Monday, December 19, 2011

Wang rakyat disapu lagi, TV 1Malaysia propaganda baru UMNO-BN

19 DISEMBER – Hampir semua media massa “arus perdana” – yang diterbit atau disiarkan setiap hari seperti akhbar harian, TV dan radio – di Malaysia berada dalam kawalan UMNO dan Barisan Nasional.

Kawalan itu dibuat sama ada secara kangsung melalui pemilikan saham para pemimpin UMNO-BN atau secara tidak langsung melalui undang-undang yang ketat, malah zalim, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pelbagai peraturan serta undang-undang kecil lain yang menyekat kebebsan bersuara dan berekspresi.
Dengan itu, akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star dan sebagainya serta RTM dan TV3 dan juga semua stesen radio milik mereka yang mempunyai hubungan dengan kepimpinan negara, hanya menyampaikan maklumat satu hala sahaja.

Yang dibaca, ditonton dan didengar, hampir 99 peratus, adalah berita dan laporan mengenai “kebaikan” UMNO-BN sahaja. Inilah yang telah dan sedang berlaku di Malaysia sejak separuh abad lamanya.

Propaganda tradisi UMNO-BN yang dibiayai wang rakyat telah gagal

Namun, dengan penguasaan media yang hampir menutup suara rakyat, ruang untuk kritikan membina dan pandangan yang berbeza daripada UMNO-BN, masih tidak cukup untuk menahan keghairahan rakyat untuk mendapatkan maklumat yang lengkap, benar dan tepat.

Sudah tentu keadaan penguasaan media itu memaksa rakyat mencari alternatif lain. Sejak reformasi 1998 di mana dunia menyaksikan ledakan maklumat di Malaysia setelah kerajaan UMNO-BN menutup sepenuhnya pintu media massa (selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan kemudian memenjarakannya).

Lahirlah media alternatif daripada kreativiti alam maya internet. Edaran akhbar harian semakin menurun kerana rakyat sudah tidak percayakan lagi propaganda yang menyamar sebagai berita dan laporan media. TV dan radio hanya menjadi sumber hiburan kerana berita-berita mereka sama seperti “berita” di negara-negara diktator dahulu seperti pada era Nazi di Jerman dan komunis di empayar Soviet Union.

Kini teknologi maklumat bukan sahaja menawarkan laman-laman web tetapi juga facebook, twitter dan bermacam lagi termasuk TV dan radio internet yang boleh dicapai dari mana-mana peralatan seperti komputer meja, i-pad dan i-pod, telefon bimbit atas pelbagai jenama dan banyak lagi kemudahan yang sedang dan akan dicipta.

Semua ini telah mencabar kedudukan kerajaan UMNO-BN yang sudah sedar bahawa kawalan 99 peratus media massa tidak berjaya menyekat rakyat daripada mendapat maklumat alternatif.

Justeru Datuk Seri Najib Razak yang mahu memperlihatkan diri sebagai seorang pemimpin yang hebat telah melancarkan TV1 Malaysia yang bersifat interaktif dan boleh dicapai melalui telefon pintar dan tablet.

Namun, tidak ada apa yang baru daripada TV 1Malaysia melainkan propaganda yang sama kerana ia tetap mengambil program-program daripada RTM dan TV3. Malah akhir-akhir ini propaganda tersebut agak merbahaya kerana mempunyai ciri-ciri perkauman yang membangkitkan emosi benci kaum lain.

Wang rakyat untuk kempen UMNO-BN

Persoalannya, sebagaimana yang diketahui umum, apa sahaja yang berlambangkan 1Malaysia adalah produk-produk yang dibiayai oleh wang rakyat. Ia bukan dari poket pemimpin UMNO-BN.

Dalam hal ini, Perdana Menteri wajib menjelaskan kepada rakyat:

* Berapa banyak peruntukan dan perbelanjaan yang digunakan untuk TV 1Malaysia?

* Mengapa wang rakyat perlu digunakan untuk membiayai satu lagi propaganda UMNO-BN?

Tidak cukupkah UMNO-BN membuatkan rakyat sengsara apabila wang peruntukan untuk menternak lembu diberikan kepada keluarga seorang Menteri yang telah gagal menjayakan usaha membekalkan daging kepada rakyat, sebaliknya menggunakan wang amanah itu untuk membeli kondominium mewah?

Tidak cukupkah UMNO-BN membayar wang rakyat untuk blogger-blogger upahan yang melakukan fitnah terhadap keluarga termasuk anak kecil pemimpin Pakatan Rakyat?

Tidak cukupkah UMNO-BN, setelah “membela” blogger tukang fitnah itu, sanggup membenarkan mereka masuk ke dalam kapal selam penuh rahsia negara dengan sewenang-wenangnya?

Itu adalah sifat kepimpinan UMNO-BN yang ada hari ini. Mungkin mereka tidak boleh atau tidak mampu untuk membersihkan atau mereformasikan diri serta pentadbiran mereka.

Kuasa untuk berubah di tangan rakyat

Yang boleh melakukan perubahan hanyalah rakyat. Persoalan yang harus setiap individu rakyat Malaysia, termasuk ahli-ahli UMNO sendiri, adalah:

* Berapa lama lagi rakyat sanggup membiarkan diri dipermainkan dan dihina oleh kepimpinan yang tidak tahu menghormati maruah insan?

* Berapa lama lagi rakyat sanggup membiarkan diri diperkotakkatikkan oleh kepimpinan yang hanya mementing diri dan keluarga mereka sahaja?

* Berapa lama lagi rakyat sanggup menderita apabila tiada kenaikan gaji manakala harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat, dan cukai-cukai baru pula akan diperkenalkan, dan pada masa yang sama, wang rakyat dibazirkan dan dirompak oleh mereka yang bergelar para pemimpin kerajaan?

Usaha terbaru TV 1Malaysia ciptaan Najib adalah contoh kecil daripada pencurian titik peluh rakyat membangunkan negara. Para pemimpin UMNO-BN tidak pedulikan itu semua. Yang penting bagi mereka adalah mengutamakan diri dan keluarga terlebih dahulu.

Kuasa di tangan rakyat. Jika memilih untuk terus mengekalkan yang buruk dan busuk, maka tiada siapa yang dapat berbuat apa-apa untuk rakyat. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment