Friday, January 27, 2012

Jaga2, Harga minyak AS$130 setong?

KUALA LUMPUR – Harga minyak mentah dunia bakal melonjak melebihi 30 peratus kepada AS$130 (RM390) jika Iran meneruskan ancamannya untuk menyekat laluan kapal di Selat Hormuz, yang mewakili 20 peratus bekalan minyak global.

Iran telah membuat ancaman itu sebagai tindakan sekatan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng, tindakan Iran itu mampu menyebabkan harganya melonjak ke paras yang lebih tinggi.

‘‘Apa yang kita harapkan kesemua pihak terlibat dalam krisis tersebut (Iran, AS dan EU) dapat bersikap lebih rasional dalam memastikan bekalan minyak mentah serta harga dapat dikawal.

‘‘Namun, sekiranya sekatan dibuat oleh AS dan EU secara berperingkat-peringkat, kawalan harga dapat dibuat kerana para pengeluar lain bertindak meningkatkan pengeluaran mereka dalam usaha mengimbangi kekurangan bekalan dari Iran,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Kim Leng, peningkatan harga itu adalah merupakan reaksi jangka pendek selepas sekatan dibuat tetapi ia tidak akan memberikan kesan ketara sekiranya sekatan berlaku secara berperingkat.

‘‘Kita menjangkakan Arab Saudi akan meningkat pengeluaran sekiranya sekatan diteruskan oleh AS dan EU terhadap Iran,’’ jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berpendapat, tekanan antara kedua-dua pihak akan terus menyebabkan harga minyak mentah meningkat tetapi setakat ini, tiada petanda menunjukkan ia bakal mencecah paras AS$150 (RM450) setong.

‘‘Pada tahap ini, ia masih belum menunjukkan tanda-tanda ke arah itu kerana keadaan ekonomi dunia yang belum stabil menyebabkan permintaan masih menggalakkan.

‘‘Tetapi sekiranya permintaan mula menunjukkan peningkatan serta bekalan berkurang, kita bakal menyaksikan harga minyak mentah dunia akan berada di paras tertinggi,’’ katanya.
Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran harga minyak mentah dunia boleh meningkat sehingga 30 peratus sekiranya Iran menghentikan eksport minyak ekoran sekatan yang dibuat oleh AS dan EU.

Sekiranya negara berkenaan menghentikan eksport kepada negara-negara tanpa bekalan dari sumber lain, ia akan menyebabkan lonjakan harga minyak sebanyak 20 hingga 30 peratus atau AS$20 hingga AS$30 (RM60 hingga RM90) setong, kata IMF.

IMF menegaskan risiko peningkatan tekanan terhadap sekatan Iran dalam notanya pada Rabu lalu.

Kesan harga disebabkan oleh pengurangan dalam eksport Iran bakal meruncing di bawah purata stok minyak di kebanyakan negara disebabkan oleh keadaan pasaran minyak pada tahun lalu.

Pendapat organisasi itu meningkatkan tekanan kepada pentadbiran Presiden Obama yang berusaha mencari jalan bagi membolehkan negara-negara mengurangkan bekalan minyak Iran tanpa menyebabkan harga melonjak sebelum pilihan raya Presiden AS pada November ini.

Obama sedang mengetatkan sekatan terhadap Iran dalam usaha menghalang program dana dan teknologi nuklear negara itu.

Negara-negara barat percaya Iran sedang berusaha membina senjata nuklear sekali gus menyaksikan EU bertindak mengharamkan pembelian minyak Iran selama enam bulan dan tuduhan itu dinafikan Iran.

Sekatan kewangan terhadap Tehran mungkin menyamai embargo minyak dan bakal menyaksikan penurunan bekalan sehingga 1.5 juta tong sehari dari pengeluar minyak kelima terbesar dunia, kata IMF.

Jumlah gangguan bekalan itu boleh menyamai kerugian dalam pengeluaran dari Libya pada tahun lalu disebabkan oleh perang saudara yang menyebabkan harga minyak meningkat melepasi AS$100 (RM300) setong.

Eksport Iran adalah sekitar 2.6 bilion tong sehari. - - REUTERS

No comments:

Post a Comment