Thursday, January 26, 2012

KJ, lu mai pejabat, lu kira sendiri ahli melayu dalam DAP

Khairy Jamaluddin, Musuh saudara dalam Umno, bukan DAP 

26 JAN — Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia, telah meminta DAP mengeluarkan senarai ahli-ahlinya dari kaum Melayu jika benar DAP sekarang sedang mendapat sokongan dari kaum Melayu. Khairy berkata setakat tiga orang Melayu yang menyertai DAP itu tidak melambangkan yang parti itu sudah diterima oleh orang Melayu. Saya tidak yakin kenapa penyertaan orang Melayu di akhir-akhir ini menjadi isu dari Sabah hingga ke Perlis.

Saya hanya hendak memberikan komen yang pendek terhadap cabaran Khairy ini dan saya rasa boleh memberikan jawapan kepada kenyataan Khairy itu kerana saya adalah salah seorang dari orang Melayu yang telah menyertai DAP baru-baru ini.

Untuk pengetahuan Khairy DAP tidak membuat pengasingan ahli-ahlinya mengikut bangsa dan agama. Di dalam borang permohonan menjadi ahli, tidak ada petak yang bertanyakan dari kaum apa pemohon-pemohon tersebut kerana sebagai sebuah parti yang memperjuangkan untuk semua tanpa mengira kaum dan budaya bangsa dan ethnik ahli-ahli tidak menjadi perkara penting.

Jika Khairy benar-benar mahu tahu jumlah keahlian Melayu dalam DAP, mungkin saya boleh mencadangkan kepada DAP untuk Khairy datang ke pejabat DAP dan mengira sendiri jumlah keahlian dari kaum Melayu. Khairy boleh dibekalkan dengan semua borang-borang permohonan yang ada di dalam setor DAP dan kiralah satu persatu setiap borang permohonan dari orang Melayu itu. Selepas itu Khairy boleh mengumumkannya sendiri.

Jika Khairy melakukan pengiraan sendiri, jadi tidak akan timbul isu tentang jumlah keahlian orang Melayu lagi dan tidak payah hendak menyusahkan DAP untuk membuat pengiraan itu. DAP tidak hendak bersaing untuk menunjukkan keahlian Melayu. Hanya parti itu telah mula mendapat suntikan semangat dengan ramai penyertaan dari kaum Melayu.

Bagi saya yang lebih penting Khairy lakukan ialah untuk menjaga keahlian Umno yang berjuta orang itu yang semuanya Melayu. Elok kita memberikan input yang nyata dan jelas yang di antara lebih dari tiga juta keahlian Umno itu, lebih dari satu juta dari mereka telah memangkah simbol pembangkang di dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan mereka itu serupalah seperti meninggalkan parti juga.

Di Rembau itu sendiri Khairy perlu mengambil perhatian kerana tidak semua ahli-ahli dan pimpinan Umno di sana memberikan sokongan kepada beliau. Pengalaman selama 40 tahun dalam Umno itu memadai untuk saya membuat penilaian terhadap banyak bahagian Umno di mana-mana khususnya di Negeri Sembilan.

Memang Umno ramai orang Melayu, malahan semuanya dari kaum Melayu. Tetapi kaum ini jugalah yang akan memberi masalah kepada Umno khususnya Khairy. Kalaulah pemimpin Umno seperti Khairy sedar, masalah Umno bukan ditimbulkan oleh pembangkang, tetapi oleh ahli-ahlinya sendiri.

Maka Khairy elok tumpukan masa dan tenaga beliau untuk memulihkan kesatuan dalam Umno itu sendiri.

Biarkan DAP itu melaksanakan tugasnya walaupun dengan hanya “segelintir” Melayu yang mempunyai pemikiran di dalamnya. Yang sakit sekarang bukannya DAP tetapi Umno. Yang kelam kabut sekarang bukannya PAS tetapi Umno. Yang menyakitkan Umno adalah oleh ahli-ahlinya sendiri bukannya PKR.

Kalau hendak terima pandangan ini terimalah. Kalau tidak terima pun ia bukannya menjadi kudis kepada Pakatan Rakyat. Itu Khairy kena faham. Musuh Khairy bukannya kami di sebelah sini tetapi mereka yang ada di bawah ketiak beliau sendiri dan juga di kalangan “warlords” dalam Umno itu. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

Post a Comment