Sunday, January 15, 2012

Kita adalah kuda-kuda perjuangan

ALOR SETAR, 14 Jan: PAS, DAP dan PKR tidak pernah diperalat, diperkuda dan diperbodohkan antara satu sama lain, sebaliknya ketiga-tiga parti itu adalah 'kuda-kuda perjuangan' untuk merubah landskap politik tanah air.

Hanya dengan kuda-kuda perjuangan itu yang yang akan membolehkan politik kotor yang diamalkan oleh Umno BN di negara ini dibersihkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya melangkah ke Putrajaya pada PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu dakwaan Umno yang mengatakan PAS diperalatkan atau diperkudakan oleh DAP ternyata tidak berasas.

"Kita adalah kuda-kuda perjuangan dan kita tidak sekali-kali boleh diperbodohkan oleh sesiapa, insya Allah," katanya ketika berucap pada sesi Penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu"adzam Shah, di sini, hari ini.

Berucap pada sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah itu, beliau berkata, kerjasama erat antara PAS, DAP dan PKR ternyata amat mencemaskan Umno sehingga menyebabkan mereka sanggup membuat dakwaan seperti itu.

Bagaiamanapun, katanya, rakyat tahu realiti yang sebenarnya dan tidak lagi boleh diperbodohkan oleh Umno BN, sebaliknya ingin bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU Ke-13 nanti.

"Sejak berada di bawah pemerintahan BN, rakyat juga sudah tahu betapa tidak bertanggungjawabnya Umno BN dalam pelbagai perkara termasuk Bahasa Melayu sendiri sebagai bahasa rasmi negara yang dikerdilkan," katanya.

Mereka juga, tambahnya, turut memainkan isu perkauman, pada hal kedudukan Malaysia sebagai negara yang didiami pelbagai kaum dan mempunyai pelbagai budaya boleh mendatangkan kekuatan kepada negara jika ditangani dengan betul.

"Begitu juga dengan permuafakatan yang diadakan oleh PAS dan DAP sebenarnya adalah atas perkara-perkara yang tidak berbeza yang boleh dimuafakati.

"Manakala dalam perkara-perkara yang berbeza pula, kita akan bertasamud," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.

Politik, tegas beliau lagi, adalah amanah Allah yang mesti dijaga dengan baik kerana ia adalah perkara yang baik dan bersih.

"Inilah yang dipraktikkan oleh PAS sejak dulu seperti yang dikehendaki oleh Islam, tetapi Umno BN tidak pernah mempedulikan perkara itu sehingga menyebabkan politik menjadi amat kotor di tangan mereka," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment