Tuesday, January 10, 2012

Bob Lokman tunai janji

bob-lokmanKUANTAN – Pelawak dan penulis lirik, Mohd Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah dan Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam selepas menangguhkan perjumpaannya pada 5 Januari lalu.

Bob Lokman yang hadir bersama peguam belanya, Mohd Fadzli Mohd Ramli kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke dalam pejabat Jaip sambil diiringi kira-kira 30 penyokongnya.

Pertemuan bersama Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaip, Ahmad Raffli Ab. Malek selama hampir satu jam itu berakhir dengan tenang dan profesional.

Ketika ditemui, Mohd Fadzli berkata, anak guamannya hadir untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan kes.

Bagaimanapun katanya, beliau kurang bersetuju dengan akta yang dikenakan kepada Bob Lokman kerana menurutnya anak guamannya itu bukan menyampaikan ceramah agama sebaliknya berkongsi pengalaman hidup bersama jemaah masjid.

“Kita akan menunggu tindakan lanjut dari pihak terbabit. Sekiranya diperintahkan untuk ke mahkamah, kita akan lawan,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau mahu kes ini dipertimbangkan sebaiknya kerana bimbang ada campur tangan politik.

“Jika Jaip benar-benar mahu memantau aktiviti penyebaran agama di negeri ini, mereka sepatutnya mengenakan tindakan kepada guru agama serta guru mengaji yang tidak bertauliah.

“Jika tidak, tindakan yang dikenakan ke atas anak guaman saya dianggap sebagai ‘pendakwaan terpilih’,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Raffli mengesahkan mengambil kenyataan Bob Lokman berikutan kesnya itu.

Katanya, pihaknya akan menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

“Siasatan bukan sahaja melibatkan Bob Lokman tetapi turut merangkumi tindakan jawatankuasa masjid dan penganjur yang membenarkan individu tanpa tauliah menyampaikan ceramah di masjid,” katanya.

Ahmad Raffli berkata, setelah selesai menjalankan siasatan terhadap individu yang terlibat, pihaknya akan menyerahkan bukti siasatan kepada Ketua Pendakwa Syariah untuk tindakan lanjut.

Dalam laporan sebelum ini, Bob Lokman didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang, di sini dan telah diberi notis oleh Jaip atas dakwaan­ itu. Sinar Harian

No comments:

Post a Comment