan pemimpin PAS adalah berdasarkan fakta dan tidak dipengaruhi oleh emosi serta sangkaan jahat kepada pihak lain.

Keadaan sama katanya tidak berlaku kepada pemimpin-pemimpin Umno yang dilihat hanya melempar tuduhan dan fitnah berdasarkan emosi dan bukan fakta.

Sambil menasihatkan Mashitah agar melihat kemungkaran pemimpin Umno, Hasbullah berkata tulisan timbalan menteri itu sepatutnya ditujukan kepada pimpinan parti yang dianggotainya itu.

"Tutur kata pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang secara jelas menghina hukum hudud dan sunnah Nabi Muhammad sepatutnya diberi lebih perhatian oleh Al fadhilah Ustazah Dr. Mashitah daripada menghentam pemimpin pembangkang secara membuta tuli semata-mata kerana ingin mengampu dan membodek untuk menjadi calon pilihanraya.

"DPPNS menasihatkan Dr. Mashitah supaya jujur di dalam memberikan pandangan dan tulisan berdasarkan ilmu Islam yang sebenar dan bukan menjadi ‘syaitan bisu’ yang hanya pandai mengampu, membodek dan membiarkan pemimpin mereka melanggar hukum Allah Taala serta melakukan kerosakan di atas muka bumi ini," katanya. - Harakah

No comments:

Post a Comment